Friday, January 03, 2003

Batal niat ke Batu Putih beramai-ramai - Polis

MUAR 2 Jan. - Polis menasihatkan Pergerakan Pemuda UMNO Johor supaya membatalkan niat untuk menganjurkan lawatan beramai-ramai ke Pulau Batu Putih dengan menaiki bot-bot nelayan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mukhtar Ismail berkata, langkah itu tidak selamat kerana kebanyakan bot nelayan tidak dilengkapi dengan jaket keselamatan.

``Nasihat ini untuk keselamatan mereka sendiri, lebih-lebih lagi jika berlaku kemalangan di laut, usaha menyelamat sukar dijalankan.

``Saya hormati hasrat murni mereka tetapi sebagai orang yang bertanggungjawab dalam soal keselamatan, saya nasihatkan mereka jangan teruskan niat itu,'' tegasnya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Ketua-Ketua Polis Daerah di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas rancangan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor yang mahu meneruskan usaha ke pulau tersebut sebagai membantah tindakan Singapura menjalankan kerja-kerja pembinaan di pulau berkenaan.

Mukhtar berkata, lagipun, sudah ada persetujuan antara kedua-dua negara supaya kes tuntutan pulau tersebut dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

``Biarlah isu itu diselesaikan antara kerajaan dengan kerajaan kerana persetujuan sudah hampir tercapai untuk membawa kes ini ke ICJ,'' tambah beliau sambil menegaskan nasihat tersebut turut ditujukan kepada semua pihak yang bercadang berbuat demikian.

Kelmarin, polis telah menghalang sekumpulan pemimpin dan ahli Pergerakan Pemuda UMNO Johor daripada berlepas ke Pulau Batu Putih dengan menaiki bot-bot nelayan di jeti nelayan Sungai Rengit di Kota Tinggi.

Terdahulu, beliau menasihatkan institusi-institusi kewangan dan kedai-kedai emas di seluruh negeri agar mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian samun menjelang perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

Mukhtar berkata, mereka mesti memastikan sistem litar kamera tertutup di premis masing-masing berfungsi dengan baik bagi memudahkan polis menjalankan siasatan jika berlaku sebarang kes rompakan.

Ini kerana dalam beberapa kejadian rompakan, polis mendapati sistem tersebut tidak berfungsi dengan baik menyebabkan siasatan sukar dijalankan - Utusan Malaysia

No comments: