Sunday, January 05, 2003

Kapal tentera Singapura nahas

Seorang anggota peronda antikapal selam terbunuh, 3 hilang dekat Batu Putih

SINGAPURA 4 Jan. - Sebuah kapal peronda antikapal selam Tentera Laut Singapura, RSS Courageous, rosak teruk dan hampir tenggelam dalam perlanggaran dengan kapal kargo ANL Indonesia yang didaftarkan di Belanda dekat Pulau Batu Putih malam tadi.

Seorang anggota tentera Singapura dilaporkan terbunuh dan tiga yang lain, kesemuanya wanita hilang.


KAPAL peronda antikapal selam Singapura, RSS Courageous ditunda ke Pangkalan Tentera Laut Changi selepas dilanggar oleh kapal kargo ANL Indonesia, milik syarikat Belanda, O&P Nedlloyd di kawasan perairan yang terletak kira-kira satu batu nautika (1.8 kilometer) dari Pulau Batu Putih, semalam. - Gambar AP

Kejadian itu yang dianggap sebagai kemalangan terburuk dalam sejarah moden Singapura berlaku di kawasan perairan yang terletak kira-kira satu batu nautika (1.8 kilometer) dari Pulau Batu Putih.

Kejadian tersebut berlaku ketika Singapura meningkatkan kawalan dan rondaan sekitar Pulau Batu Putih yang didakwanya merupakan sebahagian wilayah maritim republik itu.

Laporan awal menyatakan sebuah kapal dagang Malaysia terlibat dengan perlanggaran itu tetapi kemudiannya ia disahkan kapal dagang milik syarikat Belanda.

Insiden tersebut menarik perhatian banyak pihak terutama ketika Singapura dan Malaysia sedang berbalah berhubung tuntutan ke atas pulau berkenaan.

Baru-baru ini, sebuah bot polis marin Malaysia yang membawa sekumpulan wartawan dihalang daripada mendekati pulau berkenaan oleh republik itu yang turut menempatkan kapal tentera laut di situ.

Dalam kejadian malam tadi, kapal peronda antikapal selam itu hampir tenggelam dan mengalami kerosakan besar terutama di bahagian belakang. Bagaimanapun kapal kargo seberat 52,000 tan yang dimiliki syarikat P&O Nedlloyd itu hanya mengalami kerosakan kecil.

RSS Courageous merupakan satu daripada enam buah kapal peronda antikapal selam dalam armada laut Singapura. Republik itu dikatakan mempunyai kelengkapan pertahanan termoden di Asia Tenggara termasuk dari segi kemampuan pertahanan maritimnya.

Timbalan Perdana Menteri, Tony Tan berkata, kapal peronda itu berada di kawasan perairan Singapura sewaktu ia dilanggar oleh ANL Indonesia.

``Perlanggaran tersebut merupakan kemalangan yang paling dahsyat,'' kata Tan, yang juga merupakan Menteri Pertahanan Singapura.

``Di segi kehilangan nyawa, ini merupakan satu kemalangan yang paling banyak mengorbankan nyawa anggota tentera laut Singapura,'' kata beliau.

Menurut satu kenyataan Pegawai Perhubungan Awam Kementerian Pertahanan Singapura, Valerie Yeo, ketika kejadian keempat-empat anak kapal itu sedang tidur di kabin wanita yang terletak di bahagian belakang RSS Courageous.

Kapal peronda seberat 500 tan itu dirempuh oleh kapal kargo ANL Indonesia pada kira-kira pukul 11.35 malam tadi. Seorang anak kapal yang juga pakar pengendalian senjata disahkan terbunuh akibat kemalangan tersebut manakala tiga lagi rakannya, kesemuanya wanita, masih hilang.

Harapan untuk menemui kesemua mangsa dalam keadaan selamat dipercayai agak tipis pada masa ini.

``Singapura perlu bersedia untuk menghadapi kemungkinan buruk,'' kata Tan merujuk kepada nasib ketiga-tiga anak kapal tersebut.

Menurutnya, lapan daripada 44 orang anak kapal itu cedera ringan dan tiga daripada mereka dimasukkan ke hospital.

Sementara itu, kenyataan Kementerian Pertahanan menyatakan bahawa pihak berkuasa pelabuhan terpaksa menunda RSS Courageous ke Pangkalan Tentera Laut Changi untuk mengeringkan kabin-kabin yang dimasuki air bagi mencari mangsa yang hilang.

Kementerian itu sebelum ini berkata, mereka percaya ketiga-tiga anak kapal itu sedang tidur sewaktu RSS Courageous dirempuh oleh ANL Indonesia.

``Kabin mereka terletak di bahagian belakang kapal iaitu bahagian yang mengalami kerosakan teruk akibat perlanggaran itu,'' kata kenyataan tersebut.

Bagaimanapun tidak ada laporan mengenai kecederaan di pihak anak kapal ANL Indonesia yang ditunda ke Dermaga Timur di Pelabuhan Singapura.

Syarikat P&O Nedlloyd tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan mengenai kemalangan tersebut.

Sementara itu, Jurucakap Biro Maritim Antarabangsa Malaysia berkata, pihak berkuasa Malaysia dimaklumkan mengenai kemalangan tersebut tetapi tidak terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat.

Katanya, Malaysia hanya akan membantu sekiranya diminta oleh pihak Singapura. - AP

No comments: