BATU PAHAT: Rakyat Johor khususnya, diajak mengikuti siaran langsung keputusan penghakiman berhubung pertindihan tuntutan Pulau Batu Puteh antara Malaysia dengan Singapura oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) Jumaat ini.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata keputusan penghakiman di The Hague, Belanda berhubung tuntutan itu dianggap agak luar biasa kerana ia membabitkan kedaulatan negara.
Sehubungan itu, beliau berkata, segenap lapisan masyarakat terutama penduduk negeri Johor, harus meluangkan sedikit masa untuk mengikuti siaran langsung keputusan penghakiman itu.
"Mana yang berkesempatan, silalah tengok siaran langsung itu yang mungkin disiarkan pada waktu pagi kerana saya difahamkan keputusan akan diumumkan pada jam 4 petang di Belanda.
"Rakyat harus mengetahui perkembangan itu kerana saya percaya ada ulasan selari dari sana dan ini akan menambah pengetahuan anda mengenai kes tuntutan Pulau Batu Puteh," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Desa Cemerlang Negeri Johor 2007 di Kampung Sungai Lurus, Senggarang, di sini, petang kelmarin.
Abdul Ghani berkata, seluruh rakyat Johor juga harus mendoakan supaya keputusan itu memihak kepada Malaysia, kerana ia bukan saja mengembalikan hak Johor ke atas pulau berkenaan, tetapi juga membabitkan kedaulatan negara.
Beliau berkata, berdasarkan hujah yang dibentangkan wakil Malaysia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) November lalu, beliau yakin keputusan akan menggembirakan seluruh rakyat Malaysia.
"Keyakinan itu berasaskan hujah hasil penyelidikan dari sumber sejarah mengenai apa yang berlaku pada pulau itu serta dokumentasi yang dibentangkan," katanya.
Pertikaian kedaulatan pulau itu antara isu kedua-dua negara yang sudah berlarutan hampir 28 tahun. Singapura mendakwa Pulau Batu Puteh miliknya selepas pemetaan wilayah dibuat Malaysia pada 1979.
Tuntutan terhadap Middle Rock kira-kira 0.5 batu nautika dari Pulau Batu Puteh dan South Ledge berada 1.7 batu nautika dari Middle Rock, dibuat Singapura pada 1993. Pulau Batu Puteh terletak kira-kira 7.75 batu nautika (14.3 kilometer) dari Tanjung Penyusop, Johor berbanding 25 batu nautika (46.3km) dari Singapura - Berita Harian
Wednesday, May 21, 2008
MB gesa ikuti penghakiman Pulau Batu Puteh
Posted by 9T9 at 10:12 AM
Labels: Batu Putih, Berita Harian, Post ICJ, Ulasan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment