Oleh Norliza Wasilan
Rakyat perlu tenang hadapiisu perebutan Batu Puteh dengan Singapura
KUALA LUMPUR: Rakyat perlu menerima dengan tenang sebarang keputusan berhubung pemilikan Pulau Batu Puteh yang menjadi rebutan antara Malaysia dan Singapura sejak 28 tahun lalu yang akan diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda, Jumaat ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Rais Yatim, berkata rakyat perlu bertenang dengan keputusan ICJ itu sama ada Malaysia berjaya atau sebaliknya untuk mendapatkan Pulau Batu Puteh.
"Jika apa yang diharapkan tidak menjelma, kita tidak harus jelmakan keputusan itu ke dalam tindakan luar dugaan dan luar undang-undang, ia harus diterima dengan terbuka.
"Janganlah dijelmakan sebagai sesuatu yang huru-hara, mempunyai unsur tunjuk perasaan atau mengeluarkan kata-kata kesat. Kita perlu hormat lunas undang-undang terutama undang-undang antarabangsa kerana jika tidak masyarakat antarabangsa akan menganggap kita tidak menghormati lunas undang-undang yang kita sendiri sama-sama tandatangani untuk menerima penghakimannya," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini, semalam.
Akhbar sebelum ini melaporkan, keputusan ICJ itu akan disampaikan Naib Presiden Mahkamah itu, Hakim Awn Shawkat Al Khasawneh yang juga Pemangku Presiden.
Terdahulu, Rais mengadakan perjumpaan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Ahli Dewan Rakyat termasuk pembangkang dan sebahagian Ahli Dewan Negara untuk sesi taklimat ringkas mengenai latar belakang tuntutan Pulau Batu Puteh sehingga dibawa ke ICJ serta memberi beberapa nota hujah kedua-dua belah pihak antara Malaysia dan Singapura.
Rais juga berkata, dari aspek moral, Malaysia mempunyai peluang cerah untuk mendapatkan Pulau Batu Puteh, tetapi sebarang keputusan harus diterima sebaiknya tanpa ada sebarang perasaan prejudis ataupun perkara yang boleh memberi kesan kepada hubungan dua hala.
Sementara itu, Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata keputusan itu akan disiarkan menerusi RTM1 mulai jam 4 petang dan dijangka berlanjutan sehingga dua jam - Berita Harian
Wednesday, May 21, 2008
Terima keputusan ICJ: Rais
Posted by 9T9 at 8:46 AM
Labels: Batu Putih, Post ICJ, Ulasan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment