Tuesday, January 07, 2003

Negara ketiga tidak perlu

PUTRAJAYA 6 Jan. - Malaysia hari ini mengulangi pendirian untuk menandatangani perjanjian khas dengan Singapura berhubung kes tuntutan bersama Pulau Batu Putih di mana-mana tempat asalkan di Malaysia atau Singapura.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid berkata, Kuala Lumpur berpendapat kedua-dua pihak tidak ada keperluan untuk melakukan perjanjian tersebut di negara ketiga kerana ia agak tidak tepat dalam konteks perhubungan negara tersebut.

Katanya; ``Tak perlu kita tandatangani perjanjian ini di negara ketiga kerana kita bukannya sedang berperang antara satu sama lain.

``Cuma masalah yang timbul ialah mereka (Singapura) agak tidak bersetuju dengan beberapa isu berbangkit sebelum ini dan mungkin fikir bahawa ia (perjanjian) harus dibuat di negara ketiga,'' katanya pada sidang akhbar di Wisma Putra di sini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Luar Singapura, Profesor S. Jayakumar semalam yang menyuarakan hasrat republik itu bersedia menandatangani perjanjian khas dengan Malaysia di mana sahaja untuk membawa kes tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Menurutnya, Kuala Lumpur boleh mengemukakan tarikh baru sekiranya mendapati 27 atau 28 Januari iaitu tarikh yang dicadangkan Singapura tidak sesuai untuk ditandatangani di Brussels, Belgium.

Mengulas lanjut, Syed Hamid berkata, Malaysia akan menghantar cadangan tarikh baru kepada republik itu dalam tempoh terdekat ini setelah meneliti kesesuaian antara kedua-dua pihak.

Katanya, Wisma Putra akan memaklumkan kepada media massa dan orang ramai mengenai persetujuan tarikh tersebut.

``Kita akan carikan tarikh yang sesuai untuk kedua-dua pihak dan akan maklumkan kepada anda semua (media) bila sampai masanya,'' jelasnya.

Terdahulu, Syed Hamid menghadiri majlis penyerahan sumbangan pena daripada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) untuk disampaikan kepada wakil kerajaan Timor Leste dan Afghanistan.

Hadir menyerahkan sumbangan tersebut ialah Pengerusi Angkasa, Profesor Diraja Ungku Aziz - Utusan Malaysia

No comments: