Saturday, January 25, 2003

Batu Putih: Tindakan perlu rasional

Oleh: Wan Hasnan Hasan

JOHOR BAHRU 24 Jan. - Sebarang tindakan berhubung pertikaian tuntutan bertindih terhadap Pulau Batu Putih perlu dilakukan secara profesional bagi mengekalkan keamanan di rantau ini, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, sikap profesional itu perlu kerana ia melibatkan urusan dua buah negara berjiran dan kedua-duanya mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mengekalkan keamanan.

``Kita mesti bersikap rasional, bertanggungjawab dan jangan menimbulkan apa-apa bentuk konflik sekali pun kerana ini akan menjejaskan kepentingan kedua-dua negara,'' katanya selepas merasmikan Ekspo Kerjaya Bersama Angkatan Tentera Malaysia 2003 di Dataran Bandaraya, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas amaran yang dikeluarkan oleh Menteri Pertahanan Singapura, Dr. Tan Keng Yam bahawa Malaysia harus bertanggungjawab terhadap sebarang ketegangan dan risiko berlakunya kejadian yang tidak diingini jika pihak berkuasa negara ini mendekati Pulau Batu Putih.

``Saya tak faham apa yang dimaksudkan bahawa Singapura memberi amaran ataupun suatu ugutan kepada kita bahawa kita akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sesuatu peningkatan ketegangan atau risiko berlakunya kejadian yang tidak diingini.

``Apakah ini bererti (jika) dia dah melepaskan tembakan dan mengatakan tertembak?,'' tegas beliau.

Katanya, sewaktu Indonesia menuntut Pulau Sipadan dan Ligitan pun mereka menghantar pasukan tentera laut untuk mengadakan rondaan di kedua-dua pulau berkenaan.

``(Bagaimanapun) kita dapat mengekalkan keadaan tanpa timbul sesuatu konflik yang tidak diingini sebab kita menilai persahabatan antara negara jiran,'' katanya.

Najib menegaskan, kedua-dua negara tidak seharusnya melakukan sebarang perkara yang boleh menjejaskan hubungan baik khususnya di antara dua negara berjiran.

Tegas beliau, kalau ada konflik sudah tentunya ada pendapat yang bercanggah seperti pertindihan tuntutan dan sebagainya tetapi Malaysia mempunyai mekanisme untuk menyelesaikan masalah tersebut.

``Inilah cara yang bertamadun untuk menyelesaikan masalah antara mana-mana negara, lebih-lebih lagi (ia melibatkan) negara jiran,'' ujar beliau.

Tambah Najib, sebarang gertakan, ugutan atau amaran adalah tidak rasional dibuat kerana ia tidak akan membantu mengekalkan suasana yang positif dalam usaha untuk menyelesaikan apa jua masalah yang timbul dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, katanya, operasi pengawasan oleh pihak berkuasa Malaysia akan diteruskan kerana masalah berhubung tuntutan bertindih terhadap pulau itu masih belum diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

``Operasi pengawasan akan diteruskan dan kita akan berbuat demikian kerana kita membuat tuntutan terhadap pulau itu, begitu juga Singapura tetapi selagi keputusan mengenai tuntutan itu belum diputuskan, kita mempunyai hak untuk membuat rondaan di kawasan itu - Utusan Malaysia

No comments: