Thursday, February 20, 2003

Singapura patut hapuskan sikap kiasu

Saudara Pengarang,

PADA Khamis 13 Februari 2003 di bawah tajuk Hubungan Singapura Malaysia yang disiarkan dalam Berita Harian Singapura sedutan dari wawancara Prof. Jayakumar di stesen televisyen CNN pada 31 Januari lalu, Prof. Jayakumar telah berkata:

``Saya telah menyatakan dalam kenyataan Parlimen mengenai ungkapan perang, yang dibuat oleh sebilangan pemimpin dan media mereka adalah tidak berguna, tidak membantu dan juga merbahaya. Jika anda lihat fakta-fakta yang ada, tiada seorang pun pemimpin Singapura pernah bercakap tentang peperangan. Maka itu, saya tidak rasa kedua-dua negara akan berperang. Tetapi perbuatan mengenai peperangan, walau secara sebarangan, benar-benar tidak membantu.''

Kenyataan ini jelas menunjukkan sama ada Prof. Jayakumar jahil dalam sejarah Singapura semasa diperintah oleh PAP pada tahun 1959 dan Lee Kuan Yew sebagai Perdana Menterinya ataupun berpura-pura buat tidak tahu menyalahkan pemimpin-pemimpin dan media Malaysia yang memulakan ungkapan perang.

Di sini saya ingin menyatakan ungkapan perang ini bukan pemimpin-pemimpin dan media Malaysia yang mula menyatakannya tetapi dibuat oleh Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew sendiri dan bukan kenyataan beliau itu berupa satu ungkapan tetapi satu kepastian melalui analisis dan ramalan (foresight) menetapkan kekerasan akan berlaku antara Singapura dan Malaya.

Renungkan kenyataan yang dibuat oleh Lee Kuan Yew pada 1961:

* ``If merger does not come with the consent of the people of the two territories then inevitably it will come by the use of force by one territory over the other because each is vital to the survival of the other.''

(The Battle For Merger - Muka 4-5).

* ``A hostile independent Singapore must lead to retaliation, conflict and in the end conquest.''

(The Battle For Merger - Muka 173)

Lee Kuan Yew melalui analisisnya yang mendalam telah meramalkan dengan kepastian iaitu percantuman dengan Malaya tetap akan berlaku sama ada melalui persetujuan atau pun dengan penggunaan kekerasan oleh satu pihak terhadap satu pihak lagi.

Begitu juga Lee Kuan Yew telah menyatakan Singapura yang merdeka bersikap hostile mesti membawa kepada balas membalas, konflik dan akhirnya penaklukan.

Maka dengan demikian bolehkah dianggap isu-isu yang ditimbulkan terhadap Malaysia yang telah tertangguh bertahun lamanya diklasifikasikan sebagi sikap hostile Singapura?

Renungkan isu-isu tersebut:

* Air - hak Malaysia;

* Pulau Batu Putih - hak Malaysia (tuntutan bertindih);

* Pencabulan udara Malaysia;

* Tanah;

* CIQ - hak Malaysia;

* Tambakan Laut Singapura mendatang kesan negatif pada Malaysia;

* Central Provident Fund pekerja Malaysia ditahan keluar dari Singapura; dan

* TUDM di Woodlands dinaikkan sewa dan terpaksa keluar dari Singapura.


Yang aneh sekali apabila sesuatu isu itu disiarkan oleh media dan dibincangkan oleh rakyat dan pemimpin-pemimpin Malaysia menjadi hangat sehingga berlaku ketegangan hubungan dua hala antara Singapura dan Malaysia, kelihatanlah kedatangan Lee Kuan Yew, Goh Chok Tong dan Abdullah Tarmugi dengan membawa mesej sebagai jiran sangat penting kedua-dua negara bersikap toleransi, kerjasama, tolak ansur dan polisi menang menang.

Anjuran-anjuran itu adalah sangat baik tetapi malangnya mereka ajak Malaysia supaya bertoleransi, bekerjasama dan polisi menang menang terhadap hak dan kedaulatan Malaysia, bukan hak dan kedaulatan Singapura.

Sebagaimana biasanya diperkatakan ``hak aku aku punya, hak engkau aku punya.''

Mungkin dalam membuat kenyataannya hari itu beliau terlupa semalamnya kerana di waktu semalamnya itu beliau masih di bangku sekolah.

Hapuskanlah sikap kiasu dan amalkan sikap kerjasama, tolak ansur dan polisi `win-win' sebagaimana yang dianjurkan oleh Lee Kuan Yew, Goh Chok Tong dan Abdullah Tarmugi dengan secara ikhlas kerana ia lebih menguntungkan Singapura, tetapi janganlah hendaknya disuruh bertolak ansur dan bekerjasama terhadap hak dan kedaulatan Malaysia semata-mata.

- PROF. MOHAMMED HJ. YACOB, Johor Bahru.

Tuesday, February 18, 2003

Bisukan kerenah Singapura

Saya kira selepas selesainya majlis menandatangani perjanjian khas untuk membawa tuntutan ke atas Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 6 Februari lalu, pertikaian di antara negara kita dengan Singapura selesai. Tidak akan ada lagi kecam-mengecam dan ungkit-mengungkit terhadap apa-apa perkara di antara satu sama lain selepas itu.

Kedua-dua pihak, baik negara kita atau Singapura akan diam dan sabar menanti keputusan ICJ yang dijangka selesai dalam masa kira-kira tiga tahun.

Dalam tempoh penantian itu kedua-dua negara akan menjaga hubungan baik yang selama ini berjalan tanpa ada prejudis dan menimbulkan perkara-perkara baru yang boleh menimbulkan ketegangan dan masalah.

Lebih diharapkan lagi kedua-dua pihak akan mencari formula untuk menjernihkan keadaan dan mencari jalan bagi mengeratkan hubungan dua hala sebagai dua buah negara yang berjiran.

Tetapi anggapan saya itu meleset dan persetujuan tersebut tidak menjanjikan kedua-dua pihak duduk diam. Pertikaian nampaknya terus berlaku. Seperti mana yang dilaporkan, belum sempat dakwat kering telah berlaku pertikaman lidah di antara kedua-dua Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Prof. S. Jayakumar sewaktu sidang akhbar diadakan. Keadaan ini sungguh mengecewakan!

Paling baru ialah mengenai pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor. Seperti mana kata Datuk Seri Syed Hamid Albar, lapor Utusan Malaysia semalam, Perdana Menteri Singapura Goh Chok Tong tidak bersetuju dengan pembinaan jambatan berkenaan. Chok Tong memanipulasikan isu dengan mendakwa pembinaan jambatan itu adalah termasuk dalam pakej beberapa isu yang sedang dirundingkan. Sebaliknya dakwa Syed Hamid pembinaan jambatan baru itu tidak termasuk dalam pakej isu yang sedang dirundingkan.

Kita percaya dengan menteri luar kita. Beliau tidak mungkin berbohong dalam perkara ini, apatah lagi dengan niat sengaja ingin menimbulkan sesuatu tidak baik terhadap Perdana Menteri Singapura itu. Apa yang Syed Hamid lakukan adalah untuk mempertahankan perkara yang tidak betul dan tidak benar yang diluahkan oleh Chok Tong.

Mengambil kira terhadap pertikaian terbaru itu, saya yakin sebelum ICJ membuat keputusan mengenai Pulau Batu Putih, pertikaian di antara negara kita dengan Singapura tidak akan terhenti. Lepas satu-satu isu akan dibangkitkan.

Singapura seperti umum tahu, mereka sengaja mahu bermain tarik tali dengan kita dalam apa juga isu termasuk air, tanah Keretapi Tanah Melayu dan sebagainya.

Masalah ekonomi negara itu yang semakin parah menyebabkan mereka ingin mengubah pandangan rakyat dengan menimbulkan apa sahaja isu dengan Malaysia. Mereka akan mencari dan mencipta apa-apa juga perkara asalkan boleh menjadi isu dan polemik.

Maknanya dalam tempoh tiga tahun nanti atau selepasnya, kita akan membaca banyak lagi berita-berita yang kurang menyenangkan dan mendamaikan minda di antara kita dengan Singapura. Saya percaya Singapura akan menimbulkan apa sahaja yang mereka kira boleh menyebabkan kita tersentak dan respons ke atasnya.


Bagi mereka dengan cara begitu, rakyatnya akan lupa kepada masalah ekonomi serta masa depan negaranya yang semakin ditandingi oleh kita.

Di sini suka saya mengemukakan satu idea dalam menghadapi masalah ini. Mungkin idea saya dikira kolot ataupun tidak rasional di zaman globalisasi dan dunia tanpa sempadan ini, tetapi ia boleh direnung dan difikir bersama demi tidak mengkelam-kabutkan fikiran kita bila berhadapan dengan kerenah atau sikap negara jiran itu.

Cadangan saya ialah media massa kita perlu menutup berita-berita mengenai pertikaian kita dengan Singapura. Kerenah ataupun kritikan Singapura ke atas kita hendaklah dibisukan. Biarlah media mereka sahaja yang menguar-uarkan apa-apa yang kurang senang ke atas kita. Kita harus bersikap lebih `dewasa media' dalam hal ini.

Kecualilah hal-hal yang menyentuh perhatian dunia, barulah media kita perlu bingkas memberi pandangan atau ulasan. Untuk tujuan ini menteri kita, khasnya Menteri Luar jangan mudah respons dengan apa-apa kenyataan atau sindiran daripada Singapura.

Ada kalanya dalam hal ini Menteri Luar kita bersikap terlebih peka dan ini menjadikan pihak di Singapura semakin suka dengan provokasinya. Kenyataan akhbar ataupun gosip-gosip dari laman web yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak di negara itu yang bermotifkan untuk melihat reaksi kita, tidak perlu dilayankan.

Perlu difahami sikap dan telatah Singapura adalah seperti seorang budak kecil yang sedang merengek dan menangis kerana ingin sesuatu benda.

Sekiranya kita melayani kerenahnya itu maka rengekan dan tangisannya semakin menjadi-jadi. Apa yang dia perlukan ialah perhatian atau reaksi daripada kita. Kalau kita membiarkannya lama-kelamaan dia akan berhenti merengek dengan sendirinya.


Lagipun saya rasa dengan cara ini ia boleh menjimatkan dan tidak membuang masa kita. Dan masa yang sangat berharga itu adalah elok kalau digunakan untuk perkara yang lebih besar dan bermakna lagi.

Tanpa kita sedari, hari ini kita mengambil masa banyak untuk melayani kerenah Singapura. Alangkah baiknya kalau masa, ataupun ruang akhbar yang banyak digunakan untuk melayani kerenah Singapura itu digunakan untuk perkara lebih berfaedah. Misalnya masalah dadah yang mana baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengisytiharkan tahun 2003 sebagai tahun membasmi dadah habis-habisan.

Ini lebih baik dan berguna untuk pembangunan rakyat dan negara kita daripada kita melayani si budak kecil yang sedang bermasalah seperti Singapura itu.

- MOHD. SAYUTI OMAR, Kuala Lumpur.

Sunday, February 16, 2003

Syed Hamid jawab Awang Selamat

SAYA selalunya membaca ruang Awang Selamat dengan penuh minat kerana ianya ruang sebuah akhbar nasional yang ulung. Saya juga berpeluang untuk mengambil iktibar dan nasihat dari teguran bijaksana dan bistari penulis.

Justeru, saya sekali lagi telah membaca ruangan Awang Selamat pada hari Ahad, 9 Februari 2003, di antaranya berkenaan perang mulut saya dengan Menteri Luar Singapura.

Namun pada kali ini, saya terpanggil untuk membuat beberapa penjelasan ekoran tulisan Awang Selamat.

Mungkin Awang Selamat tidak maklum berkenaan aturcara Majlis Tandatangan Perjanjian Khas Pulau Batu Putih pada 6 Februari lalu.

Aturcara saya disusun dengan tiada sidang akhbar. Selepas tandatangan, hanya makan tengah hari sahaja sebagaimana Awang Selamat cadangkan.

Saya sendiri berpendapat `sidang akhbar' terbuka akan mencetuskan banyak masalah. Sebenarnya saya dari awal-awal lagi telah menyediakan kenyataan akhbar bertulis untuk edaran kepada para wartawan yang hadir.

Singapura walau bagaimanapun, meminta supaya diadakan sidang akhbar bersama secara terbuka. Dua puluh lima orang wartawan dari republik tersebut telah mengiringi menteri luarnya.

Untuk pengetahuan Awang Selamat, dalam perjumpaan saya dengan Menteri Luar Singapura dan delegasinya di kamar saya, sebelum upacara berlangsung, saya memberitahunya yang saya tidak berminat untuk mengadakan sidang akhbar bagi menjaga suasana majlis yang murni.

Selaras dengan harapan saya supaya majlis ini tidak dikeruhkan dengan apa-apa kenyataan atau perbezaan pendapat, maka saya hanya memberikan ucapan pendek.

Di dalam ucapan saya, antara lain saya menegaskan, saya gembira kerana kita berjaya mengadakan majlis ini dalam semangat muhibah dan kerjasama.

Lebih-lebih lagi oleh kerana kedua-dua pihak sudahpun bersetuju untuk merujuk pertikaian kepada ICJ, biarlah perkara ini kita serahkan untuk diputuskan oleh ICJ.

Saya anggap ini adalah satu ucapan yang agak mesra, jika diambil kira suasana hubungan dua hala kita sebelum majlis ini.

Tetapi sebagaimana umum mengetahui, ucapan balas Menteri Luar Singapura adalah agak panjang lebar. Namun begitu saya hanya berdiam diri mendengar ucapan beliau.

Apabila dibuka kepada soal jawab daripada media, media Singapura dengan terancang telah bertanya kepada menteri luarnya berkenaan kenyataan Dr. Mahathir, Perdana Menteri kita yang Singapura cuba mengalihkan pandangan dari masalah ekonomi dalamannya dengan membangkitkan suasana tegang dengan Malaysia.

Menteri Luar Singapura nyata sekali sudah mengatur pertanyaan dan jawapan yang hendak diberikan dengan membaca apa yang telah tertulis dalam teks yang kelihatan telah disediakan lebih awal
.

Saya berpendapat kandungannya terlalu kritikal kepada Malaysia dan Dr. Mahathir dan menyalahkan Malaysia di atas keadaan-keadaan hubungan dua hala Malaysia-Singapura.

Begitulah bila beliau mempertahankan haknya untuk mendedahkan surat-menyurat di antara kedua-dua pemimpin negara atas alasan untuk membetulkan perkara-perkara yang tidak benar yang telah diperkatakan oleh Malaysia.

Oleh kerana perkara itu menyentuh soal maruah dan kehormatan negara, saya berpendapat amat perlu untuk ditegaskan keadaan sebenar. Dari segi etika, surat-menyurat di antara pemimpin seharusnya disimpan secara sulit dalam proses rundingan kita.

Keadaan menjadi lebih buruk lagi apabila Menteri Luar Singapura menyentuh tentang soal kedaulatan Pulau Batu Putih yang dikatakannya sebagai wilayah Singapura sehingga ia diputuskan oleh ICJ.

Justeru, kerana Malaysia sentiasa berpendirian yang Pulau Batu Putih adalah sebahagian dari Wilayah Malaysia, saranan Menteri Luar Singapura terhadap Pulau Batu Putih adalah keterlaluan memandangkan kedua-dua negara mempunyai tuntutan bertindih
.

Seharusnya Singapura tidak mengambil sikap yang sedemikian memandangkan kedaulatanlah menjadi sebab kita bersetuju untuk membawa perkara tersebut ke ICJ.

Kalau perkara ini saya juga berdiam diri, ini bermakna Malaysia menerima bahawa selagi perkara ini tidak diputuskan, kedaulatan Pulau Batu Putih adalah di bawah hak Singapura.

Saya minta maaflah dalam hal ini saya tidak dapat bersetuju dengan Awang Selamat. Saya ingin memaklumkan kepada Awang Selamat bila mana soal maruah, hak dan kedaulatan negara disentuh, adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai menteri luar untuk mempertahankan kedudukan Malaysia tanpa ragu-ragu dan jelas.

Jika Awang Selamat turut serta mengikuti sidang akhbar tersebut, sudah tentu beliau akan menyedari suasana majlis tersebut telah menjadi sedemikian rupa oleh kerana tindak-tanduk Menteri Luar Singapura.

Saya telah cuba mengelakkan dari mengatakan sesuatu yang boleh melahirkan kontroversi. Tetapi, Singapura mempunyai sikap yang berlainan.

Biar saya katakan yang Singapura begitu particular sehingga bila kita mahu meletakkan `backdrop' pun mereka ambil kira dengan mengatakan ianya mestilah bermula `Pedra Branca/Pulau Batu Putih' dan bukan di sebaliknya.

Walaupun, Singapura tahu bahawa telah diperuntukkan yang apa-apa cara susunan ke atas nama pulau yang dipertikaikan tidak akan membawa kesan undang-undang.

Ketidakpercayaan Singapura diperlihatkan lagi apabila Menteri Luar Singapura meminta di initial di tiap-tiap muka halaman Perjanjian Khas sebelum ditandatangani di halaman akhir perjanjian sebagaimana lazim berlaku.

Untuk maklumat Awang Selamat, saya hanya mengambil bahagian bagi menjawab telahan Menteri Luar Singapura di atas kenyataan Dr. Mahathir menjelaskan pendirian Malaysia dalam soal pendedahan surat-menyurat serta menegaskan bahawa kedaulatan Pulau Batu Putih hanya dapat dimuktamadkan melalui proses ICJ. Saya tidak dapat membiarkan negara dan pemimpin kita dicemuh di dalam perjumpaan di negara kita sendiri.

Saya harap perkara ini dapat dihayati oleh Awang Selamat. Walaupun begitu, saya mengucapkan terima kasih kepada Awang Selamat yang telah begitu objektif memberikan komennya. Saya akan terus menimba ilmu dari mereka yang arif.

SYED HAMID ALBAR MENTERI LUAR MALAYSIA

Thursday, February 13, 2003

Rondaan Pulau Batu Putih berjalan lancar

PEKAN 12 Feb. - Rondaan yang dilakukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berhampiran Pulau Batu Putih tidak berhadapan dengan sebarang masalah meskipun kapal-kapal Tentera Laut Singapura (RSN) turut mengadakan rondaan di kawasan perairan tersebut.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tiada kejadian negatif sehingga menimbulkan ketegangan sepanjang TLDM mengadakan rondaan di perairan itu.

``Rondaan yang dilakukan oleh kapal-kapal TLDM di Pulau Batu Putih dilakukan secara tidak agresif,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis korban di Masjid Kampung Pulau Tambun di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini memaparkan gambar eksklusif yang menunjukkan kapal TLDM, KD Laksamana Tan Pusmah meronda berhampiran Pulau Batu Putih, baru-baru ini.

Berhubung dengan jarak rondaan dari pulau berkenaan, Najib memberitahu, ia terpulang kepada TLDM untuk menentukan jarak yang sesuai ketika rondaan dibuat.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Shafie Apdal berkata, rondaan pasukan keselamatan di Pulau Batu Putih yang dituntut oleh Singapura tidak hanya dilakukan oleh kapal TLDM, sebaliknya turut meliputi pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Kata beliau, rondaan oleh pesawat udara itu telah dilakukan sejak sekian lama memandangkan pulau tersebut berada dalam wilayah kekuasaan Malaysia.

Menurut beliau, sehingga kini tiada sebarang masalah dihadapi oleh TLDM dan TUDM ketika melakukan rondaan di sekitar pulau tersebut.

``Setakat ini segala rondaan yang diatur berjalan dengan lancar sejak bertahun-tahun lalu kerana negara jiran (Singapura) faham tujuan kita.

``Malah mereka tidak pernah memberi amaran atau menghalau pasukan tentera kita yang meronda di sana,'' katanya kepada para pemberita pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidiladha bersama media massa di kediamannya di Kuala Lumpur.

Shafie seterusnya berkata, rondaan oleh kapal TLDM dan pesawat TUDM telah dilakukan secara berterusan sejak sekian lama demi memastikan tiada masalah ancaman keselamatan timbul di situ.

Tegas beliau, sejak timbulnya pertikaian kedaulatan ke atas pulau tersebut telah menyebabkan rondaan dan pengawasan di situ dilakukan dengan kerap untuk tempoh 24 jam sehari.

``Bahkan kita membuat pengawasan teliti di situ dari semasa ke semasa,'' katanya.

Dalam pada itu, Shafie memberitahu, Angkatan Tentera Malaysia bersedia menempatkan pelbagai asetnya di Pulau Batu Putih sekiranya Mahkamah Keadilan Antarabangsa memutuskan ia menjadi hak Malaysia.

``Buat masa ini kita belum meletakkan sebarang aset di pulau berkenaan. Selepas keputusan dibuat kita akan segera berbuat demikian,''
katanya - Utusan Malaysia

Rondaan TLDM, RSN perlihat kemajuan reda isu

KOTA TINGGI 12 Feb. - Aktiviti rondaan yang dijalankan oleh kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Singapura (RSN) di perairan Pulau Batu Putih tanpa sebarang insiden memperlihatkan satu kemajuan dalam meredakan isu terhadap pulau itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, perkembangan terbaru itu membuktikan setiap isu yang dihadapi oleh kedua-dua negara boleh ditangani menerusi meja rundingan.

Sehubungan itu, katanya, adalah lebih baik jika kedua-dua negara terus berunding dan tidak berbalah mengenai apa jua masalah yang timbul.

Beliau juga bersetuju jika aktiviti rondaan di pulau tersebut dapat dibincangkan di peringkat tertinggi keselamatan kedua-dua negara bagi membolehkan ia dilaksanakan dengan lebih baik.

``Memandangkan kedudukan Pulau Batu Putih akan diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), maka elok juga jika rondaan itu dapat dibincangkan di peringkat keselamatan atau tentera kedua-dua negara,'' katanya di sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika mengulas gambar dan laporan muka hadapan Utusan Malaysia hari ini mengenai satu rondaan yang tidak bersifat agresif oleh kapal TLDM di Pulau Batu Putih.

Terdahulu beliau menyaksikan upacara penyembelihan beberapa ekor lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha di pekarangan Masjid Jamek Kota Tinggi di sini.

Malaysia dan Singapura telah menandatangani persetujuan bersama bagi membawa isu tuntutan bertindih Pulau Batu Putih ke ICJ pada 6 Februari lalu dengan mengekalkan status quo pulau berkenaan - Utusan Malaysia

Monday, February 10, 2003

Kita berhak tempatkan aset di Batu Putih - Najib

PEKAN 9 Feb. - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, Malaysia kini berhak untuk menempatkan atau mewujudkan aset-asetnya di Pulau Batu Putih yang dipertikaikan.

Beliau berkata, ia berikutan persetujuan Singapura supaya isu bertindih pulau berkenaan dengan Malaysia diselesaikan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Menurut beliau, hak untuk menempat atau mewujudkan aset di pulau berkenaan sama seperti hak Malaysia untuk melakukan rondaan dari semasa ke semasa di sekitar pulau berkenaan.


``Ia kawasan yang dipertikaikan. Malaysia menuntut, Singapura menuntut. Jadi kedua-dua negara telah bersetuju membawa masalah ini ke ICJ bagi tuntutan muktamad.

``Sementara kawasan tersebut menjadi kawasan tuntutan bertindih, masing-masing berhak membuat rondaan atau mewujudkan atau menempatkan aset-aset kita dari semasa ke semasa di kawasan itu,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat berkelompok 117 cawangan UMNO Bahagian Pekan di sini hari ini.

Baru-baru ini Malaysia dan Singapura telah menandatangani perjanjian supaya isu bertindih Pulau Batu Putih diselesaikan di ICJ.

Bagaimanapun pulau yang dipertikaikan itu hanya menempatkan aset milik Singapura sahaja termasuk kawasan pendaratan helikopter manakala Malaysia tidak ada langsung.

Najib menjelaskan, walaupun kedua-dua negara jiran ini mempunyai banyak persamaan, kedua-duanya juga tidak boleh mengambil sebarang tindakan merugikan kepentingan negara masing-masing.

``Kita tidak boleh ambil tindakan yang merugikan kepentingan negara masing-masing. Kalau ada pertikaian, ia mesti diselesaikan melalui rundingan.

``Kalau tak boleh melalui rundingan kita kena rujuk kepada ICJ kerana itulah cara sebaik-baiknya,'' ujar beliau.

Menurutnya, walaupun penyelesaian di ICJ itu mengambil masa, mungkin tiga tahun dan mungkin timbul masalah antara kedua-dua negara dalam tempoh itu, Malaysia bersedia menghadapinya.

``Tak apa. Kita berharap tak ada apa bentuk konflik yang akan berlaku (dalam tempoh itu).

``Kita boleh mengawal keadaan supaya tak berlaku perkara tidak diingini, begitu juga Singapura. Kita percaya Singapura tahu apa implikasi atas sebarang tindakan yang mereka lakukan,'' jelasnya - Utusan Malaysia

Sunday, February 09, 2003

BISIK-BISIK MINGGUAN - AWANG SELAMAT

Diplomasi Perang Mulut

APA yang berlaku selepas majlis menandatangani perjanjian khas membawa isu Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Khamis lalu sungguh mengecewakan. Belum sempat dakwat tandatangan kering, kita `bergaduh' semula.

Buat apa capai persetujuan?

Apa yang berlaku itu memberi gambaran seolah-olah Malaysia dengan Singapura sudah tidak boleh duduk semeja untuk berbincang dan tiada harapan lagi untuk menyelesaikan masalah dalam hubungan dua hala.

Nasib baiklah kedua-dua Menteri Luar, Syed Hamid Albar dan S. Jayakumar masih boleh duduk makan tengah hari bersama. Nasib baiklah mereka masih boleh bercakap tentang golf dan berjenaka. Jika tidak, elok sahaja kita berperang!

Perang mulut di antara kedua-dua Menteri Luar itu, pada hemat Awang, tidak sepatutnya berlaku. Tidak mengapa siapa yang memulakan. Begitu juga, tidak mengapa soalan provokatif yang diajukan oleh para wartawan yang sememangnya berada di situ untuk tujuan itu.

Jika kedua-dua Menteri Luar yang berpengalaman itu tahu mereka tidak akan dapat mengawal diri masing-masing daripada terjebak ke dalam perang mulut tentang pertikaian Pulau Batu Putih, mereka sepatutnya tidak mengadakan sidang akhbar selepas menandatangani persetujuan itu. Memadai sekadar mengeluarkan kenyataan bertulis.

Apabila soalan provokatif diajukan dan mereka gagal mengawal diri, itulah yang terjadi - perang mulut yang sepatutnya tidak berlaku.

Sudah tentulah kedua-dua Menteri Luar itu perlu mempertahankan kedudukan negara masing-masing. Apabila Syed Hamid akhirnya menyatakan bahawa sidang akhbar itu bukan tempat untuk membahaskan isu Pulau Batu Putih, semuanya sudah agak terlambat. Sepatutnya, ia tidak bermula.

Lebih molek jika kedua-dua Menteri Luar itu terus ke jamuan tengah hari sebaik-baik sahaja selesai menandatangani perjanjian tersebut.

Tidak ada erti jika isu itu dipertikaikan secara terbuka di hadapan para wartawan apabila masing-masing sudah bersetuju membawanya ke muka pengadilan.

Apakah ini bermakna Malaysia dan Singapura akan terus berbalah secara terbuka sementara menunggu keputusan mahkamah itu yang dijangka mengambil masa tiga tahun?

Awang harap tidak. Kerajaan Malaysia dan kerajaan Singapura, rakyat Malaysia dan rakyat Singapura tidak boleh terus berbalah tentang Pulau Batu Putih,.

Kementerian Luar kedua-dua buah negara perlu mengambil langkah membina semula makna diplomasi yang tercemar Khamis lalu. Lainlah jika perang mulut selepas menandatangani perjanjian dikira sebahagian daripada diplomasi.

Awang harap Singapura dan Malaysia belajar daripada insiden itu dan melupakannya supaya tumpuan dapat diberikan kepada banyak perkara lain yang perlu diselesaikan - Utusan Malaysia

Friday, February 07, 2003

Pertikaian 25 tahun ke ICJ

PUTRAJAYA 6 Feb. - Malaysia dan Singapura hari ini menandatangani perjanjian khas untuk membawa isu tuntutan bertindih Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi menyelesaikan pertikaian yang berlarutan hampir 25 tahun.

Dengan termeterainya perjanjian itu, keputusan berhubung kedaulatan pulau tersebut serta dua lagi pulau batu berhampirannya yang dikenali sebagai Middle Rock dan South Sledge yang menjadi tuntutan bersama sejak 1979 akan ditentukan oleh mahkamah di The Hague, Belanda itu.

Perjanjian itu seterusnya akan diperakui oleh kerajaan kedua-dua negara sebelum semua dokumen di bawa ke ICJ bagi diputuskan negara yang berhak ke atas pulau berkenaan.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar menandatangani perjanjian itu bagi pihak Malaysia manakala Singapura di wakili oleh Menteri Luarnya, Prof. S. Jayakumar.

Dalam sidang akhbar bersama selepas itu, Syed Hamid berkata, Malaysia gembira kerana isu itu diselesaikan secara baik dengan membawanya ke ICJ.

Langkah seterusnya, kata beliau, ialah untuk memperakukan perjanjian itu oleh kerajaan kedua-dua negara sebelum dibawa ke ICJ.

Katanya, disebabkan perjanjian itu merupakan sesuatu yang penting maka kedua-dua negara bersetuju untuk memperakukannya secepat mungkin.

``Perjanjian ini amat bermakna kerana Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk menyelesaikan isu ini secara berhemah.

``Ini pendekatan penting, saya harap ia juga akan menjadi contoh kepada pertikaian lain seperti isu air,''
katanya.

Sementara itu, Jayakumar berkata, perjanjian itu menunjukkan Malaysia dan Singapura sentiasa bersedia untuk menyelesaikan apa juga isu yang berbangkit secara berhemah.

``Ini penting kerana Malaysia dan Singapura mempunyai potensi besar dalam menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang yang ada kepentingan bersama,'' ujarnya.

Oleh itu, kata beliau, jika terdapat sebarang perbezaan, ia tidak boleh dibiar sehingga boleh menjejaskan jalinan kerjasama yang ada.

``Hubungan keseluruhan tidak boleh dibiarkan terjejas hanya kerana satu isu. Majlis hari ini membuka jalan berdasarkan undang-undang antarabangsa dengan cara perjanjian dan bukan dengan tindakan lain yang tidak mengikut amalan dan undang-undang biasa,'' katanya.

Pulau Batu Putih yang terletak kira-kira 20 minit perjalanan dengan bot laju dari Teluk Ramunia di Johor, adalah milik Malaysia jika berdasarkan kepada sejarah, lokasi dan pemetaan.

Pulau yang terdiri daripada bongkah batu seluas 0.2 hektar itu terletak lapan batu nautika dari Pengerang dan 40 batu nautika ke timur Singapura, pada mulanya hanya menempatkan rumah api untuk panduan pelayaran.

Pulau itu terletak di bawah pemerintahan kesultanan Johor kerana berdasarkan sejarah, penyerahan Pulau Singapura pada tahun 1824 kepada Inggeris hanya melibatkan sebuah pulau, laut dan selat yang terletak dalam lingkungan 10 batu nautikal dari pesisir pulau Singapura
.

Sementara itu, keperluan rumah api di Pulau Batu Putih pula timbul hasil kewujudan negeri-negeri selat atau Colony of the Straits Settlement selepas pembukaan Melaka, Pulau Pinang dan Singapura.

Pembinaan rumah api itu dicadangkan oleh syarikat insurans, pedagang dan pemilik kapal kerana laluan berkenaan berbahaya dari segi ancaman lanun dan sebagainya.

Rumah api di Pulau Batu Putih dibina pada tahun 1851 hasil usaha pedagang yang mengutip tol dan dana yang diperoleh daripada mereka yang menggunakan laluan itu.

Bagi pedagang, Gabenor Colony of the Straits Settlement yang tinggal di Singapura dilantik sebagai pentadbir rumah api dan menguruskannya.

Pada mulanya Pulau Batu Putih bukan pilihan untuk pembinaan rumah api tersebut, sebaliknya, dua pulau lain iaitu Tree Island dan Barn Island yang menjadi milik Indonesia tetapi ia menghadapi masalah mendapatkan keizinan Sultan Riau.

Berikutan itu, Pulau Batu Putih menjadi perhatian dan pembinaan rumah api itu menjadi kenyataan apabila Temenggong Johor, Temenggong Abdul Rahman memberi keizinan kepada pihak terbabit untuk membina rumah api.

Sejak itu urusan mengurus dan mentadbir rumah api terbabit diserahkan kepada Singapura sehingga merdeka dan selepas Singapura berpisah dengan Malaysia hingga sekarang,
.

Atas sebab itu maka Singapura telah menanggap pulau tersebut sebagai wilayahnya termasuk melarang rakyat negara ini daripada memasuki perairan pulau itu - Utusan Malaysia

Jayakumar cetus ketegangan

Majlis meterai perjanjian Batu Putih bertukar jadi perang mulut

Oleh: Mohd. Kamil Yusuff, Aznan Bakar dan Hata Wahari

PUTRAJAYA 6 Feb. - Majlis menandatangani perjanjian khas membawa isu Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), hari ini menjadi tegang apabila Menteri Luar Malaysia dan Singapura masing-masing berkeras mempertahankan hak ke atas pulau berkenaan.

Majlis yang pada mulanya berjalan lancar berubah menjadi `perang mulut' semasa sidang akhbar selepas upacara menandatangani perjanjian bersejarah itu di Wisma Putra, di sini.


S. JAYAKUMAR (kiri) dan Syed Hamid Albar bertukar-tukar dokumen perjanjian khas untuk merujuk tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, Middle Rock dan South Ledge antara Singapura dan Malaysia ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa di Putrajaya, semalam.

Ia tercetus apabila wartawan bertanya kepada Menteri Luar Singapura, Prof. S. Jayakumar mengenai pendirian republik itu terhadap Pulau Batu Putih selepas perjanjian khas itu.

Beliau secara tiba-tiba mengejutkan semua wakil Malaysia termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar dengan menegaskan:

``Pendirian Singapura tidak berubah. Singapura yang jadi pemilik dan menguasai kedaulatan serta pengurusan pulau itu sejak lebih 150 tahun lalu tidak berubah.''

``Berdasarkan status quo yang amat konsisten ini, maka sesiapa yang berhasrat untuk melawat atau memasuki perairan (Pulau Batu Putih), jika mereka membuat permohonan selagi status quo itu diiktiraf, kami akan menimbangkannya,''
katanya.

Bagaimanapun Syed Hamid menyanggah dengan menegaskan bahawa bagi Malaysia, Pulau Batu Putih adalah wilayah Kesultanan Johor dan sebahagian daripada Malaysia.

``Dalam situasi ini, saya fikir Malaysia sentiasa ada kepentingan untuk melaksanakan haknya terhadap perairan dan ruang udara Pulau Batu Putih.

``Status quo yang disebut oleh Jayakumar adalah dari perspektif Singapura, bagi Malaysia ia adalah haknya, sebab itu wujud pertikaian dan perlu dirujuk ke ICJ,''
ujarnya.

Syed Hamid juga menegaskan, Singapura tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya walaupun isu itu telah dipersetujui untuk dibawa ke ICJ kerana banyak sensiviti dan emosi yang perlu diuruskan dengan berhati-hati.

Sidang akhbar bersama selama 40 minit itu lebih banyak diwarnai hujah mempertahankan hak ke atas pulau berkenaan yang disertai dengan perbandingan-perbandingan bagi menegakkan hujah masing-masing.

Ketika keadaan menjadi semakin hangat, Menteri Luar Singapura itu membuat perbandingan mengenai pertelingkahan Pulau Batu Putih ini dengan menyamakan pulau itu seumpama halaman rumah.

``Bayangkan anda memiliki halaman sebuah rumah, anda sudah tinggal di situ sepanjang hayat anda, begitu juga ibubapa dan nenek moyang anda. Kemudian seorang jiran berkata halaman rumah itu miliknya.

``Anda kata tidak, tetapi dia kata ya, kemudian dia kata dia mahu ke mahkamah, dan kerana anda tidak mahu bertelagah, anda kata ya.

``Tetapi esoknya anda mendapati dia mahu memasuki pagar rumah anda. Katanya disebabkan pertikaian ini, dia mempunyai hak untuk masuk ke kawasan halaman anda. Sudah tentu anda kata tidak. Biarlah mahkamah selesaikannya dahulu,''
katanya.

Bagaimanapun Syed Hamid segera menjawab, perkara itu tidak sepatutnya diandaikan sedemikian rupa.

``Saya fikir ini bukan halaman rumah. Perbandingan seumpama itu adalah suatu yang agak malang. Saya berpendapat ia merupakan soal wujudnya satu sejarah, wujudnya sebuah kesultanan, ada rumah api yang diuruskan, dan bukan suatu yang luar biasa bagi orang mengendalikan sebuah rumah api.

``Tetapi ia tidak bermakna memandangkan anda berada di situ, anda boleh mendakwa bahawa keseluruhan tempat itu milik anda. Ia merupakan satu situasi yang berbeza dan oleh itu saya harap ia tidak disimpulkan dalam satu hujah yang begitu mudah,''
tegas Syed Hamid.

Katanya, bagi Malaysia, Singapura hanya bertanggungjawab menguruskan rumah api di pulau itu sahaja.

``Singapura juga menguruskan rumah api di beberapa tempat lain (di Malaysia) seperti rumah api di Pulau Pisang sejak zaman penjajah lagi.

``Saya tidak jaga rumah saya, tidak bermakna orang yang menduduki rumah itu mempunyai hak mutlak ke atasnya.

``Itu adalah rumah saya, maka ia tetap rumah saya walaupun saya tidak melawat atau tidak menjaganya,''
tegas Syed Hamid lagi.

Ditanya kemungkinan Singapura akan turut mendedahkan kandungan perjanjian hari ini seperti yang dilakukan terhadap surat-surat perundingan berhubung isu air antara kedua-dua negara, Jayakumar berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah mengenainya.

``Tidak tahu sama ada Syed Hamid ada masalah, saya tidak ada masalah untuk mengedarkan kandungan dokumen ini,'' katanya.

Syed Hamid kemudiannya menjawab, di Malaysia, penyiaran dokumen seperti itu tidak mempunyai sebarang masalah tetapi tertakluk kepada prosedur yang perlu diikuti jika ada keperluan untuk menyiarkannya.

Katanya, ini kerana dalam perundingan seperti isu air, keputusannya sentiasa berubah-ubah dan jika surat seperti itu disiarkan ia boleh menyebabkan salah faham.

``Kita tidak boleh kendalikan kes kita melalui media kerana ia hanya akan menyukar kedua-dua pihak dalam cubaan untuk cari penyelesaian,'' tegasnya.

Jayakumar pula mencelah mempertahankan tindakan menyiarkan surat-surat berkenaan dengan berkata, ``ia adalah sebagai sebahagian daripada usaha mempertahankan diri.''

Mengenai kemungkinan rondaan bersama dijalankan di perairan pulau berkenaan, Syed Hamid berkata, Malaysia akan memastikan setiap aktiviti di pulau itu adalah berdasarkan bahawa ia adalah wilayah Malaysia dan tertakluk di bawah kedaulatan negara ini.

Ketika ini, Jayakumar segera menjawab, bahawa rondaan bersama itu tidak pernah dibangkitkan dalam perjanjian atau perbincangan selama ini.

Pada akhir sidang akhbar tersebut, Syed Hamid menegaskan, Malaysia tidak bertujuan untuk bertindak agresif kerana perkara itu dirujuk kepada ICJ dan kedua-dua pihak perlu terima apa juga keputusan yang bakal dibuat - Utusan Malaysia

PM: Tiada rombakan Kabinet sebelum Okt.

Oleh: Marhani Kamaruddin dan Abdullah Hamid

KUALA LUMPUR 6 Feb. - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini berkata, beliau tidak akan melakukan sebarang rombakan Kabinet sebelum melepaskan jawatannya pada Oktober ini.

Perdana Menteri turut memberitahu, beliau akan bercuti dua bulan sebaik selesai Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali NAM pada 20 Februari hingga 25 Februari ini seperti yang telah dipersetujui dalam rancangan pengundurannya.

Dalam tempoh tersebut, kata beliau, Timbalannya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan memangku jawatan Perdana Menteri.

Dr. Mahathir turut mengesahkan pilihan raya umum ke-11 tidak akan diadakan sebelum pengunduran beliau pada Oktober ini.

``Mana ada masa. Kita hendak buat persediaan untuk Pertubuhan Persidangan Negara-Negara Islam (OIC).

``Mac dan April saya bercuti. Mei, Jun dan Julai pula ada mesyuarat UMNO. Selepas itu mesyuarat OIC pula...mana ada masa,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau persiapan persidangan NAM, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Sebelum itu Dr. Mahathir melancarkan duit syiling peringatan, setem kenangan dan sampul surat hari pertama serta buku program kerjasama teknikal Malaysia sempena persidangan NAM.

Muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini yang memetik wawancara Reuters dengan Perdana Menteri, melaporkan bahawa pilihan raya umum tidak akan diadakan sebelum Oktober ini.

``Memang sah,'' kata Dr. Mahathir ketika diminta mengesahkan laporan tersebut.

Ditanya sama ada isu peletakan jawatan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik akan ditentukan oleh pemangkunya semasa beliau bercuti, katanya:

``Saya tidak tahu. Mungkin...beliau (Abdullah) yang menjadi Perdana Menteri, dia tentukan,'' katanya.

Sambil menegaskan yang beliau tidak meminta sesiapa pun mengikut langkahnya meletak jawatan, Dr. Mahathir mengingatkan setiap anggota Kabinet perlu berbuat demikian pada pilihan raya umum akan datang.

``Anda tidak boleh terus menjadi menteri dan bertanding pilihan raya kerana pada masa itu seluruh kerajaan akan dibubarkan... menteri tidak lagi jadi menteri,'' katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan baru akan dibentuk selepas selesai pilihan raya dan Perdana Menteri yang dilantik kemudian akan menentukan anggota Kabinetnya.

Mengulas kenyataan Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yeik bahawa semua anggota Kabinet Dr. Mahathir perlu meletak jawatan apabila beliau berundur Oktober ini, beliau berkata:

``Itu pandangan dia. Saya tak hendak `ikat' semua orang. Apabila saya pergi dan berundur, semua orang kena undur diri...tak payahlah,'' katanya.

Perdana Menteri turut memberitahu yang beliau tidak sedar tentang wujudnya peruntukan tersebut dalam sistem demokrasi berparlimen.

Sementara itu, mengulas isu Pulau Batu Putih, Dr. Mahathir berkata, Malaysia tidak mengiktiraf pulau tersebut sebagai milik Singapura.

Katanya, selagi isu itu masih dalam pertikaian, tidak ada siapa yang boleh mendakwa pulau itu milik mereka
.

``Jika mereka (Singapura) mahu ke tempat yang dituntut (Pulau Batu Putih), mereka berhak dan kita juga mempunyai hak yang sama,'' ujarnya mengulas majlis menandatangani perjanjian khas membawa isu Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) - Utusan Malaysia

Thursday, February 06, 2003

Tuntutan diselesai dalam tiga tahun

Oleh Hata Wahari

PUTRAJAYA 5 Feb. - Malaysia menjangka Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) akan mengambil masa selama tiga tahun untuk menyelesaikan tuntutan bertindih antara Malaysia dan Singapura mengenai Pulau Batu Putih.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, setelah perkara itu diserahkan kepada ICJ untuk diputuskan, banyak proses terpaksa dilaksanakan.

Esok, Malaysia dan Singapura akan menandatangani perjanjian khas untuk membawa kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih di Wisma Putra di sini.

Menurut Syed Hamid, proses itu berdasarkan jadual yang telah ditetapkan oleh ICJ untuk kedua-dua pihak.

``Proses yang terlibat agak rumit di mana ia melibatkan penyediaan penghujahan bertulis, penghujahan balas dan penghujahan lisan.

``Setiap penghujahan ini perlu disertakan dengan dokumen-dokumen untuk menyokong setiap perkara yang dibentangkan kepada ICJ,'' katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan 66 buah kereta BMW Siri 7 oleh Cartrade Sdn. Bhd. kepada Kementerian Luar untuk digunakan semasa Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) Ke-13 dari 20 hingga 25 Februari ini.

Pada majlis memeterai perjanjian esok, Syed Hamid akan mewakili Malaysia manakala Singapura akan diwakili oleh Menteri Luarnya, Prof. S. Jayakumar.

Beliau memberitahu, penyediaan dokumen sahaja mengambil masa sekurang-kurangnya setahun.

Jarak Pulau Batu Putih hanyalah 7.75 batu nautika dari Tanjung Penyusop, Mersing manakala jarak pulau itu dengan Singapura ialah 25 batu nautika.

Kata Syed Hamid lagi, Malaysia telah pun membuat segala persiapan yang perlu untuk membentangkan kesnya di ICJ).

``Inilah satu-satunya cara untuk mencari satu penyelesaian secara aman, melalui proses perundangan,'' katanya.

Syed Hamid juga menegaskan, Malaysia melihat tuntutan ke atas Pulau Batu Putih berlainan dengan kes tuntutan bertindih Pulau Sipadan dan Ligitan di antara negara ini dengan Indonesia.

Syed Hamid berkata, Malaysia akan menggunakan khidmat pakar yang sama dalam tuntutan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan serta melantik beberapa orang pakar baru untuk membantu dalam kes ini - Utusan Malaysia

Malaysia, Singapura perlu persefahaman atasi isu Batu Putih

JOHOR BAHRU 5 Feb. - Malaysia dan Singapura perlu mempunyai persefahaman serta tertib dalam menangani isu tuntutan bertindih Pulau Batu Putih selepas kedua-dua negara itu menandatangani perjanjian khas berhubung perkara itu di Putrajaya esok.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, selepas kedua-dua negara bersetuju untuk membawa kes tersebut ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), seharusnya tidak ada mana-mana pihak yang mendakwa berhak terhadap pulau itu sehingga ia diputuskan oleh mahkamah.

``Ia perlu ada persefahaman dan ketertiban antara kita dan Singapura untuk menggunakan Pulau Batu Putih sebagai sebuah pulau yang tidak boleh didakwa kedaulatannya oleh kedua-dua negara,'' katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Wanita Anggun Bestari Negeri Johor di sini, hari ini.

Abdul Ghani berkata demikian ketika ditanya harapan beliau selepas Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian membawa kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih ke ICJ di Putrajaya esok.

Perjanjian tersebut dijangka menamatkan pertikaian hampir 25 tahun antara kedua-dua negara berhubung kedaulatan pulau berkenaan sejak isu itu timbul pada tahun 1979.

Selepas perjanjian tersebut Abdul Ghani menambah, kedua-dua negara tidak sepatutnya saling ugut-mengugut atau mendakwa pulau tersebut sebagai hak mereka selagi ia tidak diputuskan oleh ICJ.

``Saya percaya sementara menunggu keputusan mahkamah, suasana antara kedua-dua negara ini adalah dalam keadaan persefahaman yang baik.

Tegas beliau, sebarang perang mulut atau amaran daripada kedua-dua negara seharusnya tidak berlaku selepas perjanjian itu dimeterai.

``Singapura tidak sewajarnya mendakwa pulau itu sebagai hak mereka selepas ini (perjanjian) dan biarlah mahkamah membuat keputusan,'' katanya - Utusan Malaysia

Wednesday, February 05, 2003

Batu Putih: Pertikaian 25 tahun dijangka tamat esok

Oleh: Aznan Bakar

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Persetujuan Malaysia-Singapura untuk menandatangani perjanjian membawa kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Putrajaya 6 Februari ini dijangka menamatkan pertikaian hampir 25 tahun antara kedua-dua negara berhubung kedaulatan pulau tersebut.

Sejak isu tuntutan itu timbul pada tahun 1979, kedua-dua pihak saling tuduh menuduh dan ancam mengancam antara satu sama lain kerana masing-masing mendakwa lebih berhak ke atas pulau batu seluas 0.2 hektar yang tidak mempunyai sebarang kepentingan ekonomi itu.

Namun kedudukannya yang strategik di laluan antarabangsa dalam perairan Laut China Selatan menjadikan ia amat penting untuk tujuan keselamatan. Dengan termeterai perjanjian itu, kini terpulang kepada ICJ untuk memutuskan pemilik pulau itu berdasarkan bukti dan hujah yang bakal dibentangkan.

Perjanjian itu juga dijangka menamatkan pelbagai polemik yang timbul selama ini sehingga ada ketikanya meletakkan Malaysia-Singapura seolah-olah di ambang perang.

``Diharapkan (melalui perjanjian itu) tuntutan bertindih terhadap pulau itu, yang pertama kali timbul pada 1979 dan menjadi lebih hangat sejak beberapa bulan kebelakangan ini tidak akan menjadi polemik lagi,'' kata Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid baru-baru ini.

Persetujuan untuk menandatangani perjanjian itu dicapai setelah dua negara terbabit gagal mencari jalan penyelesaian lain yang lebih baik dalam menentukan pemilik pulau tersebut melainkan ICJ.

Sebelum tarikh 6 Februari itu dipersetujui, kedua-dua pihak sebelum ini telah mencadangkan beberapa tarikh tetapi ia tidak dapat diterima terutama oleh Malaysia.

Oleh itu perjanjian di Putrajaya pada Khamis ini merupakan tindakan betul yang telah diambil oleh kedua-dua pihak kerana sejarah pernah membuktikan bahawa perebutan wilayah boleh membawa kepada pertelingkahan terbuka yang serius jika ia tidak ditangani segera.

Oleh itu sebelum berlakunya sebarang kemungkinan buruk, Malaysia mahukan perjanjian itu dilakukan secepat mungkin supaya ia tidak terus menjadi polemik.

Menurut Syed Hamid, jika perkara itu terus ditangguh lebih lama ia hanya akan menegangkan keadaan sedia ada yang mana ia harus dielakkan oleh kedua-dua negara.

Kini terpulang kepada kedua-dua pihak untuk mengemukakan bukti dan hujah masing-masing yang kemudiannya akan diadili oleh panel hakim ICJ.

Bagi Malaysia perjanjian itu diharap akan mengekalkan status quo terhadap Pulau Batu Putih, iaitu sama ada Kuala Lumpur ataupun Singapura tidak akan menuntut kedaulatan pulau itu sehingga diputuskan oleh ICJ.

``Saya berharap kedua-dua pihak akan menggunakan hak masing-masing tanpa halangan ataupun gangguan daripada mana-mana pihak dan saya berpendapat tiada pihak buat masa ini boleh menuntut kedaulatan pulau itu,'' kata Syed Hamid.

Oleh itu kedua-dua pihak akhirnya harus akur dan menghormati apa jua keputusan yang bakal dibuat nanti.

Cuma kata Syed Hamid, sementara menunggu penghakiman ICJ, kedua-dua pihak harus melaksanakan hak masing-masing terhadap pulau itu, kecuali dalam pengurusan rumah api yang akan dikendalikan oleh Singapura sehingga pertikaian itu selesai.

Ia termasuk membenarkan nelayan Malaysia menangkap ikan di perairan pulau itu yang merupakan antara kawasan mereka mencari rezeki sejak dahulu lagi.

Berdasarkan sejarah, pembinaan rumah api di pulau itu adalah atas persetujuan Sultan Johor ketika itu, iaitu Sultan Sir Abu Bakar untuk panduan pelayaran.

Pembinaannya dirasakan perlu selepas pembukaan Negeri-negeri Selat atau kewujudan Colony of the Straits Settlement selepas Inggeris menduduki Melaka, Pulau Pinang dan Singapura.

Rumah api itu dibina pada tahun 1851 hasil usaha para pedagang yang mengutip tol dan dana yang diperoleh daripada mereka yang menggunakan laluan itu.

Selepas dibina Gabenor Negeri-Negeri Selat yang tinggal di Singapura pula dilantik sebagai pentadbir bagi mengurus rumah api itu.

Atas alasan itu Singapura mendakwa mereka telah mentadbir pulau itu sejak 150 tahun dahulu dan menganggap ia sebahagian daripada wilayah mereka walaupun kedudukan pulau itu lebih dekat dengan Johor.

Namun, kini kedua-dua negara telah bersetuju untuk membawa perkara itu ke ICJ dan mereka perlu akur dengan apa juga keputusan yang bakal dibuat.

``Kedua-dua pihak telah membuat keputusan yang betul dalam memilih jalan penyelesaian menerusi ICJ daripada menghadapi konflik terbuka,'' kata Syed Hamid - Utusan Malaysia

Saturday, February 01, 2003

Malaysia minta Singapura hentikan isu sensitif

KUALA LUMPUR 31 Jan. - Malaysia meminta Singapura berhenti membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh mengeruhkan lagi hubungan dua hala di antara kedua buah negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, kenyataan-kenyataan negatif termasuk membincangkan secara terbuka agenda kemungkinan perang dengan negara ini tidak mendatangkan faedah kepada republik itu.

Katanya, Singapura harus mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku di Phnom Penh, Kemboja, minggu lalu.

Katanya, sesebuah negara perlu menjaga sensitiviti sesebuah negara lain, menghormati budayanya dan menjaga hati jirannya.

``Jangan sentuh soal agama, kedaulatan dan kedudukan sesebuah negara sesedap rasa kita hingga menyinggung perasaan negara jiran kita,'' jelasnya.

Syed Hamid menyatakan demikian kepada pemberita selepas menjadi tamu dalam program Wawancara Pagi di RTM, di sini hari ini.

Rusuhan dan tindakan membakar kedutaan Thailand tersebut meletus ekoran komen seorang pelakon negara tersebut yang mengatakan Angkor Wat yang menjadi simbol kebangsaan Kemboja adalah milik Thailand.

Kata Syed Hamid, semua pihak harus berhenti membuat kenyataan dan tidak perlu menuding jari antara satu sama lain dalam menyelesaikan masalah.

Beliau mengakui hubungan kedua-dua negara mengalami beberapa `kerenggangan' akibat isu harga air dan Pulau Batu Putih.

``Memang kita akui ada perselisihan pendapat yang ketara dengan negara itu, tapi tidak sepatutnya diterjemahkan dengan tidak wajar seperti pendedahan dokumen-dokumen rahsia rundingan tentang harga air dan isu Pulau Batu Putih.


``Saya fikir agak tidak bertanggungjawab apabila tidak setuju dengan rundingan mengenainya, dokumen-dokumen didedah kepada umum,'' katanya.

Syed Hamid berkata, semua pihak perlu menekankan kepada kepentingan hubungan dua hala dalam bidang ekonomi, politik dan kebudayaan yang lebih erat antara kedua-dua negara dalam semangat kejiranan.

Dalam hal ini, katanya, Malaysia tetap menginginkan hubungan yang baik dengan republik itu dan menyelesaikan semua masalah hubungan dua hala dan penyelesaian isu harga air serta beberapa isu lain secara aman.

Mengenai tindakan Singapura mendedahkan dokumen-dokumen perjanjian dan rundingan berkenaan, Syed Hamid berkata: ``Kita tidak akan menulis sebarang surat kepada Singapura dan perlu berhati-hati jika menulis''.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan sokongan terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed di mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO semalam tentang sikap agresif Singapura terhadap Malaysia sehingga sanggup berperang berpunca daripada masalah dalaman republik tersebut - Utusan Malaysia