Friday, February 07, 2003

PM: Tiada rombakan Kabinet sebelum Okt.

Oleh: Marhani Kamaruddin dan Abdullah Hamid

KUALA LUMPUR 6 Feb. - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini berkata, beliau tidak akan melakukan sebarang rombakan Kabinet sebelum melepaskan jawatannya pada Oktober ini.

Perdana Menteri turut memberitahu, beliau akan bercuti dua bulan sebaik selesai Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali NAM pada 20 Februari hingga 25 Februari ini seperti yang telah dipersetujui dalam rancangan pengundurannya.

Dalam tempoh tersebut, kata beliau, Timbalannya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan memangku jawatan Perdana Menteri.

Dr. Mahathir turut mengesahkan pilihan raya umum ke-11 tidak akan diadakan sebelum pengunduran beliau pada Oktober ini.

``Mana ada masa. Kita hendak buat persediaan untuk Pertubuhan Persidangan Negara-Negara Islam (OIC).

``Mac dan April saya bercuti. Mei, Jun dan Julai pula ada mesyuarat UMNO. Selepas itu mesyuarat OIC pula...mana ada masa,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau persiapan persidangan NAM, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Sebelum itu Dr. Mahathir melancarkan duit syiling peringatan, setem kenangan dan sampul surat hari pertama serta buku program kerjasama teknikal Malaysia sempena persidangan NAM.

Muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini yang memetik wawancara Reuters dengan Perdana Menteri, melaporkan bahawa pilihan raya umum tidak akan diadakan sebelum Oktober ini.

``Memang sah,'' kata Dr. Mahathir ketika diminta mengesahkan laporan tersebut.

Ditanya sama ada isu peletakan jawatan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik akan ditentukan oleh pemangkunya semasa beliau bercuti, katanya:

``Saya tidak tahu. Mungkin...beliau (Abdullah) yang menjadi Perdana Menteri, dia tentukan,'' katanya.

Sambil menegaskan yang beliau tidak meminta sesiapa pun mengikut langkahnya meletak jawatan, Dr. Mahathir mengingatkan setiap anggota Kabinet perlu berbuat demikian pada pilihan raya umum akan datang.

``Anda tidak boleh terus menjadi menteri dan bertanding pilihan raya kerana pada masa itu seluruh kerajaan akan dibubarkan... menteri tidak lagi jadi menteri,'' katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan baru akan dibentuk selepas selesai pilihan raya dan Perdana Menteri yang dilantik kemudian akan menentukan anggota Kabinetnya.

Mengulas kenyataan Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yeik bahawa semua anggota Kabinet Dr. Mahathir perlu meletak jawatan apabila beliau berundur Oktober ini, beliau berkata:

``Itu pandangan dia. Saya tak hendak `ikat' semua orang. Apabila saya pergi dan berundur, semua orang kena undur diri...tak payahlah,'' katanya.

Perdana Menteri turut memberitahu yang beliau tidak sedar tentang wujudnya peruntukan tersebut dalam sistem demokrasi berparlimen.

Sementara itu, mengulas isu Pulau Batu Putih, Dr. Mahathir berkata, Malaysia tidak mengiktiraf pulau tersebut sebagai milik Singapura.

Katanya, selagi isu itu masih dalam pertikaian, tidak ada siapa yang boleh mendakwa pulau itu milik mereka
.

``Jika mereka (Singapura) mahu ke tempat yang dituntut (Pulau Batu Putih), mereka berhak dan kita juga mempunyai hak yang sama,'' ujarnya mengulas majlis menandatangani perjanjian khas membawa isu Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) - Utusan Malaysia

No comments: