Majlis meterai perjanjian Batu Putih bertukar jadi perang mulut
Oleh: Mohd. Kamil Yusuff, Aznan Bakar dan Hata Wahari
PUTRAJAYA 6 Feb. - Majlis menandatangani perjanjian khas membawa isu Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), hari ini menjadi tegang apabila Menteri Luar Malaysia dan Singapura masing-masing berkeras mempertahankan hak ke atas pulau berkenaan.
Majlis yang pada mulanya berjalan lancar berubah menjadi `perang mulut' semasa sidang akhbar selepas upacara menandatangani perjanjian bersejarah itu di Wisma Putra, di sini.
S. JAYAKUMAR (kiri) dan Syed Hamid Albar bertukar-tukar dokumen perjanjian khas untuk merujuk tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, Middle Rock dan South Ledge antara Singapura dan Malaysia ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa di Putrajaya, semalam.
Ia tercetus apabila wartawan bertanya kepada Menteri Luar Singapura, Prof. S. Jayakumar mengenai pendirian republik itu terhadap Pulau Batu Putih selepas perjanjian khas itu.
Beliau secara tiba-tiba mengejutkan semua wakil Malaysia termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar dengan menegaskan:
``Pendirian Singapura tidak berubah. Singapura yang jadi pemilik dan menguasai kedaulatan serta pengurusan pulau itu sejak lebih 150 tahun lalu tidak berubah.''
``Berdasarkan status quo yang amat konsisten ini, maka sesiapa yang berhasrat untuk melawat atau memasuki perairan (Pulau Batu Putih), jika mereka membuat permohonan selagi status quo itu diiktiraf, kami akan menimbangkannya,'' katanya.
Bagaimanapun Syed Hamid menyanggah dengan menegaskan bahawa bagi Malaysia, Pulau Batu Putih adalah wilayah Kesultanan Johor dan sebahagian daripada Malaysia.
``Dalam situasi ini, saya fikir Malaysia sentiasa ada kepentingan untuk melaksanakan haknya terhadap perairan dan ruang udara Pulau Batu Putih.
``Status quo yang disebut oleh Jayakumar adalah dari perspektif Singapura, bagi Malaysia ia adalah haknya, sebab itu wujud pertikaian dan perlu dirujuk ke ICJ,'' ujarnya.
Syed Hamid juga menegaskan, Singapura tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya walaupun isu itu telah dipersetujui untuk dibawa ke ICJ kerana banyak sensiviti dan emosi yang perlu diuruskan dengan berhati-hati.
Sidang akhbar bersama selama 40 minit itu lebih banyak diwarnai hujah mempertahankan hak ke atas pulau berkenaan yang disertai dengan perbandingan-perbandingan bagi menegakkan hujah masing-masing.
Ketika keadaan menjadi semakin hangat, Menteri Luar Singapura itu membuat perbandingan mengenai pertelingkahan Pulau Batu Putih ini dengan menyamakan pulau itu seumpama halaman rumah.
``Bayangkan anda memiliki halaman sebuah rumah, anda sudah tinggal di situ sepanjang hayat anda, begitu juga ibubapa dan nenek moyang anda. Kemudian seorang jiran berkata halaman rumah itu miliknya.
``Anda kata tidak, tetapi dia kata ya, kemudian dia kata dia mahu ke mahkamah, dan kerana anda tidak mahu bertelagah, anda kata ya.
``Tetapi esoknya anda mendapati dia mahu memasuki pagar rumah anda. Katanya disebabkan pertikaian ini, dia mempunyai hak untuk masuk ke kawasan halaman anda. Sudah tentu anda kata tidak. Biarlah mahkamah selesaikannya dahulu,'' katanya.
Bagaimanapun Syed Hamid segera menjawab, perkara itu tidak sepatutnya diandaikan sedemikian rupa.
``Saya fikir ini bukan halaman rumah. Perbandingan seumpama itu adalah suatu yang agak malang. Saya berpendapat ia merupakan soal wujudnya satu sejarah, wujudnya sebuah kesultanan, ada rumah api yang diuruskan, dan bukan suatu yang luar biasa bagi orang mengendalikan sebuah rumah api.
``Tetapi ia tidak bermakna memandangkan anda berada di situ, anda boleh mendakwa bahawa keseluruhan tempat itu milik anda. Ia merupakan satu situasi yang berbeza dan oleh itu saya harap ia tidak disimpulkan dalam satu hujah yang begitu mudah,'' tegas Syed Hamid.
Katanya, bagi Malaysia, Singapura hanya bertanggungjawab menguruskan rumah api di pulau itu sahaja.
``Singapura juga menguruskan rumah api di beberapa tempat lain (di Malaysia) seperti rumah api di Pulau Pisang sejak zaman penjajah lagi.
``Saya tidak jaga rumah saya, tidak bermakna orang yang menduduki rumah itu mempunyai hak mutlak ke atasnya.
``Itu adalah rumah saya, maka ia tetap rumah saya walaupun saya tidak melawat atau tidak menjaganya,'' tegas Syed Hamid lagi.
Ditanya kemungkinan Singapura akan turut mendedahkan kandungan perjanjian hari ini seperti yang dilakukan terhadap surat-surat perundingan berhubung isu air antara kedua-dua negara, Jayakumar berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah mengenainya.
``Tidak tahu sama ada Syed Hamid ada masalah, saya tidak ada masalah untuk mengedarkan kandungan dokumen ini,'' katanya.
Syed Hamid kemudiannya menjawab, di Malaysia, penyiaran dokumen seperti itu tidak mempunyai sebarang masalah tetapi tertakluk kepada prosedur yang perlu diikuti jika ada keperluan untuk menyiarkannya.
Katanya, ini kerana dalam perundingan seperti isu air, keputusannya sentiasa berubah-ubah dan jika surat seperti itu disiarkan ia boleh menyebabkan salah faham.
``Kita tidak boleh kendalikan kes kita melalui media kerana ia hanya akan menyukar kedua-dua pihak dalam cubaan untuk cari penyelesaian,'' tegasnya.
Jayakumar pula mencelah mempertahankan tindakan menyiarkan surat-surat berkenaan dengan berkata, ``ia adalah sebagai sebahagian daripada usaha mempertahankan diri.''
Mengenai kemungkinan rondaan bersama dijalankan di perairan pulau berkenaan, Syed Hamid berkata, Malaysia akan memastikan setiap aktiviti di pulau itu adalah berdasarkan bahawa ia adalah wilayah Malaysia dan tertakluk di bawah kedaulatan negara ini.
Ketika ini, Jayakumar segera menjawab, bahawa rondaan bersama itu tidak pernah dibangkitkan dalam perjanjian atau perbincangan selama ini.
Pada akhir sidang akhbar tersebut, Syed Hamid menegaskan, Malaysia tidak bertujuan untuk bertindak agresif kerana perkara itu dirujuk kepada ICJ dan kedua-dua pihak perlu terima apa juga keputusan yang bakal dibuat - Utusan Malaysia
Friday, February 07, 2003
Jayakumar cetus ketegangan
Posted by 9T9 at 1:46 PM
Labels: Media, Pra ICJ, Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment