Tuesday, February 18, 2003

Bisukan kerenah Singapura

Saya kira selepas selesainya majlis menandatangani perjanjian khas untuk membawa tuntutan ke atas Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 6 Februari lalu, pertikaian di antara negara kita dengan Singapura selesai. Tidak akan ada lagi kecam-mengecam dan ungkit-mengungkit terhadap apa-apa perkara di antara satu sama lain selepas itu.

Kedua-dua pihak, baik negara kita atau Singapura akan diam dan sabar menanti keputusan ICJ yang dijangka selesai dalam masa kira-kira tiga tahun.

Dalam tempoh penantian itu kedua-dua negara akan menjaga hubungan baik yang selama ini berjalan tanpa ada prejudis dan menimbulkan perkara-perkara baru yang boleh menimbulkan ketegangan dan masalah.

Lebih diharapkan lagi kedua-dua pihak akan mencari formula untuk menjernihkan keadaan dan mencari jalan bagi mengeratkan hubungan dua hala sebagai dua buah negara yang berjiran.

Tetapi anggapan saya itu meleset dan persetujuan tersebut tidak menjanjikan kedua-dua pihak duduk diam. Pertikaian nampaknya terus berlaku. Seperti mana yang dilaporkan, belum sempat dakwat kering telah berlaku pertikaman lidah di antara kedua-dua Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Prof. S. Jayakumar sewaktu sidang akhbar diadakan. Keadaan ini sungguh mengecewakan!

Paling baru ialah mengenai pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor. Seperti mana kata Datuk Seri Syed Hamid Albar, lapor Utusan Malaysia semalam, Perdana Menteri Singapura Goh Chok Tong tidak bersetuju dengan pembinaan jambatan berkenaan. Chok Tong memanipulasikan isu dengan mendakwa pembinaan jambatan itu adalah termasuk dalam pakej beberapa isu yang sedang dirundingkan. Sebaliknya dakwa Syed Hamid pembinaan jambatan baru itu tidak termasuk dalam pakej isu yang sedang dirundingkan.

Kita percaya dengan menteri luar kita. Beliau tidak mungkin berbohong dalam perkara ini, apatah lagi dengan niat sengaja ingin menimbulkan sesuatu tidak baik terhadap Perdana Menteri Singapura itu. Apa yang Syed Hamid lakukan adalah untuk mempertahankan perkara yang tidak betul dan tidak benar yang diluahkan oleh Chok Tong.

Mengambil kira terhadap pertikaian terbaru itu, saya yakin sebelum ICJ membuat keputusan mengenai Pulau Batu Putih, pertikaian di antara negara kita dengan Singapura tidak akan terhenti. Lepas satu-satu isu akan dibangkitkan.

Singapura seperti umum tahu, mereka sengaja mahu bermain tarik tali dengan kita dalam apa juga isu termasuk air, tanah Keretapi Tanah Melayu dan sebagainya.

Masalah ekonomi negara itu yang semakin parah menyebabkan mereka ingin mengubah pandangan rakyat dengan menimbulkan apa sahaja isu dengan Malaysia. Mereka akan mencari dan mencipta apa-apa juga perkara asalkan boleh menjadi isu dan polemik.

Maknanya dalam tempoh tiga tahun nanti atau selepasnya, kita akan membaca banyak lagi berita-berita yang kurang menyenangkan dan mendamaikan minda di antara kita dengan Singapura. Saya percaya Singapura akan menimbulkan apa sahaja yang mereka kira boleh menyebabkan kita tersentak dan respons ke atasnya.


Bagi mereka dengan cara begitu, rakyatnya akan lupa kepada masalah ekonomi serta masa depan negaranya yang semakin ditandingi oleh kita.

Di sini suka saya mengemukakan satu idea dalam menghadapi masalah ini. Mungkin idea saya dikira kolot ataupun tidak rasional di zaman globalisasi dan dunia tanpa sempadan ini, tetapi ia boleh direnung dan difikir bersama demi tidak mengkelam-kabutkan fikiran kita bila berhadapan dengan kerenah atau sikap negara jiran itu.

Cadangan saya ialah media massa kita perlu menutup berita-berita mengenai pertikaian kita dengan Singapura. Kerenah ataupun kritikan Singapura ke atas kita hendaklah dibisukan. Biarlah media mereka sahaja yang menguar-uarkan apa-apa yang kurang senang ke atas kita. Kita harus bersikap lebih `dewasa media' dalam hal ini.

Kecualilah hal-hal yang menyentuh perhatian dunia, barulah media kita perlu bingkas memberi pandangan atau ulasan. Untuk tujuan ini menteri kita, khasnya Menteri Luar jangan mudah respons dengan apa-apa kenyataan atau sindiran daripada Singapura.

Ada kalanya dalam hal ini Menteri Luar kita bersikap terlebih peka dan ini menjadikan pihak di Singapura semakin suka dengan provokasinya. Kenyataan akhbar ataupun gosip-gosip dari laman web yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak di negara itu yang bermotifkan untuk melihat reaksi kita, tidak perlu dilayankan.

Perlu difahami sikap dan telatah Singapura adalah seperti seorang budak kecil yang sedang merengek dan menangis kerana ingin sesuatu benda.

Sekiranya kita melayani kerenahnya itu maka rengekan dan tangisannya semakin menjadi-jadi. Apa yang dia perlukan ialah perhatian atau reaksi daripada kita. Kalau kita membiarkannya lama-kelamaan dia akan berhenti merengek dengan sendirinya.


Lagipun saya rasa dengan cara ini ia boleh menjimatkan dan tidak membuang masa kita. Dan masa yang sangat berharga itu adalah elok kalau digunakan untuk perkara yang lebih besar dan bermakna lagi.

Tanpa kita sedari, hari ini kita mengambil masa banyak untuk melayani kerenah Singapura. Alangkah baiknya kalau masa, ataupun ruang akhbar yang banyak digunakan untuk melayani kerenah Singapura itu digunakan untuk perkara lebih berfaedah. Misalnya masalah dadah yang mana baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengisytiharkan tahun 2003 sebagai tahun membasmi dadah habis-habisan.

Ini lebih baik dan berguna untuk pembangunan rakyat dan negara kita daripada kita melayani si budak kecil yang sedang bermasalah seperti Singapura itu.

- MOHD. SAYUTI OMAR, Kuala Lumpur.

No comments: