AKHIRNYA Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh, sekali gus menamatkan pertikaian selama 28 tahun antara Malaysia dan republik itu. Pulau Batu Puteh yang dikenali di Singapura sebagai Pedra Blanca (bahasa Portugis untuk Batu Puteh), sebesar separuh padang bola, terletak kira-kira 7.7 batu nautika dari Tanjung Penyusoh, Johor dan 25 batu nautika dari Singapura. Mahkamah yang sama turut memberikan Malaysia hak kedaulatan terhadap Terumbu Karang Tengah meskipun ia lebih berupa struktur batu atau terumbu karang di Laut China Selatan. Ia sekurang-kurangnya merawat sedikit kekecewaan rakyat dan negara ini atas kehilangan Pulau Batu Putih. ICJ, badan kehakiman utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga menetapkan bahawa Terumbu Karang Selatan adalah milik negara di mana terletaknya perairan wilayah. Kedudukan dua terumbu karang itu, secara geologi bersambung dengan Pulau Batu Puteh. Keputusan itu muktamad, tiada rayuan dan sebab itu kedua-dua negara sepakat untuk menerima apa saja keputusan mahkamah.
Menang atau kalah, yang pasti banyak masa dan kos dihabiskan. Dalam masa kita terpaksa menerima keputusan mahkamah dunia itu, kes ini juga perlu menjadi pengajaran kepada kita agar tidak mengambil tindakan melulu sehingga menggadaikan maruah dan masa depan negara. Kes Batu Puteh ini mungkin tidak timbul jika pemimpin terdahulu mengkaji secara teliti dengan mengambil kira segala aspek sebelum memecat Singapura pada 1965. Keputusan kes ini menunjukkan kelemahan pemimpin dan pentadbir dulu dalam rundingan yang membabitkan kedaulatan negara. Contoh ketara dalam penghakiman dibacakan oleh Naib Presiden ICJ, Shawkat Al-Khasawneh itu ialah berkaitan kenyataan dikeluarkan oleh pemangku Setiausaha Kerajaan Johor pada 1953 yang menyatakan negeri itu tidak membuat sebarang tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh yang ditadbir Singapura ketika itu. Semua fakta sejarah itu dikemukakan kedua-dua negara pada perbicaraan kes dari 6 hingga 23 November tahun lalu. Kita tidak boleh berbohong atau cuba menulis semula sejarah. Ini juga adalah satu pengajaran supaya kita tidak lagi berdiam diri begitu lama mengenai sesuatu isu yang membabitkan kedaulatan negara. Jika kita rasa sesuatu wilayah itu hak kita, maka kita harus pertahan dan perjuangkan.
Rakyat Malaysia perlu menerima keputusan itu dengan hati terbuka meskipun ia memang sesuatu yang menyedihkan kerana menyerahkan kepada ICJ adalah kaedah terbaik untuk menyelesaikan tuntutan bertindih. Dengan keputusan itu, kita berharap Singapura tidak akan melakukan kerja penambakan laut kerana perbuatan itu dikhuatiri akan menjejaskan ekologi dan perairan negara terutama di kawasan Selatan Johor. Kita khuatir Singapura menggunakan hak itu untuk 'menghalalkannya' melakukan apa saja aktiviti pembangunan untuk meluaskan kawasannya yang boleh menjejaskan alam sekitar seperti tumpahan minyak ke laut yang mengancam hidupan laut. Sebarang pencemaran di pulau yang terletak di luar pantai tenggara Pengerang, dengan jaraknya cuma 20 minit menaiki bot laju dari Teluk Ramunia itu boleh menjejaskan nasib nelayan di Johor. Walau apa pun asas undang-undang antarabangsa yang digunakan oleh ICJ, dari segi nilai sejarah, kedaulatan dan moralnya, kita sudah kehilangan sebahagian wilayah kita. Bagaimanapun, kita juga perlu ingat bahawa kita pernah menang di mahkamah yang sama apabila Malaysia diberi hak kedaulatan ke atas Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan pada 17 Disember 2002 - Berita Harian
Saturday, May 24, 2008
Terima keputusan ICJ dengan hati terbuka
Posted by 9T9 at 12:13 PM
Labels: Berita Harian, Post ICJ Ruling, Ulasan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment