Saturday, May 24, 2008

Nelayan kita bebas ke Batuan Tengah

Keputusan mahkamah beri banyak faedah kepada Malaysia berbanding Singapura hilang status quo


RAI KEJAYAAN: Akhbar Singapura berbahasa Melayu dan Inggeris menyiarkan berita muka depan mengenai kemenangan republik itu ke atas tuntutan terhadap Pulau Batu Puteh atau dikenali sebagai Pedra Branca di Singapura.

THE HAGUE: Nelayan Malaysia kini boleh menangkap ikan di kawasan perairan Batuan Tengah yang kaya dengan hasil marin, tanpa rasa bimbang dihalau pihak berkuasa Singapura seperti sering dilakukan sejak 1986.

Ia berikutan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memberi hak kedaulatan ke atas Batuan Tengah kepada Malaysia kelmarin. Keputusan 15-1 itu sekali gus memecahkan monopoli Singapura di kawasan perairan berkenaan serta memberi harapan baru kepada nelayan negara ini.

Ejen Bersama Malaysia, Datuk Noor Farida Ariffin, berkata keputusan mahkamah itu memberi banyak faedah kepada Malaysia berbanding Singapura yang kehilangan status quo untuk terus menguasai Batuan Tengah.


TUNJUK KEMENANGAN: Berita Harian Singapura menyiarkan berita kegembiraan Singapura kerana memenangi kes Pulau Batu Puteh seperti yang diputuskan ICJ di The Hague, Belanda, petang kelmarin.

"Bagaimanapun, kita menyerahkan kepada Jawatankuasa Teknikal yang diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Rastam Mohd Isa untuk mengemukakan hak Malaysia itu kepada rakan sejawat daripada Singapura," katanya kepada wartawan Malaysia, di sini ,semalam.

Panel hakim ICJ dalam keputusannya kelmarin memutuskan hak kedaulatan Tubir Selatan akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Noor Farida yang juga bekas Duta Malaysia di Belanda berkata, kini tidak timbul halangan untuk rakyat Malaysia untuk pergi ke kawasan perairan Batuan Tengah iaitu tidak sampai satu kilometer dari Pulau Batu Puteh untuk mencari rezeki atau membuat penyelidikan.

Selain itu, katanya, kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta agensi penguat kuasa maritim lain boleh membuat rondaan di kawasan perairan berkenaan yang dipercayai kaya dengan khazanah laut.

Bagaimanapun, katanya, kesan daripada keputusan itu yang dianggap amat penting apabila Singapura sudah tidak boleh lagi untuk melaksanakan rancangan menambak kawasan perairan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan menjadi gugusan pulau.

"Rancangan republik itu untuk mewujudkan sebuah kuasa maritim baru musnah berikutan tuntutan negara itu untuk mendapat hak kedaulatan ke atas Batuan Tengah dan Tubir Selatan ditolak mahkamah," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Nik Anuar Nik Mahmud, berkata rakyat Malaysia perlu meraikan kemenangan memperoleh kedaulatan Batuan Tengah kerana keputusan itu memberi banyak faedah kepada Malaysia.

Katanya, kemenangan ke atas Batuan Tengah mempunyai banyak kepentingan kepada Malaysia kerana sejak British dan Singapura menguasai kawasan itu kira-kira lebih 100 tahun dulu, bentuk bumi maritim itu kini menjadi hak Malaysia sekali gus menafikan dominasi republik itu ke atas kawasan perairan berkenaan.

"Keputusan mahkamah itu menunjukkan Singapura terperangkap dengan agendanya sendiri," katanya.

Malah, katanya, Tubir Selatan pada dasarnya milik Malaysia kerana bentuk bumi maritim itu berada kira-kira 1.7 kilometer daripada Batuan Tengah.

"Mengikut Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS), persempadanan maritim sesebuah negara diukur itu dalam lingkungan 12 batu nautika dan mengikut pengiraan kita Tubir Selatan berada dalam perairan Malaysia - Berita Harian

No comments: