Saturday, May 24, 2008

Hasrat lebih 2,000 nelayan musnah

PENGERANG: Harapan lebih 2,000 nelayan di sini untuk menjejakkan kaki ke Pulau Batu Puteh, yang hanya kurang daripada 10 batu nautika dari Teluk Ramunia di sini seperti dilakukan lebih 20 tahun lalu kini hancur musnah.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Pengerang, Abu Bakar Mohamad, berkata kebanyakan nelayan veteran yang masih turun ke laut mencari rezeki terlalu berharap dapat sekali lagi mendarat di pulau itu untuk memancing.

Katanya, harapan mereka untuk menangkap ikan di kawasan lubuk emas di Pulau Batu Puteh sudah tiada lagi dan nelayan terpaksa meneruskan kehidupan seperti biasa dengan kawalan yang mungkin lebih ketat daripada polis Singapura.

"Apa lagi yang hendak dikatakan kerana Pulau Batu Puteh kini sah dimiliki Singapura. Kami reda dengan keputusan itu dan tidak ada sebarang rancangan untuk mengadakan tunjuk perasaan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, sebelum keputusan itu diumumkan petang semalam, beliau sudah mengingatkan kira-kira 1,500 ahli persatuan supaya sabar dan meneruskan kehidupan seperti biasa jika Malaysia tewas mempertahankan Batu Puteh.

Nelayan, Abu Bakar Abdul Rahim, 55, berkata sebelum Pulau Batu Puteh dikawal polis Singapura, beliau dan rakan nelayan lain sering singgah di pulau itu untuk memancing terutama di kawasan yang berbatu.

Katanya, kawasan itu banyak ikan terutama bawal, jenahak, kurau dan kerapu serta ikan sagai yang hanya boleh ditemui di kawasan laut dalam yang mempunyai batu karang.

"Seingat saya, sejak 20 tahun lalu, nelayan tidak dibenarkan singgah di pulau itu kerana ia dikawal. Jika sesekali kami terlepas sempadan, polis Singapura akan meminta kami masuk semula ke perairan Malaysia," katanya.

Seorang lagi nelayan, Nor Malik Abdul Rahim, 34, berkata pada zaman bapanya menjadi nelayan, Pulau Batu Puteh menjadi tempat berteduh kepada nelayan terutama ketika ombak besar dan ribut.

Malah, beliau berkata, ketika zaman remajanya, beliau sering mengikut bapa dan abangnya ke pulau itu untuk melihat rumah api dan memancing - Berita Harian

No comments: