Oleh Amirullah Andi Nur, Norfatimah Ahmad, Faiza Zainudin dan Siti Fatimah Mohamed Anwar
KUALA LUMPUR: Kerajaan dan rakyat Singapura diharap tidak angkuh berikutan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menyerahkan hak kedaulatan Pulau Batu Puteh seluas 2,000 meter persegi itu kepada republik berkenaan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga anak jati Johor mengakui kecewa dengan keputusan ICJ dan berharap semua pihak menerima keputusan itu.
“Sebagai rakyat Johor, saya sedih kerana walau apa asas undang-undang antarabangsa yang digunakan ICJ, dari segi nilai sejarah, kedaulatan dan moralnya kita sudah kehilangan sebahagian wilayah kita,” katanya ketika dihubungi semalam.
Bagaimanapun, Naib Presiden Umno yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, keputusan ICJ mengenai Batuan Tengah yang menyebelahi Malaysia merawat sedikit kekecewaan rakyat dan negara.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam juga kecewa dan sedih dengan kegagalan negara memastikan Pulau Batu Puteh kekal milik Malaysia.
Ketua Menteri Melaka itu berkata, walaupun kecewa dengan keputusan yang membabitkan kedaulatan negara, beliau tetap akur dengan keputusan ICJ.
"Kita perlu terima keputusan ICJ kerana ini adalah cara terbaik untuk kedua-dua negara menyelesaikan tuntutan bertindih terhadap pulau berkenaan," katanya.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Abdul Rahim Bakri pula meminta rakyat menerima dengan hati terbuka keputusan ICJ yang memberikan hak kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura, manakala Batuan Tengah kepada Malaysia.
“Tindakan ini konsisten dengan pendirian negara yang menghormati sistem dan keluhuran undang-undang dan menghormati keputusan hakim yang mengambil kira fakta sejarah, keberkesanan dan tindakan pentadbiran terhadap pulau itu,” katanya.
Beliau berkata, rakyat perlu bersikap tenang seperti sebelum ini apabila menerima secara ‘gentleman’ kemenangan dalam kes Sipadan dan Ligitan yang memihak kepada Malaysia.
“Kita tidak mahu hubungan Malaysia dan Singapura terhakis akibat keputusan mahkamah yang sejak awal berikrar untuk mematuhinya walaupun kita sedar dengan kesedihan yang dirasai menyelubungi rakyat negara ini,” katanya.
Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said pula menganggap keputusan ICJ menyerahkan Pulau Batu Puteh kepada Singapura sebagai sesuatu yang menyedihkan khususnya rakyat Johor.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang, bimbang kehilangan pulau yang terletak di luar pantai tenggara Pengerang yang jaraknya kira-kira 20 minit menaiki bot laju dari Teluk Ramunia itu memberi kesan buruk kepada penduduk kawasan itu dan sekitarnya.
Katanya, memberi hak pemilikan kepada Singapura bererti nasib penduduk terutama nelayan akan terjejas kerana pihaknya yakin kerajaan berkenaan akan cuba melakukan pelbagai aktiviti untuk meluaskan kawasan mereka.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, berkata rakyat perlu menerima keputusan itu dengan hati terbuka kerana sebelum ini negara bersetuju membawa kes ke ICJ.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, menganggap sekurang-kurangnya keputusan mahkamah itu dapat menyelesaikan pertikaian yang sudah berlarutan sejak sekian lama antara dua negara.
Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir menyifatkan keputusan ICJ memberi hak kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura adalah keputusan yang berat untuk diterima rakyat Malaysia.
Beliau berkata, keputusan itu memang sesuatu yang menyedihkan, namun ia adalah hakikat yang harus diterima - Berita Harian
Saturday, May 24, 2008
Singapura diharap tak angkuh
Posted by 9T9 at 11:02 AM
Labels: Batu Putih, Berita Harian, Post ICJ Ruling, Ulasan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment