JOHOR BAHRU: Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda semalam yang memberikan Singapura hak ke atas Pulau Batu Puteh, manakala Batuan Tengah menjadi milik Malaysia, mungkin boleh mencetuskan isu pertindihan hak kawasan antara kedua-dua negara.
Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata isu pertindihan hak kawasan antara Malaysia dan Singapura itu timbul berikutan kedudukan Pulau Batu Puteh dan Pulau Batuan Tengah yang terlalu hampir antara satu sama lain.
"Agak menarik keputusan ICJ kerana kedua-dua pulau ini berdekatan tetapi kedaulatan berlainan," katanya pada sidang media selepas merasmikan kedai rekaan landskap Massif Design di Taman Universiti, Skudai, di sini, semalam.
ICJ melalui pengundian 12-4 yang berpihak kepada Singapura terhadap hak kedaulatan Pulau Batu Puteh, manakala Malaysia pula melalui pengundian 15-1 diberikan hak kedaulatan Pulau Batuan Tengah.
Pulau Batu Puteh sebesar separuh padang bola sepak terletak kira-kira 12.8 kilometer (km) dari Pengerang, Johor dan 64 km ke Timur Singapura. Jarak antara Batuan Tengah dengan Pulau Batu Puteh ialah 0.96 km, manakala Terumbu Karang Selatan dengan Pulau Batu Puteh kira-kira 4 km.
Berikutan itu, kata Ghani, Johor menyerahkan kepada Kerajaan Pusat untuk membuat keputusan seterusnya terhadap pulau Batuan Tengah selepas sah ia menjadi hak Malaysia.
Katanya, Kerajaan Pusat mempunyai kuasa penuh untuk melaksanakan apa juga bentuk pembangunan yang mungkin boleh dijalankan di pulau berhampiran Teluk Ramunia, Pengerang itu.
Ghani berkata, Johor berpendapat Malaysia dan Singapura perlu menunggu rumusan terperinci daripada Jawatankuasa Teknikal sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap kedua-dua pulau yang sah menjadi hak masing-masing itu bagi mengelak pertindihan hak kewilayahan.
"Saya percaya jawatankuasa itu akan membuat pertimbangan terbaik dan mengambil kira semua aspek, terutama berkaitan hak dan kawasan perairan serta kesannya terhadap subjek lain termasuk kegiatan nelayan di Pengerang.
"Johor menerima keputusan ICJ dengan hati terbuka dan yang jelas ialah kedaulatan Johor khususnya daripada segi sejarah adalah tepat dan benar terhadap semua pulau yang ada di situ dan Singapura sendiri. Daripada aspek sejarah, kedaulatan Johor diterima ICJ," katanya.
Selain Batu Puteh, beliau berkata setakat ini tidak ada lagi pulau di negeri ini yang mempunyai masalah berbangkit, terutama berkaitan tuntutan hak milik dan kedaulatan membabitkan Johor dengan negara lain.
Katanya, Pulau Pisang di Pontian tidak menghadapi masalah tuntutan hak dari negara lain kerana jelas pulau itu adalah hak milik Johor berdasarkan kepada pendaftaran tanah yang dilakukan di negeri ini.
"Kita tidak menghadapi masalah pertikaian hak dan kedaulatan berhubung Pulau Pisang kerana ia adalah sah milik Johor dan tidak boleh dituntut negara lain," katanya.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia berkata, proses menentukan garis sempadan baru antara kedua-dua negara mungkin mengambil sedikit masa.
"Sebelum ini Pulau Batu Puteh adalah garis sempadan yang memisahkan negara kita dengan negara jiran itu dan kini ia sudah pasti berubah," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Bagaimanapun, jurucakap itu mengakui tindakan segera perlu diambil bagi menentukan sempadan baru maritim negara.
"Saya percaya, ketika ini sudah pasti ramai nelayan yang tidak akan pergi ke kawasan sana (Pulau Batu Puteh dan Batuan Tengah) kerana bimbang kemungkinan tersilap masuk ke perairan negara jiran itu," katanya - Berita Harian
Keluasan Batu Puteh hanya separuh padang bola sepak
KUALA LUMPUR: Pulau Batu Puteh yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura hampir 30 tahun adalah sebesar separuh padang bola sepak, yang terletak di luar pantai tenggara Pengerang, Johor.
Pulau seluas 2,000 meter persegi terletak di pertemuan Selat Johor dan Laut China Selatan itu menempatkan Rumah Api Horsburgh, menjadi rebutan antara kedua-dua negara sejak 1979.
Pulau Batu Puteh terletak kira-kira 12.8 kilometer dari Pengerang, Johor dan 64 kilometer ke timur Singapura. Batuan Tengah dan Tubir Selatan secara geologi bersambung dengan Pulau Batu Puteh.
Jarak antara Pulau Batu Puteh dengan Batuan Tengah ialah 0.96 kilometer manakala jarak Pulau Batu Puteh dengan Tubir Selatan kira-kira empat kilometer. Jarak antara Batuan Tengah dengan Tubir Selatan ialah tiga kilometer.
Pada 1979, Malaysia melakukan pemetaan sempadan maritim meliputi Pulau Batu Puteh sebagai wilayahnya kerana mendakwa Kesultanan Johor tidak pernah menyerahkan pulau itu ketika menyerahkan Singapura kepada British pada 1824.
Pulau itu diserahkan kepada British untuk tujuan pembinaan Rumah Api bagi memudahkan laluan kapal melalui perairan berkenaan.
Berikutan itu, Malaysia dan Singapura bersetuju membawa kes itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2003. ICJ mula membicarakan tuntutan terhadap pulau itu pada 6 November 2007.
Singapura diberikan empat hari antara 6 dan 9 November 2007 untuk menggulung hujah lisan pusingan pertama, sementara Malaysia diberikan giliran pada 13 hingga 16 November 2007.
Pusingan kedua oleh Singapura pada 19 dan 20 November dan Malaysia pada 22 dan 23 November 2007.
Delegasi Malaysia terdiri daripada ejen Malaysia, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad; ejen bersama, Datuk Noor Farida Ariffin, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Rastam Mohd Isa serta wakil kerajaan Johor, Datuk Hamsan Saringat.
Delegasi Singapura pula terdiri daripada Timbalan Perdana Menterinya, S Jayakumar; Peguam Negara, Chao Hick Tin dan ejen Singapura, Prof Tommy Koh.
Berikut adalah antara hujah Singapura kepada ICJ iaitu negara itu menduduki Pulau Batu Puteh atau yang dipanggil Pedra Branca lebih 130 tahun sejak 1840 tanpa sebarang bantahan dari Malaysia.
Sepanjang tempoh itu, negara itu menyelenggara Rumah Api Horsburgh dan kemudahan lain di pulau berkenaan, selain membantu kapal yang belayar di kawasan itu dengan selamat.
Dalam tempoh 130 tahun itu juga Malaysia tidak pernah menuntut hak ke atas Pulau Batu Puteh, terutama pada 1965 ketika Singapura menjadi sebuah negara merdeka serta mempunyai hak kedaulatan ke atas pulau di dalam wilayahnya.
Singapura mendakwa memorandum pemangku Setiausaha Kerajaan Johor pada 1953 yang menyatakan negeri itu tidak membuat sebarang tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh yang ditadbir Singapura. Malah, dalam peta Malaysia sebelum 1974, menunjukkan pulau itu milik Singapura.
Malaysia mengemukakan hujah yang antaranya faktor sejarah dengan keterangan kukuh membuktikan perjanjian Johor-British dan British-Belanda pada 1824, mengesahkan Sultan Johor mempunyai hak milik asal terhadap Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Malaysia menafikan Pulau Batu Puteh adalah ‘Terra Nullius’ iaitu tidak bertuan seperti yang didakwa Singapura kerana pulau itu adalah tempat nelayan untuk berlindung apabila berhadapan dengan ribut kencang dan ancaman lanun.
Malah, perairannya menjadi kawasan penangkapan ikan yang strategi bagi Orang Laut di Pengerang dan Teluk Ramunia, Johor. Malaysia turut mengemukakan tujuh dokumen bertulis untuk mengukuhkan hujah mereka - Berita Harian
Saturday, May 24, 2008
'Keputusan ICJ cetus pertindihan hak'
Posted by 9T9 at 1:02 PM
Labels: Batu Putih, Berita Harian, Post ICJ Ruling
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment