Monday, May 26, 2008

Wisma Putra kena sedia terima penyelidik

SELEPAS Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) membuat keputusan mengenai status Batu Puteh/Pedra Branca yang menjadi rebutan Malaysia-Singapura sejak 29 tahun lalu, kita harus memandang ke hadapan untuk melihat isu Pulau Pisang dan Kepulauan Spratly pula.

Selain Batu Puteh menjadi hak Singapura, ICJ Jumaat lalu juga memutuskan Middle Rock (Batuan Tengah) diberikan kedaulatan kepada Malaysia, manakala status South Ledge belum diputuskan.

Keputusan berkait isu Batu Puteh ini yang memihak kepada Singapura memberikan banyak iktibar kepada Malaysia, terutama apabila memperkatakan mengenai soal kedaulatan.

Keadaan ini dilihat lebih kritikal kerana Malaysia mempunyai sempadan daratan dan maritim dengan beberapa negara lain yang dilihat mampu membawa kepada masalah jika tidak diselesaikan dengan berhemah dan memerlukan tindakan segera.

Kejayaan Malaysia mendapatkan Pulau Sipadan dan Ligitan beberapa tahun lalu seolah-olah menjadikan kita leka dengan isu yang bersabit dengan pertindihan wilayah yang menghantui negara kita selama ini.

Malah, selepas mendapatkan kedua-dua pulau itu, negara dikejutkan lagi dengan isu pertindihan wilayah yang berlaku di Ambalat antara Malaysia dan Indonesia sekitar 2005.

Di samping itu, kita juga tidak seharusnya terlepas pandang dengan isu pertindihan wilayah yang masih berlaku sehingga hari ini.

Malah, dalam beberapa keadaan didapati bahawa isu ini jika tidak ditangani segera akan memberikan kerugian besar kepada negara, lebih-lebih lagi apabila memperkatakan soal kedaulatan, keuntungan ekonomi terutama sumber dan sebagainya.

Satu daripada isu utama pertindihan wilayah ini yang sudah berlarutan adalah isu di Kepulauan Spratly yang membabitkan beberapa negara lain termasuk China, Vietnam dan Filipina.

Di samping itu, isu berkait Pulau Pisang turut perlu diketengahkan kerana jika silap percaturan dan tidak ada sebarang langkah awal diambil, ia juga mungkin boleh jatuh kepada Singapura.

Bukan setakat itu saja, malah banyak lagi isu yang perlu dilihat dengan serius oleh kerajaan berkaitan dengan pertindihan wilayah ini, misalnya isu Limbang yang turut dituntut kerajaan Brunei Darussalam.

Beberapa pendekatan perlu diambil kerajaan. Antaranya usaha mengumpulkan semua maklumat berkait dengan pulau atau wilayah yang dilihat 'bermasalah' ini. Penumpuan harus difokuskan kepada data dan sumber, sama ada yang berada di Malaysia atau di luar negara, terutama di London, Belanda dan India.

Bukan setakat itu, beberapa kajian perlu dibuat penyelidik, ahli akademik dan pelajar di negara ini perlu diberikan perhatian segera. Hal ini kerana tesis yang dikaji dan ditulis mengenai pulau dan wilayah ini boleh diperoleh di perpustakaan di negara ini .

Di samping itu, Wisma Putra patut mengubah sikap terhadap ahli akademik, penyelidik dan pelajar yang seolah-olah dilihat sebagai cabaran selama ini.

Hal ini cukup bertentangan dengan kaedah yang dilaksanakan White House di Amerika Syarikat yang memberikan layanan kepada ahli akademik, khususnya dalam bidang hubungan antarabangsa dan bidang berkaitan dalam menasihati pemimpin Amerika Syarikat berhubung sebarang isu antarabangsa, apatah lagi yang ada kaitan dengan kepentingan nasional.

Sebaliknya sikap Wisma Putra misalnya yang tidak memberikan kerjasama penuh jika ada ahli akademik, penyelidik atau pelajar yang mahu membuat kajian mengenai isu seperti ini atau sebarang isu yang berkait dengan dasar luar.

Hal ini sudah tentu sangat dikesali kerana Wisma Putra patut memberikan galakan kepada mereka untuk membuat kajian mengenai dasar luar Malaysia kerana dengan adanya kajian yang dilakukan akan membolehkan input mengenai sesuatu isu yang diperlukan terutama yang berkaitan dengan kepentingan nasional kita.

WAN SHAWALUDDIN WAN HASSAN dan RAMLI DOLLAH,
Jabatan Hubungan Antarabangsa, UMS, Kota Kinabalu.

3 comments:

Daud Awang said...

Saya mempunyai penerbitan mengenai Batu Tengah dan Tubir Selatan. Jika anda berminat utk mendapatkan penerbitan ini, email kepada saya daudawang@gmail.com

Daud Awang said...

Jika tuan berminat untuk mendapatkan penerbitan mengenai Batuan Tengah dan Tubir Selatan, sila bagi alamat dan telephone untuk memudahkan urusan penghantaran dokumen tersebut.

Daud Awang said...

sya ada publication mengenai tubiran selatan dan batuan tengah