Monday, May 26, 2008

Keputusan ICJ kurang jelas: MIMA

Oleh Magendran Rajagopal

Sempadan kawasan perairan perlu dilakar semula, ambil kira pertindihan sempadan

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memberikan hak Batu Puteh kepada Singapura turut merangkumi hak meneroka hasil galian dan sumber mineral asli dalam perairan republik itu.

Ketua Pengarah Institut Maritim Malaysia (MIMA), Datuk Cheah Kong Wai, berkata Undang-Undang Laut menetapkan sempadan perairan membabitkan kawasan sehingga 12 batu nautika atau 22.2 kilometer dari pesisiran pantai atau mana-mana bidang hartanah milik sesebuah negara.

"Berdasarkan perundangan itu, saya secara peribadi amat kecewa dengan keputusan ICJ yang jelas memihak kepada Singapura kerana Malaysia kini seolah-olah tidak mempunyai kedaulatan di perairan berkenaan.

"Keputusan ini seharusnya memberikan penjelasan terperinci mengenai maksud penghakiman itu dari segi hak, kuasa dan sempadan perairan membabitkan kedua-dua negara serta kesannya terhadap pihak yang berkepentingan seperti nelayan selain pengendali pelabuhan.

"Namun, saya menganggap penghakiman memihak kepada Malaysia berhubung kedaulatan Batuan Tengah sebagai keputusan yang saksama kepada kedua-dua pihak,"
katanya ketika dihubungi semalam.

Cheah berkata Tubir Selatan terletak berhampiran Batuan Tengah milik Malaysia dan Batu Puteh milik Singapura, sekali gus mewujudkan pertindihan tuntutan sempadan perairan.

Sehubungan itu, sempadan kawasan perairan perlu dilakar semula dengan mengambil kira pertindihan sempadan.

Pada masa sama, beliau berkata Batu Puteh serta Batuan Tengah turut menghadapi dilema kerana kedudukannya yang berdekatan dan memerlukan sempadan sedia ada dilakar semula dengan memperincikan benteng sempadan masing-masing.

Beliau menganggap keputusan ICJ agak kabur dalam isu terbabit kerana Tubir Selatan hanya kelihatan ketika air surut dan sewajarnya tidak dianggap sebagai sekeping tanah.

Rabu lalu, ejen Singapura, Prof Tommy Koh dipetik sebagai berkata republik itu akan menekankan kebebasan dan keselamatan laluan kapal menjadi kepentingan utama republik itu.

Pada masa sekarang, selain memiliki dan mengendalikan Rumah Api Horsburgh, Singapura memasang Sistem Maklumat Trafik Perkapalan (VTIS) pada menara di Batu Puteh yang menjadi elemen penting bagi menguruskan laluan kapal di perairan berkenaan.

Di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) yang diiktiraf dan diterima pakai Singapura serta Malaysia, sesebuah negara boleh menuntut hak sempadan sehingga 12 batu nautika daripada pesisiran pantai masing-masing.

Dalam sempadan perairan sendiri, sesebuah negara bebas menentukan undang-undang menetapkan penggunaan dan meneroka atau melombong apa-apa sumber asli.

Bagaimanapun, dari segi trafik perairan pula, kapal bebas menggunakan laluan terbabit dengan percuma tanpa berhenti di mana-mana atau melakukan sebarang tindakan yang boleh menggugat kedaulatan dan keselamatan negara yang berkuasa di perairan berkenaan.

Namun, UNCLOS tidak memberi penakrifan mengenai hak nelayan bagi menggunakan atau memasuki sempadan perairan negara lain, terutama di sekitar Batu Puteh dan Batuan Tengah.

Berikutan itu, Malaysia dan Singapura masih perlu berunding mengenai isu sempadan, tidak kira apa penghakiman ICJ, kerana kedudukan kedua-dua negara yang begitu hampir menyebabkan banyak pertindihan sempadan - Berita Harian

No comments: