Monday, May 26, 2008

Malaysia pecah monopoli Singapura

Oleh Khirul Bahri Basaruddin

Keputusan ICJ beri hak kedaulatan Batuan Tengah jejas perancangan Kota Singa

RAMAI kecewa dan sedih apabila Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Batu Puteh menjadi milik Singapura. Kita hanya berasa sedikit kelegaan apabila kedaulatan Batuan Tengah diberikan kepada Malaysia serta Tubir Selatan akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Dilaporkan, lebih 2,000 nelayan terutama berpusat di Pengerang kecewa dengan keputusan itu apabila mereka didakwa tidak boleh lagi menangkap ikan di kawasan perairan itu yang difahamkan mempunyai banyak khazanah laut yang belum diterokai.

Kekecewaan mereka itu tidak boleh dinafikan kerana selama ini tumpuan kes tuntutan itu lebih kepada hak kedaulatan Batu Puteh yang menempatkan Rumah Api Horsburgh sejak 1850 dan amat sedikit disentuh mengenai Batuan Tengah serta Tubir Selatan.

Batuan Tengah dan Tubir Selatan, iaitu bentuk bumi maritim secara geologi tidak bersambung dengan Batu Puteh. Batuan Tengah dipisahkan dari Batu Puteh oleh saluran kira-kira 0.6 batu nautikal, manakala Tubir Selatan kira-kira 2.2 batu nautikal daripada pulau berkenaan serta masing-masing kira-kira 8 serta 7.9 batu nautikal dari tanah besar Malaysia.

Kawasan Batuan Tengah mengandungi batu yang secara tetap berada di atas paras air laut serta mempunyai ketinggian kira-kira 0.6 hingga 1.2 meter, manakala Tubir Selatan dapat dilihat melalui proses air pasang surut.

Bagaimanapun, penghakiman setebal 81 halaman itu memberi kesan positif kepada Malaysia yang sebenarnya mendapat manfaat lebih dari Singapura yang kehilangan status qou, terutama membabitkan Batuan Tengah.

Selain itu, jika kita berpegang kepada Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS), Tubir Selatan berada dalam genggaman Malaysia berpandukan persempadanan maritim kira-kira 12 batu nautikal, di mana jarak bentuk muka bumi maritim itu kira-kira 0.6 batu nautikal dari Batuan Tengah.

Keputusan memberi hak kedaulatan Batuan Tengah kepada Malaysia dapat dilihat memecah monopoli Singapura di kawasan perairan berkenaan kerana kini republik itu mempunyai jiran yang dipisahkan kira-kira 0.6 batu nautikal saja.

Malah, jika dilihat reaksi delegasi Singapura diketuai Ejen Prof Tommy Koh ketika keputusan diumumkan negara itu tidak mendapat semua tuntutan dapat menggambarkan mereka tidak gembira kehilangan dua bentuk muka bumi maritim itu.

Singapura mungkin boleh mendabik dada kini mereka memiliki sepenuhnya Batu Puteh, tetapi pada masa sama terpaksa menelan kepahitan kerana segala perancangan untuk menjadi jaguh di kawasan perairan itu terbantut serta perlu berfikir dua kali sebelum melakukan sesuatu ke atas kawasan perairan bersempadan Batuan Tengah.

Malaysia menerusi ejennya, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad pernah menyuarakan kebimbangan berhubung tindak-tanduk Singapura di kawasan Batu Puteh serta rancangan negara itu untuk menjadi sebuah wilayah maritim yang berpengaruh berdasarkan kepada kehadirannya di Batu Puteh sebagai pengendali rumah api.

Kehadiran republik itu di Batu Puteh hanya sebagai pengendali rumah api dan tidak pernah timbul isu berhubung wilayah perairan atau pelantar laut di sekeliling pulau itu. Bagaimanapun, republik berkenaan mempunyai dasar aktif berhubung penambakan laut dan dalam tuntutan bertulis ada dinyatakan cadangan menambak laut sekeliling pulau berkenaan. Melalui dokumen dalaman iaitu Laporan Penilaian Tender 1978 ditunjukkan cadangan pulau buatan manusia seluas 5,000 meter padu hampir dengan Batuan Tengah.

Kita tahu Singapura tidak memerlukan pulau besar untuk mengendalikan rumah api, tetapi kenapa negara mempunyai rancangan untuk membesarkan kawasan itu melalui proses penambakan. Jika diteruskan, ia mungkin merosakkan keadaan alam semula jadi serta sistem pelayaran di situ. Lebih menakutkan tindakan itu boleh menjejaskan persetujuan keselamatan yang di kawasan perairan pintu masuk di timur Selat Singapura.

Malaysia pernah membawa kes penambakan laut dengan Singapura di Tribunal Antarabangsa Mengenai Undang-Undang Laut (ITLOS) dan perkara itu dalam pengetahuan ICJ.

Dalam pada itu, untuk menguatkan cengkaman ke atas Batu Puteh, Singapura secara agresif menunjukkan penguasaan negara itu menerusi beberapa tindakan antaranya, pada 1986, iaitu tarikh pertikaian berhubung tuntutan Batu Puteh, Singapura menghantar kapal perang di kawasan itu untuk membuat rondaan 24 jam sehingga hari ini.

Tindakan itu menimbul kegelisahan dan berbahaya, nelayan dari Malaysia yang sudah beratus-ratus tahun menangkap ikan serta berteduh di situ dihalau pasukan keselamatan negara itu.

Tentera Malaysia dan kapal perangnya tidak boleh lagi pergi ke kawasan berdekatan perairan itu kerana pasukan tentera negara itu akan bertindak menghalang. Pada 1977, republik berkenaan memasang peralatan komunikasi tentera di pulau itu, sekali gus melanggar persetujuan awal berhubung pembinaan dan operasi rumah api.

Kini, kebimbangan Malaysia itu seolah-olah difahami panel hakim ICJ yang membuat penghakiman secara adil membahagikan kawasan perairan kepada dua negara jiran Asean itu. Jika mahkamah memutuskan memberi semua tuntutan Singapura, kita tidak tahu apa yang akan berlaku di kawasan perairan itu, kita tidak hairan akan wujud gugusan pulau baru di situ.

Difahamkan, Singapura mempunyai rancangan menjadikan kawasan berkenaan sebagai markas tentera yang boleh menempatkan kapal selamnya.

Semua rancangan yang diatur di kawasan pulau itu kini tidak boleh dilaksanakan tanpa mengambil kira kepentingan Malaysia sebagai jiran baru berdaulat. Kehadiran Malaysia di situ diiktiraf ICJ sebagai pewaris Kesultanan Johor sejak lebih 150 tahun lalu. Jika Singapura mendakwa ia menggunakan haknya untuk melaksanakan pelbagai rancangan di kawasan pulau itu, Malaysia juga boleh berbuat demikian.

Jika negara itu bercadang menambak kawasan laut, kita juga boleh berbuat demikian, bila mereka membina menara, kita juga boleh bina menara dan pelbagai kemudahan lain.

Bagaimanapun, Malaysia sejak dulu lagi dan Abdul Kadir sendiri pernah membuat kenyataan terbuka di depan hakim ICJ bahawa negara ini mengamalkan dasar berbaik-baik dengan negara jiran dalam menyelesaikan pelbagai isu.

Kita mahu republik itu menggunakan pendekatan sama dan menjadikan kawasan itu bebas daripada kegiatan ketenteraan. Kita mahu kawasan itu dijadikan kawasan penyelidikan kedua-dua negara dan tidak salah membina menara kaji cuaca atau sistem tsunami, selain menara untuk kegiatan ketenteraan.

Keputusan mahkamah itu banyak menyedarkan Singapura bahawa kini negara itu tidak boleh lagi bertindak sesuka hati ke atas kawasan terbabit, malah republik itu perlu berhati-hati dengan setiap tindak tanduknya kerana mereka sebelum ini pernah memberitahu mahkamah bahawa negara itu menghormati undang-undang antarabangsa.

Sehubungan itu, apabila mahkamah memberi keputusan undi 15-1 Malaysia mempunyai hak kedaulatan ke atas Batuan Tengah, manakala undi 12-4, Singapura memiliki Batu Puteh, kita sebenarnya bukan berada di tempat orang yang kalah.

Jika dulu lebih 150 tahun, kita tidak boleh menjejak kaki di kawasan pertikaian itu, kini kita boleh menegakkan dengan megah tiang serta mengibarkan Jalur Gemilang. Nelayan Pengerang tidak perlu kecewa lagi kerana kini mereka boleh melebarkan jaring untuk menangkap ikan di kawasan perairan itu.

Kita tidak kalah kerana apabila kita membawa kes mahkamah secara moralnya kita sudah menang 50 peratus dan hasilnya sudah diketahui ramai. Kita perlu memberi tumpuan kepada Batuan Tengah dan Tubir Selatan, pada masa sama melupakan Batu Puteh kerana ia sah bergelar Pedra Branca - Berita Harian

No comments: