Monday, May 26, 2008

Diplomat aka spy Singapura peka cari maklumat

MALAYSIA dan Singapura mendapat pujian daripada masyarakat antarabangsa kerana menghormati keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai isu tuntutan bertindih Batu Puteh pada 23 Mei 2008.

Tiada kejadian yang tidak diingini berlaku di antara rakyat kedua-dua negara.

Namun, kita berasa kecewa dan kesal ICJ memutuskan Batu Puteh adalah hak Singapura. Sikap 'tidak apa' dan berbaik hati negara diambil kesempatan Singapura untuk memiliki Batu Puteh.

Pengalaman saya yang singkat di Kementerian Luar berurusan dengan Singapura menunjukkan bahawa kita tidak boleh terlalu berlembut dengan negara jiran itu. Hal ini kerana:


  • Wujud mentaliti kepungan - mereka hidup dalam keadaan tertekan di kelilingi negara Melayu.


  • Sebagai republik pulau, mereka akan sentiasa mencari kawasan, pulau dan terumbu yang tiada penghuni untuk disewa atau dimiliki.


  • Pemimpin mereka tegas dan berpandangan jauh menentukan 'survival' negara.


  • Diplomat yang bertugas adalah terbaik dan terlatih.


  • Tidak teragak-agak menggunakan kekerasan.


Saya masih ingat bagaimana pada satu majlis beberapa diplomat Singapura secara bersahaja bertanya: "Bagaimana kedudukan Pedra Branca? Lantas saya menjawab secara berseloroh: "...maksud kamu Pedra Branca itu ialah wanita Portugis ke? Dan kami semua ketawa.

Moral cerita ini menunjukkan diplomat Singapura tidak membuang masa dalam apa keadaan pun. Mereka dilatih untuk mencari maklumat demi kepentingan negara mereka.

Semoga peristiwa ini membuka mata kepada pemimpin kita dan agensi kerajaan yang berkenaan agar lebih peka dan serius dalam menjaga kedaulatan dan maruah negara dalam hubungan dengan negara jiran, khususnya Singapura.

HASSAN TALIB,
Gombak, Selangor.

No comments: