Monday, May 26, 2008

Jauhi sementara Batuan Tengah

PUTRAJAYA 25 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan nelayan-nelayan di Johor supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti tangkapan ikan di perairan Batuan Tengah (Middle Rocks) dalam tempoh dua minggu ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka perlu menunggu keputusan yang bakal dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Malaysia-Singapura bagi memperincikan kawasan perairan antara Batu Putih dengan Batuan Tengah serta Tubir Selatan (South Ledge).

Beliau berkata, semua pihak perlu menunggu keputusan jawatankuasa kerana ia amat penting bagi mengelakkan keraguan antara Kerajaan Malaysia dan Singapura.

"Langkah yang terbaik, tunggu Jawatankuasa Teknikal memberikan cadangan dan kita akan mengumumkannya nanti. Proses ini tidak akan mengambil masa panjang.

"Menurut Datuk Seri Dr. Rais Yatim (Menteri Luar) ia mengambil masa dalam dua minggu, bila sudah siap Wisma Putra akan buat pengumuman pertengahan Jun nanti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan majlis sambutan Bulan Perpaduan Peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri meminta para nelayan supaya menunggu sehingga pengumuman rasmi dikeluarkan oleh pihak kerajaan.

ICJ dalam keputusannya kelmarin, menetapkan kedudukan Tubir Selatan ditentukan menerusi rundingan antara Malaysia dan Singapura bagi menentukan perairan negara mana ia terletak.

Sejak 1986 selepas timbulnya pertikaian ke atas Batu Putih, Singapura telah menghantar kapal tentera lautnya ke situ dan menjalankan rondaan tetap 24 jam di perairan ketiga-tiga bentuk maritim tersebut.

Situasi itu telah mencetuskan ketegangan dan bahaya apabila nelayan-nelayan Johor telah dihalau oleh pasukan peronda laut Singapura daripada perairan tradisional serta tempat pelindungan mereka di sekitar Batu Putih.

Kapal peronda Malaysia serta para pegawai-pegawainya juga tidak boleh mendekati bukan sahaja Batu Putih malah Batuan Tengah dan Tubir Selatan kerana dihalang oleh kapal peronda Singapura.

Semalam, Ejen Bersama, Datuk Noor Farida Ariffin dipetik sebagai berkata, nelayan-nelayan di Johor terutamanya kawasan Pengerang yang dihalang selama 22 tahun daripada mendekati perairan Batuan Tengah, kini bebas menangkap ikan di kawasan terbabit berikutan keputusan ICJ mengekalkan kedaulatan bentuk maritim itu kepada Malaysia.

Menurutnya, Singapura yang sebelum ini bertindak mengawal perairan di Batu Putih, Batuan Tengah dan Tubir Selatan sejak tahun 1986, tidak lagi mempunyai kebebasan untuk berbuat demikian kerana bidang kuasa mereka kini terhad kepada Batu Putih semata-mata - Utusan Malaysia

Nelayan boleh ke Batuan Tengah mulai Jun: Najib

Oleh Azrina Ahzan dan Johan Afandi

PUTRAJAYA: Nelayan tempatan dijangka boleh mula menangkap ikan di perairan Batuan Tengah yang dipercayai kaya dengan hasil maritim, selepas Jawatankuasa Teknikal Malaysia-Singapura mengeluarkan garis panduan rasmi mengenai kegiatan itu, pertengahan bulan depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata perkara itu penting untuk mengelak timbul masalah dengan Singapura jika nelayan tempatan menangkap ikan di perairan itu selepas ia disahkan menjadi milik Malaysia oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Jumaat lalu.

Katanya, walaupun ICJ sudah mengesahkan perairan Batuan Tengah adalah milik Malaysia, nelayan tempatan dinasihatkan menunggu keputusan dan cadangan jawatankuasa teknikal itu bagi mengelak timbul sebarang salah faham.

"Ia tidak akan mengambil masa lama kerana saya difahamkan mereka memerlukan hanya dua minggu lagi dan Kementerian Luar dijangka membuat pengumuman mengenainya pertengahan bulan depan," katanya selepas melancarkan majlis sambutan Bulan Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2008, di sini, semalam.

Najib mengulas kenyataan beberapa pihak berhubung keputusan ICJ menyerahkan hak kedaulatan Batuan Tengah kepada Malaysia, sekali gus membolehkan nelayan Malaysia menangkap ikan di perairan itu tanpa bimbang diganggu pihak berkuasa Singapura.

Ejen Bersama Malaysia dalam isu tuntutan Batu Puteh, Datuk Noor Farida Ariffin, berkata kini tidak timbul halangan untuk rakyat Malaysia pergi ke kawasan perairan Batuan Tengah yang tidak sampai satu kilometer dari Batu Puteh untuk mencari rezeki atau membuat penyelidikan.

Noor Farida yang juga bekas Duta Malaysia ke Belanda berkata, kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta agensi penguat kuasa maritim lain juga boleh meronda di perairan berkenaan yang dipercayai kaya dengan khazanah laut.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata kerajaan belum bercadang menghantar agensi penguat kuasa mengawasi perairan Batuan Tengah walaupun ia sudah sah milik negara kerana tidak mahu disifatkan cuba bertindak agresif di kawasan berkenaan.

Kementerian itu berpendapat adalah lebih baik untuk kerajaan kedua-dua negara menunggu keputusan jawatankuasa teknikal bagi menyelesaikan perkara berbangkit seperti sempadan maritim Malaysia dan Singapura di perairan itu.

"Tidak elok untuk kita menimbulkan sebarang tindakan yang boleh disifatkan agresif dengan menghantar kapal agensi penguat kuasa meronda walaupun jelas Batuan Tengah milik kita kerana Malaysia serta Singapura perlu bekerjasama," katanya di Kota Tinggi, semalam.

Syed Hamid berkata, rakyat tempatan terutama nelayan dinasihatkan menunggu garis panduan jawatankuasa teknikal mengenai isu itu sebelum pergi ke sana walaupun ICJ sudah memutuskan Malaysia berhak ke atas Batuan Tengah.

"Jawatankuasa berkenaan perlu berbincang dan menterjemahkan keputusan ICJ itu dengan mendalam bagi mengelak sebarang perselisihan faham dan tiada keputusan unilateral boleh diambil kedua-dua negara tanpa perbincangan.

"Adalah lebih baik jawatankuasa berkenaan memulakan perbincangan untuk memastikan keselamatan maritim di kawasan Batuan Tengah dan Batu Puteh dengan mengambil kira konsep 'Eye in the Sky', yang digunakan bagi mengawasi Selat Melaka," katanya.

Beliau berkata, walaupun Batuan Tengah dan Batu Puteh berkait rapat dengan keselamatan dua negara di perairan berkenaan, faktor jarak yang terlalu hampir antara kedua-duanya menyebabkan kerajaan Malaysia dan Singapura tidak boleh bertindak sendirian.

Selain itu, kedua-dua negara juga perlu menyelesaikan segera isu berhubung kedudukan Tubir Selatan kerana terumbu itu akan tenggelam apabila air pasang dan hanya kelihatan ketika air surut.

"Singapura mahu ketiga-tiga kawasan itu tetapi ICJ menolaknya. Kesannya, Singapura kini tidak lagi sendirian di perairan itu selepas hampir tiga dekad tidak membenarkan Malaysia menghampirinya kerana kita juga sudah diberikan hak berkenaan," katanya.

Sementara itu, polis marin meminta nelayan Malaysia supaya tidak mengunjungi perairan Batuan Tengah sehingga keputusan rasmi mengenainya diumumkan kerajaan, bagi mengelakkan salah faham dengan pihak berkuasa Singapura - Berita Harian

No comments: