Wednesday, January 01, 2003

Zam sifatkan media massa Singapura macam `robot'

KUALA LUMPUR 31 Dis. - Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin (Zam) menyifatkan media massa di Singapura sebagai `robot' kerana hanya mengikut kehendak kerajaan mereka tanpa memikirkan kehendak rakyat sendiri.

Beliau berkata, berbanding di negara ini, media massa bebas membincangkan isu yang menyentuh dasar kerajaan dan juga antarabangsa.

Tambahnya, kematangan dan keberanian yang ditunjukkan oleh media massa di negara ini lebih baik berbanding media di Singapura yang mengikut kemahuan kerajaannya.

``Saya percaya bahawa rakyat Singapura boleh membezakan laporan yang disiarkan oleh media massa di negara itu berbanding di Malaysia.

``Ini kerana kebanyakan laporan yang disiarkan oleh akhbar di Malaysia banyak menunjukkan kebebasan dalam sesuatu isu termasuk mengkritik kerajaan dan tidak terkongkong oleh mana-mana negara luar,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Singapura, Goh Chok Tong yang menggesa rakyatnya supaya tidak menghiraukan kerenah kebudak-budakan yang ditunjukkan oleh media Malaysia berhubung pertikaian mengenai Pulau Batu Putih.

Zainuddin berkata, kenyataan Chok Tong tersebut jelas membuktikan bahawa media di negara itu dikawal oleh kerajaannya.

Beliau memberitahu, kebanyakan isu yang dilaporkan oleh media di negara ini lebih cepat berbanding Singapura yang perlu mengikut kemahuan kerajaannya sebelum ia disiarkan.

``Kalau media massa di negara ini dikatakan kebudak-budakan mengapa kebanyakan laporan yang disiarkan oleh wartawan tempatan lebih terkini dan berjaya menyelesaikan beberapa isu dalaman negara termasuk di peringkat antarabangsa,'' tegasnya.

Sementara itu, persatuan wartawan di Malaysia menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Chok Tong sebagai tidak wajar kerana media di sini melaporkan berita berasaskan fakta dan kebenaran.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ), Norila Mohd. Daud berkata, media massa mempunyai hak untuk berbuat demikian mengikut etika kewartawanan yang sedia ada.

``Kita ada kebebasan untuk buat sesuatu isu dan mereka perlu menghormati media di sini,'' katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, Chok Tong seolah-olah cuba mengalih pandangan rakyatnya daripada mengetahui isu sebenar dengan menuduh laporan media Malaysia sebagai kebudak-budakan.

Norila berkata, kenyataan Chok Tong itu juga bertujuan untuk menggambarkan seolah-olah media di sini tidak profesional dan terlalu emosional berhubung sesuatu isu terutamanya melibatkan kedua-dua negara.

``Singapura mahu rakyatnya menganggap isu Pulau Batu Putih sebagai tidak serius sedangkan ia penting bagi negara kita,'' katanya.

Sementara itu, Ketua Satu Persatuan Wartawan Wanita Malaysia, Rohani Pa'wan Chik berkata, beliau kesal kerana kenyataan Chok Tong itu hanya mengeruhkan hubungan kedua-dua pihak.

``Sebelum ini media Malaysia sudah banyak bertolak ansur dalam melaporkan isu-isu yang diketengahkan oleh kerajaan,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berharap Perdana Menteri Singapura itu akan berhati-hati ketika membuat sebarang kenyataan berhubung laporan media di Malaysia.

Ini kerana, katanya, etika kewartawanan sendiri menuntut akhbar melaporkan berita yang benar-benar tepat.

``Kami berharap tiada lagi kenyataan sebegini yang boleh mencemarkan hak pengamal-pengamal media di sini sama ada media cetak atau elektronik,'' katanya - Utusan Malaysia

No comments: