Meskipun mengambil masa lebih tiga dekad, kejayaan Malaysia pada 17 Disember lalu dalam tuntutan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan telah membolehkan rakyat negara ini mengakhiri tahun 2002 dengan penuh kebanggaan dan rasa megah.
Kini Malaysia memberi tumpuan ke atas tuntutan Pulau Batu Putih di selatan Semenanjung yang menjadi pertikaian antara Kuala Lumpur dan Singapura.
Kontroversi yang menyelubungi tuntutan itu merupakan salah satu isu tersenarai dalam perbincangan dengan republik tersebut. Bagaimanapun satu isu yang menerima liputan meluas tahun ini ialah pertikaian mengenai perjanjian bekalan air antara Malaysia dan Singapura, dengan kedua-dua pihak berbalas tuntutan merentasi tambak.
Dalam pada itu, tindakan Malaysia menghantar pulang pekerja tanpa izin Indonesia dan Filipina juga menjadi tajuk utama dengan keputusan Kuala Lumpur untuk memenjara dan merotan mereka yang ditangkap tanpa sebarang dokumen perjalanan mendapat bantahan pihak tertentu.
Kerajaan Filipina menuduh rakyatnya yang ditahan sebelum dihantar pulang dianiaya oleh pihak berkuasa Malaysia. Tuduhan itu mencapai kemuncak apabila Manila mendakwa seorang gadis berusia 13 tahun dirogol semasa berada dalam depot tahanan sementara di Sabah.
Bagaimanapun ujian DNA kemudian mendapati gadis itu sebenarnya rakyat Malaysia dan dihantar pula ke Kota Kinabalu selepas Hari Raya Aidilfitri.
Di sebalik cabaran dan dugaan itu, kejayaan di The Hague meskipun menjadi panduan dalam tuntutan baru itu, rakyat Malaysia turut mencatatkan pencapaian memberangsangkan di arena antarabangsa selaras dengan slogan Malaysia Boleh.
Selepas berjaya mengharungi cabaran Silk Road 2001, pasukan Petronas Adventure Team menambah koleksi sejarahnya dalam Siberia 2002 apabila menyusur bumi empat negara di benua Asia yang berakhir di Kuala Lumpur semalam. Mereka telah melakukan pengembaraan sejauh kira-kira 12,500 kilometer dengan menempuh seribu satu macam pengalaman suka dan duka, malah yang paling berharga mereka menjadi duta kecil Malaysia.
Ratu Elizabeth pula mengurniakan anugerah Honorary Order of the British Empire (OBE) kepada Datuk Jimmy Choo, seorang warga Malaysia dan pereka bentuk kasut terkemuka di dunia. Alas kaki buatan tangan keluaran Choo menjadi pilihan golongan kaya, jelitawan dan yang terkenal di Eropah dan Amerika Syarikat.
Kerajaan turut memperkenalkan beberapa dasar baru untuk melihat kakitangannya menjalankan tugas dengan lebih produktif dan berkualiti.
Mulai 1 November lalu, kerajaan menguatkuasakan Sistem Saraan Malaysia (SSM) bagi menggantikan Sistem Saraan Baru yang dilaksanakan sejak 1 Januari 1992.
Awal Januari tahun ini kerajaan telah memperkenalkan peraturan mewajibkan semua kakitangan kerajaan dan pelajar institusi pengajian tinggi awam menandatangani surat Akujanji.
Malah kerajaan melakukan beberapa perubahan dasarnya demi memastikan rakyat di negara ini mampu bersaing dengan bangsa lain di seluruh dunia.
Antara dasar yang menjadi isu hangat pada tahun ini ialah pelaksanaan pengajaran bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Selain isu mata pelajaran itu, masalah yang melanda terhadap sekolah agama rakyat mendapat perhatian pemimpin kerajaan apabila sekolah tersebut didapati disalahgunakan untuk tujuan politik.
Bidang kesihatan dan perubatan turut mendapat perhatian. Dua kembar Siam berjaya dipisahkan masing-masing satu pasang di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital King Fahad National Guard, Riyadh. Di Riyadh, pembedahan pasangan kembar Siam, Ahmad dan Muhammad Rosli, 4, yang bercantum di bahagian perut dilakukan atas perbelanjaan Putera Mahkota Abdullah Abdul Aziz.
Isu kos rawatan dan perubatan di hospital negara ini turut mendapat perhatian. Nasib malang yang menimpa Sofea Qhairunnisa Ali, 15 bulan, penghidap penyakit hempedu tidak berfungsi sejak berusia 48 hari, merupakan antara kes yang menjadi perhatian ramai tahun ini. Ia membuka mata pelbagai pihak termasuk Kementerian Kesihatan yang kemudiannya menubuhkan tabung khas membantu pesakit kronik yang memerlukan bantuan - Utusan Malaysia
Wednesday, January 01, 2003
Kedaulatan negara dipertahan
Posted by 9T9 at 2:42 PM
Labels: Media, Ulasan, Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment