Tuesday, December 31, 2002

Syed Hamid: Kepentingan negara akan diutamakan

PUTRAJAYA 30 Dis. - Malaysia akan mengutamakan kepentingan negara dalam sebarang pertimbangan berkaitan hubungan kerjasama dua hala dengan Singapura di masa akan datang.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, Malaysia tidak lagi boleh menggunakan pendekatan mesra dan bertolak ansur selama-lamanya memandangkan negara berkenaan hanya mementingkan keuntungan ekonomi dalam menentukan dasar luarnya.

Malaysia juga kata beliau, tidak boleh bersetuju semata-mata dengan keputusan negara itu tetapi akan bertindak berdasarkan kepentingan negara.


``Dasar luar kita ialah berbaik-baik tetapi jangan sampai kita rugi kerana kita tidak boleh fikir orang akan seperti kita yang sentiasa mengutamakan jiran,'' katanya pada majlis Amal Mesra Aidilfitri Bersama Pemimpin anjuran Yayasan Belia Malaysia di sini, malam ini.

Singapura menurut Syed Hamid sepatutnya sedar bahawa dalam banyak perkara, kemakmuran negara itu bergantung kepada Malaysia.

Justeru kata beliau, negara berkenaan bukan sahaja tidak boleh mengenepikan sumbangan Malaysia, malah perlu mengiktiraf bahawa kedua-dua negara mempunyai hubungan sejarah yang perlu diambil kira.

Sebagai contoh kata Syed Hamid, menerusi perjanjian air dengan Singapura yang mula ditandatangani sejak 1927, negara berkenaan menikmati air minum bersih yang memberi banyak faedah kepadanya.

Bagaimanapun Syed Hamid kecewa dengan cara Singapura mengurus dasar luarnya yang kadang kala menerusi media dan bukan saluran diplomatik.

Beliau memberi contoh, dalam isu penetapan tarikh untuk menandatangani perjanjian bagi membolehkan isu tuntutan Pulau Batu Putih dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), negara itu hanya menyebut akan diadakan bulan Januari menerusi akhbar.

``(Sedangkan) saya sudah beri beberapa tarikh tetapi tiba-tiba Singapura menyebut bulan Januari ini,'' katanya - Utusan Malaysia

No comments: