Friday, December 27, 2002

Soal siasat kes bom Bali melalui sidang video

KUALA LUMPUR 26 Dis. - Malaysia bersedia membenarkan mahkamah Indonesia menyoal siasat rakyat negara ini yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam pengeboman di Bali menerusi sidang video khas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai berkata, langkah itu diambil untuk membantu mahkamah negara itu mendapatkan keterangan semasa perbicaraan kes pengeboman Bali awal Februari depan.

``Semasa perbicaraan kes pengeboman Bali itu, kita akan adakan sidang video khas bagi membolehkan mahkamah Indonesia mendapatkan keterangan daripada mereka yang ditahan di sini,'' katanya semasa sidang akhbar selepas majlis rumah terbuka Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Norian menambah langkah itu juga diambil kerana Malaysia mempunyai undang-undang yang perlu dipatuhi kerana akta yang digunakan di negara jiran itu berbeza dengan negara ini.

Beliau memberitahu polis akan terus bekerjasama dengan pihak Indonesia bagi memburu pengganas-pengganas yang dikehendaki.

``Kita akan meminta bantuan dari Indonesia untuk memburu mereka ini seperti Dr. Azahari Nordin dan Noordin Mat Top,'' katanya.

Norian baru pulang dari Indonesia bagi menyoal siasat sendiri beberapa orang suspek dalam kes pengeboman Bali untuk mengetahui kaitan antara mereka dengan kumpulan militan yang ditangkap di Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia bersedia untuk menimbangkan sekiranya negara tersebut ingin menyiasat Yazid Sufaat yang dikatakan terlibat dengan kes pengeboman sebuah gereja di Jakarta pada Krismas tahun lepas.

``Pihak kita akan mempertimbangkan permohonan mereka untuk menyoal siasat mana-mana tahanan kita untuk mendapatkan maklumat,'' ujarnya.

Setakat ini 15 orang suspek yang ditahan berhubung kes pengeboman Bali adalah rakyat Indonesia tetapi berdasarkan kepada penemuan terbaru menunjukkan mereka mempunyai kaitan dengan kumpulan militan di Malaysia,

Salah seorang daripada mereka ialah Imam Samudera @ Abdul Aziz yang disyaki mendalangi serangan 12 Oktober itu.

Selain itu, Norian menyatakan tujuannya ke sana adalah untuk menilai bahan letupan yang digunakan oleh pengganas semasa tragedi pengeboman di Bali sama ada mempunyai persamaan dengan bahan letupan yang di temui di sini pada tahun lepas.

``Ini memberikan kesempatan kepada saya dan beberapa pegawai-pegawai kanan polis untuk mengetahui dan mengambil tindakan yang sewajarnya,'' tambahnya.

Sementara itu, beliau menegaskan polis akan meneruskan rondaan di Pulau Batu Putih selagi ia tidak melanggar garis sempadan.

``Rondaan akan diadakan di dalam kawasan perairan Malaysia dan kita tidak akan melanggar sempadan negara,'' katanya
- Utusan Malaysia

No comments: