KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim menyifatkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bahawa Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura dan Terumbu Karang Tengah milik Malaysia, sebagai satu kemenangan bersama.
Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah di the Hague, Belanda, Rais berkata, walaupun kedaulatan Pulau Batu Puteh berpihak kepada republik itu, namun penting juga dilihat bahawa kedaulatan Terumbu Karang Tengah, yang dikenali sebagai Middle Rocks, diberi kepada Malaysia.
"Keputusan pada pagi ini (waktu Belanda) adalah memberi kemenangan kepada kedua-dua pihak...pada satu peringkat mahkamah ICJ memutus mengikut fakta sejarah dan perundangan antarabangsa serta menimbulkan kesan-kesan pentadbiran dan hal lain berkaitan tuntutan (Pulau) Batu Puteh.
"Mahkamah memutuskan untuk memberi kedaulatan kepada republik Singapura, tapi pada masa yang sama...ini penting...Pulau Middle Rocks adalah diberi milik kedaulatan kepada Malaysia. Dan ini merupakan satu kemenangan kepada Malaysia jua," katanya.
Mengenai Terumbu Karang Selatan yang juga dikenali South Ledge, Rais berkata, mahkamah menentukan bahawa kedaulatannya tertakluk kepada persempadanan perairan yang dimiliki oleh sesebuah negara.
"Ia mungkin nanti merupakan satu isu yang harus disusul bersama oleh Singapura dan Malaysia menentukan tahap serta status kedaulatan kepulauan berkenaan," katanya.
Rais berkata kedua-dua pihak sedang mengkaji alasan yang diberi oleh mahkamah berkaitan keputusan yang diumumkan hari ini.
"Jadi kesimpulannya pada pagi ini dalam keadaan win-win situation inilah kita dapat menentukan kedaulatan atas kedua-dua tuntutan berkenaan," katanya.
Beliau berkata susulan keputusan ini, kedua-dua pihak akan mewujudkan jawatankuasa dan perkara selanjutnya akan diumumkan melalui jawatankuasa berkenaan.
Katanya, berkata alasan yang diberikan oleh ICJ yang memberi kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura adalah berdasarkan fakta bahawa sejak 1850-1953, Malaysia tidak ada bukti menjalankan apa-apa kegiatan atau yang boleh diterima sebagai bukti kedaulatan sama ada pendudukan, pemerintahan mahupun penyeliaan atas Pulau Batu Puteh.
"Mahkamah juga menegaskan bahawa peta yang tertera dan diperbuat oleh Malaysia itu sesungguhnya mencerminkan juga apa-apa hal yang bersabit tuntutan Singapura.
"Oleh kerana pulau itu dan juga rumah api yang diletakkan di situ sebagai rumah api Horsburgh adalah milik Singapura," katanya.
Rais berkata surat pegawai yang mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada 1953 dianggap mahkamah sebagai bukti menyerahkan kuasa dan kedaulatan pulau itu. "Tuntutan lain yang diperbuat Singapura (juga) meyakinkan mahkamah bahawa Pulau Batu Puteh diserahkan kepada Singapura dalam bentuk pengawasan kedaulatan. "Dalam konteks yang agak berlainanlah maka mahkamah menentukan Middle Rocks adalah milik dan kedaulatan pada Malaysia," katanya - Bernama
Muhyiddin minta rakyat terima keputusan ICJ
KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat menerima penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) hari ini yang memutuskan Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura.
Beliau berkata walaupun keputusan itu sesuatu yang mengecewakan tetapi ia harus diterima.
"Saya agak kecewa dengan keputusan yang dibuat oleh ICJ mengenai Pulau Batu Puteh yang tidak menyebelahi Malaysia.
"Sebagai rakyat Johor, saya sedih kerana walau apa asas undang-undang antarabangsa yang digunakan oleh ICJ, dari segi nilai sejarah, kedaulatan dan moralnya kita sudah kehilangan sebahagian daripada wilayah kita,” katanya di sini hari ini sejurus selepas ICJ membuat keputusan itu.
ICJ yang bersidang di The Hague, Belanda melalui pengundian 12-4 yang berpihak kepada Singapura menetapkan bahawa negara jiran itu mempunyai hak kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh, manakala Malaysia pula melalui pengundian 15-1 diberikan hak kedaulatan terhadap Terumbu Karang Tengah — Bernama
No comments:
Post a Comment