Oleh Khirul Bahri Basaruddin
Menjelang keputusan ICJ berhubung hak milik dan kedaulatan Pulau Batu Puteh, hari ini
Pertikaian lebih 30 tahun antara Malaysia, Singapura sampai penghujung
MENANG atau kalah. Itulah hakikat yang perlu diterima oleh sesebuah negara apabila bersetuju merujuk pertikaian mereka ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi mencari jalan penyelesaian. Keputusan mahkamah yang menjadi organ undang-undang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu adalah muktamad dan tidak boleh dirayu lagi.
Malaysia dan Singapura melalui Perjanjian Khas 2003 bersetuju merujuk berhubung pertikaian kedaulatan Pulau Batu Puteh, terletak kira-kira 7.7 batu nautika dari Malaysia dan 25.5 batu nautika dari Singapura kepada ICJ untuk membuat keputusan pertikaian hampir 30 tahun itu.
Berdasarkan latar belakang pertikaian itu, ia bermula pada 14 Februari 1980 apabila Singapura pertama kali membuat tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh melalui Nota Diplomatik membantah terhadap keputusan Malaysia memasukkan pulau itu sebagai sebahagian daripada pulau milik Malaysia dalam peta Malaysia yang diterbitkan pada 1979.
Pada masa itu, tidak timbul tuntutan Singapura ke atas Batuan Tengah dan Tubir Selatan atas alasan yang kita tidak ketahui, tetapi dalam perbincangan dua hala pertama pada Februari 1993, negara itu membangkitkan soal tuntutan ke atas kedua-dua bentuk muka bumi berkenaan secara jelas berbeza daripada Pulau Batu Puteh.
Batuan Tengah dan Tubir Selatan secara geologi bersambung dengan Pulau Batu Puteh. Batuan Tengah dipisahkan dari Pulau Batu Puteh oleh saluran 0.6 batu lebar, manakala Tubir Selatan kira-kira 2.1 batu dari pulau berkenaan.
Malah, Singapura tidak menunjukkan ada menjalankan kegiatan di Batuan Tengah dan Tubir Selatan bagi membolehkan tuntutan dibuat sebelum rundingan dijalankan pada 1993. Kedua-dua bentuk muka bumi itu di bawah kedaulatan Johor kerana Batuan Tengah dan Tubir Selatan sejak dulu lagi sebahagian pulau, pulau kecil dan bentuk muka bumi di sebelah utara Selat Singapura yang kedaulatannya dikuasai Johor.
Pada September 1994, Malaysia dan Singapura bersetuju untuk merujuk pertikaian itu kepada ICJ dan pada Februari 2003, kedua-dua negara itu menandatangani perjanjian khas bagi mendapat keputusan muktamad daripada mahkamah dunia itu.
Melalui perjanjian khas itu, Malaysia dan Singapura mengemukakan memorial atau dokumen kes dan Memorial Balasan masing-masing pada 25 Mac 2004 dan 25 Januari 2005. Kedua-dua negara juga mengemukakan jawapan masing-masing pada November 2005.
Mahkamah memulakan prosiding lisan pada 6 hingga 23 November tahun lalu di hadapan 14 panel hakim tetap dan dua hakim ad-hoc ICJ yang dipengerusikan oleh Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh.
Namun, hari ini adalah tarikh keramat bagi kedua-dua negara apabila barisan 16 panel hakim ICJ membuat keputusan mengisytiharkan kedaulatan Pulau Batu Puteh serta muka bumi berdekatan, Batuan Tengah dan Tubir Selatan milik kekal salah satu daripada negara anggota Asean itu.
Sebaik saja mahkamah membuat keputusannya, Malaysia dan Singapura terpaksa menerima keputusan itu sebagai negara 'pemenang' dan 'kalah' di persada undang-undang antarabangsa yang menjadi pentas untuk kedua-dua negara mencari jalan penyelesaian, sekali gus meneruskan perancangan yang dibuat di kawasan yang menjadi pertikaian itu.
Bagi Malaysia, keputusan membawa kes itu ke mahkamah adalah satu 'kemenangan moral' kerana sejak kira-kira 150 tahun Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan itu berada di bawah penguasaan Singapura yang mengambil alih pentadbiran Rumah Api Horsburgh di Pulau Batu Puteh daripada penjajah British, selepas negara itu menjadi sebuah republik pada 1963.
Atas kebijaksanaan pasukan perunding dari Kementerian Luar yang bermula daripada bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad dan Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak berjaya membawa pertikaian itu ke meja rundingan, sekali gus mendapat persetujuan kedua-dua kerajaan merujuk pertikaian kepada ICJ.
Apabila kes itu dibawa ke mahkamah, mengikut pengiraan sama ada Malaysia boleh menang atau tidak, secara moralnya kita sudah menang 50 peratus. Alasannya, jika tidak dibawa ke mahkamah sehingga hari ini pulau yang menjadi pertikaian itu milik Singapura selama-lamanya.
Kita tidak mungkin mengangkat senjata untuk mengambil semula pulau itu, bukan kerana kita tidak mempunyai kekuatan tetapi Malaysia sejak penubuhan Asean berpegang kepada semangat pertubuhan itu yang menyelesaikan segala pertikaian di meja rundingan atau jalan muktamad melalui mahkamah seperti ICJ atau Tribunal Antarabangsa Mengenai Undang-Undang Laut (Itlos), berhubung kes penambakan laut yang dijalankan Singapura di sekitar Selat Johor.
Apakah peluang Malaysia selepas 50 peratus menang secara moral? Kita berpegang kepada kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim, yang yakin negara ini boleh menang dalam pertikaian itu berdasarkan fakta sejarah dan hujah undang-undang termasuk kes rujukan undang-undang serta dokumen sokongan seperti peta.
Tidak salah kita katakan, pasukan undang-undang yang dianggotai anak tempatan serta peguam antarabangsa berjaya meyakinkan panel hakim dalam prosiding lisan selama tiga minggu kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah hak Malaysia sejak sebelum British melalui Syarikat India Timur (EIC) mendapat kebenaran membina dan mengendali rumah api daripada Kesultanan Johor pada 25 November 1844 .
Hujah yang menyokong kes Malaysia dan menyanggah kes Singapura; Malaysia berjaya membuktikan sebelum 1847, Pulau Batu Puteh menjadi sebahagian wilayah Sultan Johor. Singapura gagal menunjukkan Pulau Batu Puteh terra nullius atau tidak bertuan.
Pulau Batu Puteh bukan terra nullius pada 1847 dan 1851 apabila EIC siap membina rumah api Horsburgh. Singapura menggunakan hujah pihak British menjejak kaki mereka pada 1847 di pulau yang tidak bertuan itu untuk membina rumah api dan 1851, sebagai tarikh operasi rumah api itu bermula.
Bagaimanapun, Malaysia berjaya mematah kes Singapura yang bergantung penuh kepada hujah Pulau Batu Puteh terra nullius tetapi jika ia milik Johor seperti yang dihujahkan Malaysia, kes republik itu musnah.
Singapura bergantung penuh kepada kegiatan yang berlaku antara 1847 dan 1851 dengan alasan pulau itu terbuka untuk diduduki bagi menuntut kedaulatan pulau berkenaan.
Sejarah yang disokong keterangan kukuh membuktikan perjanjian Johor-British dan British-Belanda pada 1824 mengesahkan bahawa Sultan Johor mempunyai hak milik asal dan kemudian Malaysia ke atas Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Berdasarkan beberapa alasan kukuh, kita yakin kemenangan berpihak kepada Malaysia kerana republik itu hanya mengemukakan dua hujah utama iaitu, Pulau Batu Puteh terra nullius atau tidak bertuan dan kedua, menggunakan prinsip effectivit 'es atau pentadbiran berkesan berhubung semua kegiatan yang dijalankan sejak 1951 hingga 1980 membuktikan negara itu mempunyai hak kedaulatan ke atas ketiga-tiga bentuk bumi yang menjadi pertikaian itu.
Dalam prosiding lisan itu, Singapura merujuk kes Malaysia lawan Indonesia (Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan), antara lain negara itu mendakwa prinsip kes itu menyokong tuntutan republik berkenaan. Pentadbiran berkesan bermaksud negara yang menduduki kawasan yang menjadi pertikaian itu menjalankan pelbagai kegiatan serta ada memperkenalkan undang-undang tempatan, contohnya dalam kes Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan, Malaysia mewartakan Ordinan Pemuliharaan Penyu 1917 dan Peraturan Santuari Burung 1933.
Sehubungan itu, Malaysia cuma perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa ia mempunyai hak milik asal ke atas pulau itu dan jika hujah itu diterima, Malaysia tidak perlu mengemukakan sebarang bukti effectivit'es atau pentadbiran berkesan.
Malaysia, berdasarkan beberapa hujah dan alasan adalah pemilik asal Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan sekali gus menolak hujah effectivit'es yang dikemukakan Singapura. Namun, kita tunggu dan lihat keputusan sebenar, hari ini - Berita Harian
Friday, May 23, 2008
Batu Puteh kembali kepada pemilik
Posted by 9T9 at 2:15 PM
Labels: Batu Putih, Berita Harian, Ulasan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment