Friday, May 23, 2008

Hak Batu Puteh ditentu hari ini

Oleh Khirul Bahri Basaruddin di The Haque, Belanda

Kekuatan 14 hujah perkuat tuntutan: Dr Rais




MALAYSIA akan mempertahankan kedaulatan setiap inci kawasan miliknya walaupun saiznya sekecil setengah padang bola sepak seperti dalam kes Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang akan ditentukan pemiliknya oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), di sini hari ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata Malaysia mengambil keputusan merujuk kes yang menjadi pertikaian dengan Singapura kira-kira 30 tahun itu ke ICJ untuk mencari penyelesaian negara yang mempunyai hak kedaulatan pulau berkenaan.

"Orang hairan kenapa kita berebut kawasan batu yang saiznya sebesar setengah padang bola sepak. Bagi saya batu itu adalah sebahagian daripada Malaysia dan kita perlu mendapatkan kepastian pemilik sah kawasan itu.

"Oleh itu, melalui pentadbiran dan kemampuan undang-undang, kedaulatan kawasan batu itu milik Johor serta Malaysia, " katanya dalam pertemuan dengan media Malaysia di sini semalam.

Dr Rais mengetuai delegasi Malaysia mendengar keputusan 14 hakim tetap dan dua hakim ad-hoc ICJ untuk memutuskan kedaulatan kawasan itu.

FAKTA: Tuntutan Pulau Batu Puteh

Jika keputusan berpihak kepada Malaysia

  • Kedaulatan negara dikembalikan dan terpelihara kerana berjaya menuntut kembali hak yang digunakan oleh penjajah tanpa izin sejak 1840-an.


  • Malaysia akan mempunyai kawasan laut yang luas dengan tambahan keluasan sejauh 200 nautika diukur dari Pulau Batu Puteh.


  • Menguasai seluruh hasil bumi dalam kawasan sempadan iaitu gas dan petroleum sekitar perairan kawasan itu.


  • Laluan laut ke laut China Selatan akan terbuka dan memberikan kebebasan perjalanan laut oleh kapal daripada Malaysia tanpa membabitkan keizinan diplomatik oleh negara luar jika menggunakan laluan itu.


  • Meningkatkan pertahanan negara berbanding jika pulau itu dikuasai Singapura. Mengelakkan daripada kawasan sebelah tenggara Johor daripada dikuasai oleh kuasa asing bagi mengelakkan sebarang ancaman luar.


  • Menguasai laluan kapal perdagangan paling sibuk di dunia dengan anggaran lebih 45,000 kapal dagang dari Eropah, Asia Tengah dan Asia Timur.


  • Memperoleh kembali kawasan sumber hasil laut yang lumayan khususnya untuk nelayan dari Pengerang, Johor. Kawasan itu dipercayai kaya dengan sumber ikan dan udang kara kerana kehadiran plankton yang banyak di sekitar batu karang.


Jika keputusan berpihak kepada Singapura

  • Singapura akan mempunyai Zon Kawasan Eksklusif Ekonomi (EEZ) sejauh 200 nautika sekitar Pulau Batu Puteh yang sempadannya terlalu hampir dengan perairan Johor. Ia juga akan meluaskan wilayah pentadbiran negara itu.


  • Semua hasil laut dan bumi kawasan itu termasuk ikan, gas dan petroleum yang ditemui dalam kawasan itu akan menjadi milik Singapura.


  • Perjalanan kapal Malaysia keluar ke Laut China Selatan melalui Selat Tebrau akan terhalang oleh wilayah jajahan Singapura sejauh 200 nautika. Ia adalah halangan besar dan menyekat kebebasan pelayaran negara dan semua perjalanan kerana perlu mendapatkan keizinan Singapura untuk ke Laut China Selatan.


  • Malaysia kehilangan peluang meningkatkan ekonomi dengan menguasai laluan perairan paling sibuk di dunia iaitu Selat Tebrau dan hujung Selat Melaka untuk menjadi pelabuhan yang mampu mendatangkan sumber ekonomi seperti Singapura yang mengenakan bayaran untuk setiap perkhidmatan radar oleh kapal dagang yang menggunakan laluan itu.


  • Ruang udara di Pulau Batu Puteh akan terbuka kepada Singapura untuk dilalui. Malaysia memerlukan keizinan diplomatik untuk melalui ruang udara Pulau Batu Puteh dan pesawat negara terpaksa melalui jalan lain dan pusingan yang jauh tanpa melalui ruang udara Pulau Batu Puteh.
- Berita Harian

No comments: