Friday, May 23, 2008

ICJ masih bersidang tentukan pemilik Pulau Batu Puteh

KUALA LUMPUR: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda ketika ini masih bersidang bagi membuat keputusan pemilik sah Pulau Batu Puteh yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura selama 28 tahun.

Naib Presiden mahkamah itu, Hakim Awn Shawkat Al Khasawneh yang juga Pemangku Presiden, masih membaca fakta kes dan persidangan itu kini disiarkan secara langsung oleh RTM1, mulai jam 4 petang tadi.

Keputusan negara pemilik sah pulau itu dijangka dibuat dalam beberapa minit lagi.

Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca (bahasa Portugal untuk "Batu Putih") adalah sebuah pulau tunggul sebesar dua padang bola sepak, yang terletak di luar pantai tenggara Pengerang, Johor, Malaysia.

Luasnya 0.2 hektar, berbatu-batu dan kira-kira 12.8 km dari Pengerang dan 64 km ke timur Singapura dan hanya 20 minit dengan bot laju dari Teluk Ramunia, Pengerang, Johor.

Pertikaian kedaulatan pulau itu antara isu kedua-dua negara sudah berlarutan hampir 28 tahun.

Singapura mendakwa Pulau Batu Puteh miliknya selepas pemetaan wilayah dibuat Malaysia pada 1979.

Pada 24 Julai 2003, Malaysia dan Singapura secara bersama memulakan proses perundangan bagi menyelesaikan tuntutan Singapura melalui penyampaian secara rasmi kepada ICJ - Berita Harian

No comments: