Saturday, January 04, 2003

Saya tak rujuk mana-mana negara - Syed Hamid

KUALA LUMPUR 3 Jan. - Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar menegaskan kenyataannya yang tersiar dalam media berhubung hasrat negara tertentu mahu menjadikan Malaysia sebagai `medan perang' tidak merujuk kepada mana-mana negara.

Sebaliknya beliau berkata, kenyataan yang dibuatnya semalam berhubung perkara itu telah disalahtafsir oleh wartawan terlibat.

``Saya hanya menyatakan rakyat perlu bersedia menghadapi sebarang ancaman dari mana-mana negara seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

``Dr. Mahathir sendiri tidak sebut negara jiran yang mahu menjadikan Malaysia sebagai medan perang. Takkan saya hendak menyebutnya pula,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Wisma Putra di sini, hari ini.

Syed Hamid mengulas tentang laporan akhbar hari ini yang menyatakan beliau mendedahkan negara jiran yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri untuk menjadikan Malaysia sebagai medan perang bagi mempertahankan diri ialah Singapura.

Syed Hamid seterusnya berkata, ketika bercakap kepada pemberita di Kuala Terengganu semalam, beliau juga menerangkan tentang cerminan hubungan dua hala serta tujuan baik sebagai negara berjiran yang boleh dimanfaatkan sekiranya kedua-dua mempunyai persefahaman.

Sehubungan itu, Syed Hamid menafikan beliau ada menyebut Singapura sebagai jiran yang mahu bermusuh dengan Malaysia.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan tulisan tersebut berpunca daripada andaian tentang senario hubungan dua hala yang agak `dingin' antara Malaysia dan Singapura lebih-lebih lagi selepas timbulnya isu tuntutan bertindih terhadap Pulau Batu Putih serta isu harga air.

Dalam pada itu, Syed Hamid berkata, pihaknya akan memastikan hubungan yang terjalin antara negara ini dengan Singapura akan lebih bersifat pragmatik dan tidak merugikan Malaysia - Utusan Malaysia

No comments: