Saturday, January 04, 2003

Exco tertinggi MPM UTM sesi 2003 dipilih

PELAJAR tahun empat program ijazah Sarjanamuda Kejuruteraan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mohd. Shahar Abdullah, 23, dipilih sebagai presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) UTM sesi 2003 di kampus Skudai, Johor, baru-baru ini.

Pemilihan itu diputuskan pada mesyuarat pemilihan empat jawatan exco tertinggi pada 23 Disember lalu.

Tiga exco tertinggi lain yang dipilih ialah Siti Hawa Adila Mohd. Yusof sebagai Timbalan Presiden; Mohd. Afandi Abu sebagai Setiausaha Agong dan Siti Rokhiyah Abu sebagai Bendahari Kehormat.

Siti Hawa adalah pelajar tahun tiga, kursus Sarjanamuda Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam; Mohd. Afandi, pelajar tahun tiga kursus Sarjanamuda Pengajian Awam, Fakulti Pendidikan dan Siti Rokhiyah, pelajar tahun tiga kursus Sarjanamuda Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Zulkifli Mohd. Ghazali dalam satu kenyataan berkata, jawatan kuasa tertinggi MPM yang baru dilantik perlu mengutamakan agenda kerja ke arah meningkatkan semangat patriotisme.

Menurutnya, mereka juga perlu mengutamakan perpaduan di kalangan pelajar dengan melaksanakan pelbagai aktiviti perpaduan bagi mengelak polarisasi kaum di UTM.

``Peningkatan perpaduan di antara kaum perlu bagi membantu mewujudkan suasana kampus yang harmoni, seterusnya merealisasikan hasrat dan visi UTM untuk mencapai taraf `kelas dunia' pada tahun 2010,'' katanya.

Sebanyak 45 kerusi telah dipertandingkan pada pilihan raya di kampus Skudai dan Kuala Lumpur (KL), baru-baru ini.

Peratusan pelajar yang keluar membuang undi meningkat kepada 52 peratus tahun ini berbanding hanya 40 peratus tahun lalu.

Sementara itu, Mohd. Shahar ketika ditemui Utusan Malaysia pada Majlis Jamuan Hari Raya UTM di Kuala Lumpur, baru-baru ini, berkata, pembaharuan yang dilakukan MPM sesi 2003 ialah menambah jumlah jabatan yang sedia terdapat dalam organisasi itu.

Menurutnya, pada sesi lalu sebanyak enam jabatan dibentuk tetapi sesi ini menyaksikan dua jabatan baru ditubuhkan.

``Jumlah keseluruhan jabatan pada sesi ini ialah lapan dan selain itu, kami juga meminda nama jabatan-jabatan sedia ada.

``Tujuan pindaan nama jabatan dibuat adalah untuk memantapkan peranan yang menjadi tanggungjawab setiap jabatan berkenaan,'' katanya.

Menurutnya, lapan jabatan itu ialah Jabatan Penerbitan dan Penerangan; Jabatan Pendidikan dan Pembangunan; Jabatan Sukan dan Rekreasi; Jabatan Kebudayaan dan Kesenian; Jabatan Perhubungan Luar dan Antarabangsa; Jabatan Kebajikan dan Kerohanian; Jabatan ICT dan Tugas Khas dan Jabatan Sosial dan Perpaduan.

Mengulas aktiviti yang akan dijalankan oleh MPM di bawah kepimpinannya, Mohd. Shahar berkata, dalam masa terdekat ini, pihaknya akan mengadakan bengkel mengenai jenayah perang.

Katanya, bengkel itu diadakan untuk menyediakan memorandum berhubung jenayah perang yang akan disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada sidang kemuncak ke-13 Negara-Negara Berkecuali (NAM) yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 20 sehingga 25 Februari ini.

Menurutnya, MPM sesi ini akan memberi tumpuan kepada isu antarabangsa dan tempatan sama banyak iaitu 50-50.

Isu antarabangsa lain yang akan diberi perhatian katanya ialah masalah Pulau Batu Putih.

``Sebagai pelajar universiti, kami perlu peka dengan isu-isu antarabangsa dan ini sejajar dengan usaha kami dalam membantu UTM ke arah menjadi universiti bertaraf dunia,'' katanya.


Dalam pada itu, Mohd. Shahar berkata, antara isu tempatan yang akan diberi perhatian ialah peningkatan penghayatan pelajar terhadap Islam.

Justeru katanya, satu program tilawah al Quran peringkat kebangsaan yang melibatkan pelajar sekolah dan pelajar universiti akan dianjurkan oleh MPM sesi ini.

``Dalam bidang sukan pula, kami akan memberi tumpuan kepada pembangunan sukan di kalangan pelajar yang tinggal di luar kampus.

``Aktiviti sukan yang diadakan ini diharap dapat mengelakkan pelajar daripada terjebak dalam kegiatan tidak sihat,'' katanya.

Untuk meningkatkan tahap komunikasi barisan kepimpinan MPM pula, katanya, program melawat para pemimpin negara akan diadakan.

Program itu diharap dapat membantu anggota MPM berinteraksi dengan lebih yakin dengan pemimpin negara.

Ia juga katanya akan memberi peluang kepada anggota MPM mendengar sendiri penjelasan berhubung isu-isu semasa daripada para pemimpin itu sendiri - Utusan Malaysia

No comments: