Sunday, December 29, 2002

Pulau Batu Putih: Selesaikan secara bertamadun

Oleh Prof. Firdaus Abdullah

Batu putih ombak beralun
Pantai Johor nyiur melambai
Tanda manusia menjunjung tamadun
Sengketa selesai secara damai


Pertama sekali saya ingin mengingatkan diri saya dan diri orang-orang siuman yang lain yang sudi diberi peringatan bahawa kejayaan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menyelesaikan konflik Malaysia-Indonesia mengenai pemilikan Pulau Sipadan seminggu dua yang lalu, adalah satu kejayaan tamadun manusia.

Manusia yang bertamadun menyelesaikan sengketa dan perbezaan pendapat dengan menggunakan ``otak'' dan pemikiran yang rasional. Manusia yang tidak bertamadun akan menggunakan ``otot'' atau kekuatan senjata dan keganasan.

Tentu sahaja pemimpin dan rakyat Malaysia gembira kerana status pemilikan negara ini ke atas Pulau Sipadan telah disahkan oleh keputusan ICJ tersebut dan dengan itu sekali gus diiktiraf pula oleh masyarakat bertamadun antara bangsa. Indonesia yang sebelumnya turut menuntut hak pemilikan ke atas pulau tersebut juga menerima keputusan penghakiman ICJ itu tanpa sebarang bantahan.

Mungkin Indonesia agak kecewa dengan keputusan penghakiman ICJ itu, tetapi keputusan itu diterimanya dengan dada yang lapang dan sikap yang matang. Malaysia yang gembira dengan keputusan tersebut tidak pula memperlihatkan kegembiraannya secara berlebih-lebihan. Tetapi, pada hemat saya, yang lebih menggembirakan ialah bahawa Malaysia dan Indonesia telah berjaya menyelesaikan sengketanya secara beradab dan bertamadun, menggunakan akal dan fikiran yang rasional.

Dalam kebimbangan dan keprihatinan kita melihat wujudnya urang gilo baladiang dalam masyarakat antarabangsa sekarang, kita masih dapat menarik nafas lega kerana di tengah-tengah kegilaan itu masih ada kumpulan orang yang berfikiran waras seperti dibayangkan oleh penyelesaian sengketa pulau Sipadan melalui penghakiman ICJ itu. ( Urang gilo baladiang adalah pepatah Minangkabau yang bermaksud orang gila yang sedang memegang parang atau golok).

Dalam hubungan ini negara-negara ASEAN, khususnya Malaysia patut berbangga kerana terdahulu daripada sengketa pulau Sipadan itu, Malaysia juga telah berjaya menyelesaikan sengketanya dengan satu negara jiran yang lain secara damai dan bertamadun. Sengketa yang dimaksudkan ialah isu garis sempadan atau perbatasan negara dengan Thailand.

Berkat semangat kejiranan dan tradisi muhibah yang sudah tersemai antara kedua-dua negara sebagai keluarga ASEAN, Malaysia dan Thailand telah mencapai persetujuan untuk menetapkan garis sempadan yang membatasi kedua-dua negara yang tidak kurang 300 kilometer panjangnya di atas daratan. Khabarnya yang masih lagi dalam perundingan ialah satu kawasan darat dekat Jeli dan kawasan maritim (perairan) di hujung timur laut Kelantan.

Ada dua perkara yang cukup menarik mengenai semangat kejiranan atau sejenis ``tamadun/tradisi ASEAN'' yang ditunjukkan oleh Malaysia dan Thailand dalam menyelesaikan isu sempadan kedua-dua negara. Pertama, kedua-dua negara menyelesaikan pertikaian secara dua hala (bilateral), tanpa penglibatan pihak ketiga. Ertinya tak perlu dirujuk kepada ICJ.

Kedua, walaupun belum berhasil mencapai persetujuan mengenai garis sempadan di kawasan perairan (laut) kedua-dua negara telah bersetuju untuk membangunkan bersama projek-projek maritim di kawasan perairan yang sempadannya masih menjadi pertikaian itu. Saya anggap ini satu lagi contoh kematangan hubungan internasional yang sihat dan satu manifestasi tamadun ASEAN yang patut menjadi teladan bagi mereka yang bersengketa atau bagi mereka yang mempunyai kecenderungan menggunakan kekerasan dan senjata.

Sehubungan itulah saya ingin membuat seruan kepada pemimpin-pemimpin negara di rantau jauh dan dekat. Khususnya seruan ini ditujukan kepada Presiden Amerika Syarikat yang hendak mendera Iraq, kepada Tony Blair yang juga berlagak bongkak dan kepada John Howard yang hendak menjadi bayang-bayang George Bush di sebelah Timur, dan kepada Israel yang tak henti-hentinya berlaku zalim kepada rakyat Palestin. Seruan kepada mereka: Hargailah nyawa manusia dan berhentilah bersifat talam dua muka. Teladanilah tamadun kami orang-orang Asia.

Lebih khusus lagi seruan ini ditujukan kepada Singapura dan tokoh-tokoh pemimpinnya yang berkenaan yang nampaknya begitu berselera untuk memiliki Pulau Batu Putih sedangkan Malaysia juga turut mendakwa bahawa pulau itu adalah haknya yang sahih. Demi memelihara keamanan serantau dan demi menghargai hubungan internasional yang bertamadun, sangatlah penting bagi Malaysia dan Singapura menyelesaikan sengketa Pulau Batu Putih itu secara aman, dengan fikiran yang siuman dan akal yang rasional.

Untuk tujuan itu cara yang sebaik-baiknya ialah dengan merujukkan pertikaian kedua-dua negara kepada ICJ. Itulah cara penyelesaian yang bertamadun yang tidak memerlukan gertak-menggertak dan tidak memerlukan tindakan provokasi.

Pertikaian Malaysia-Singapura mengenai Pulau Batu Putih yang sebenarnya telah berlangsung selama lebih sepuluh tahun. Masing-masing mendakwa sebagai pemilik yang sah pulau tersebut dengan alasan-alasan tersendiri.

Status pemilikan yang sah ke atas pulau itu mula menjadi isu dan dipertikaikan apabila pihak berkuasa Singapura yang menyelenggarakan sebuah rumah api di sana mulai mengganggu kehidupan nelayan Malaysia yang menangkap ikan di sekitar pulau itu.

Selama ini kerajaan Malaysia menganggap kehadiran rumah api di pulau tersebut sebagai keperluan awam demi keselamatan bersama, terutama keselamatan kapal-kapal yang berulang alik ke pelabuhan Singapura. Penyelenggaraan Singapura ke atas rumah api tersebut tidak semestinya memberi Singapura hak untuk memiliki pulau tersebut.

Dari segi sejarah pulau itu adalah sebahagian daripada wilayah kesultanan atau empayar Johor dan tidak pernah diserahkan kepada mana-mana kuasa asing seperti beberapa wilayah tertentu yang lain. Dalam pelbagai perjanjian antara kuasa-kuasa kolonial Eropah di Semenanjung Tanah Melayu dan gugusan pulau-pulau Melayu di abad ke-l8 dan ke-19 dahulu, Pulau Batu Putih tetap utuh sebagai sebahagian daripada wilayah kesultanan Johor.

Dari segi lokasi, pulau itu lebih dekat ke pantai Johor daripada ke pulau Singapura. Demikianlah Malaysia mempunyai pelbagai alasan sejarah, perundangan dan ilmu alam untuk memperkukuh dakwaan pemilikannya ke atas pulau itu.

Tetapi Singapura mendakwa bahawa pulau itu telah menjadi miliknya yang sah semenjak tahun 1840-an. Begitu juga peranannya sebagai penyelenggara rumah api dijadikan alasan sebagai pemilik yang sah pulau itu.

Tetapi sebagaimana dalam sebarang bentuk pertikaian, masing-masing pihak mempunyai alasan dan hujah masing-masing dan mendakwa atau mengaku bahawa hujah dan alasannya sahaja yang benar. Berbeza dengan pertikaian garis sempadan negara antara Malaysia dan negara Thai, pertikaian Malaysia-Singapura mengenai pemilikan Pulau Batu Putih ini, nampaknya tidak mungkin diselesaikan dengan perundingan secara dua hala (bilateral negotiation)

Kerana itu campur tangan pihak ketiga diperlukan.

Untuk tujuan itu cara yang sebaik-baiknya ialah dengan merujukkan pertikaian kedua-dua negara kepada ICJ. Itulah cara penyelesaian yang bertamadun yang tidak memerlukan gertak-menggertak dan tidak memerlukan tindakan provokasi

Kesediaan kedua-dua belah pihak untuk merujukkan perkara itu kepada ICJ mestilah secara ikhlas dan semangat berbaik sangka (good faith), dan kesedaran bahawa walau apa pun Malaysia dan Singapura sebagai tetangga yang dalam bidang-bidang tertentu mempunyai hubungan symbiotic (saling perlu-memerlukan secara mutlak). Selain itu yang patut disedari ialah kedua-dua negara mempunyai common destiny dalam satu rantau atau wilayah geopolitik yang memaksa kedua-duanya saling bekerjasama dan bersefahaman.

Oleh kerana itu demi mempastikan kelancaran proses ICJ langkah-langkah yang boleh menjejaskan semangat ``berbaik sangka'' itu hendaklah dielakkan termasuk tindakan-tindakan provokasi yang akan mempertegang suasana.

Sudah tentu sahaja tindakan-tindakan provokasi boleh menjejaskan kelancaran proses penghakiman. Dan jika provokasi satu pihak sudah keterlaluan, pihak yang satu lagi mungkin boleh hilang sabar. Dan kata pepatah Melayu: Hendak baik seribu tahun, hendak jahat tak sempat kapas dibakar. Jika pepatah Melayu tak cukup, kita tambah dengan ungkapan Shakespeare: Unnaturual deeds do breed unnatural trouble. (Perbuatan yang sumbang sememangnya akan mengakibatkan kecelakaan yang sumbang.) Provokasi adalah satu perlakuan yang sumbang dalam usaha kita mencari penyelesaian damai.

Yang menjadi keprihatinan pihak Malaysia sekarang ialah tindakan provokasi Singapura yang menguji kesabaran rakyat Malaysia. Tetapi lebih dari itu ialah keengganan pihak Singapura untuk menandatangani dokumen bersama yang perlu diserahkan kepada ICJ agar proses penghakiman dapat dimulakan. Akhirnya, satu lagi seruan kepada Singapura, demi keamanan dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara rujuklah sengketa Pulau Batu Putih ini kepada ICJ. Itulah jalan damai yang sebaik-baiknya - Utusan Malaysia

No comments: