Oleh Bazli Abdul Rahman
`MELAMPAU'. Itulah perkataan paling sesuai bagi menggambarkan sikap Polis Pengawal Pantai Singapura (PPPS) yang mengusir bot Polis Marin Malaysia kira-kira empat batu nautika dari perairan Pulau Batu Putih.
Tindakan menghalau bot PA41 Polis Marin Wilayah Selatan pada 24 Disember lalu itu, memperlihatkan Singapura begitu berani seolah-olah pulau tersebut miliknya.
Pengusiran tersebut dibuat melalui alat pembesar suara apabila seorang anggota berpakaian seragam dari kapal PPPS itu dengan lantang menegaskan: ``Anda telah memasuki perairan Singapura. Sila keluar sekarang''.
Jika arahan itu tidak dipatuhi, mungkin tembakan amaran senjata bermula dari kapal republik berkenaan.
Anak kapal PA41 yang tidak mahu kejadian buruk, meninggalkan perairan itu terutama setelah sebuah kapal perang Tentera Laut Singapura turut menghala ke bot polis marin yang penulis naiki pada hari berkenaan.
Kejadian itu memang di luar jangkaan, kerana ketika ini tuntutan bertindih antara Malaysia dan Singapura belum diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Sekalipun Singapura mendakwa Pulau Batu Putih miliknya, namun tidak wajar tindakan mengusir Polis Marin Malaysia dilakukan mengikut seleranya.
Apa tidaknya, berdasarkan filem di televisyen atau pawagam, arahan sedemikian hanya diberi oleh pihak berkuasa kepada pendatang haram.
Namun suasana ketika itu cukup membimbangkan, kerana selain kapal PPPS, kapal perang Tentera Laut Singapura membuatkan hati penulis dan wartawan lain lebih kecut kerana ia dilengkapi dengan pelbagai jenis meriam pasukan tempur.
Walaupun ombak Laut China Selatan ketika itu bergelora setinggi kira-kira 1.5 hingga dua meter, tetapi gelora di hati lebih terasa.
Apa tidaknya, jika satu das tembakan peluru dilepaskan mungkin ada yang cedera parah dan maut.
Ini kerana mengikut sifir berperang, tembakan dari sebuah kapal ke kapal lain bukan sebutir peluru seperti menembak tupai. Peluru dari kapal bersifat bom.
Mengikut sifir perang di laut, kapal musuh mesti ditenggelamkan terlebih dahulu kerana jika tidak musuh akan membalas serangan dan menenggelamkan kapal saingannya itu.
Pada hari tersebut, jika satu das tembakan meriam dihalakan ke bot PA41 Polis Marin Wilayah Selatan itu, bermakna kapal milik Malaysia itu akan karam manakala semua penumpangnya entah hidup entah terkorban.
Peluang untuk menyelamatkan diri memang ada. Itu pun jika bot getah dan jaket keselamatan sempat diambil atau tidak rosak.
Strategik
Pada waktu itu, hati penulis hanya mampu membisik ``Ya Allah, selamatkan kami.''
Semua itu hanya kebimbangan kerana pengalaman pertama berhadapan dengan keadaan sedemikian. Bot PA41 Polis Marin Wilayah akhirnya meninggalkan perairan pulau tersebut.
Waktu itu juga, pening kerana mabuk laut datang semula. Sebentar tadi pening itu hilang mungkin kerana benak fikiran tertumpu kepada rasa takut dan cemas. Sesungguhnya sikap riak Singapura mendahului insiden mengusir bot PA41 Polis Marin Wilayah Selatan apabila melakukan kerja-kerja pembinaan di pulau tersebut, termasuk mendirikan sebuah bangunan dua tingkat dan tempat pendaratan helikopter.
Di Pulau Batu Putih itu juga terdapat kuaters dua tingkat yang asalnya hanya setingkat beberapa tahun lalu untuk pekerja dari republik tersebut.
Di situ juga diwujudkan menara radar untuk pengawasan kapal.
Sekalipun pulau itu kecil, yang ada hanya batu, tanpa sebarang pokok dan tidak mempunyai kepentingan ekonomi, termasuk sektor pelancongan, namun ia mempunyai kepentingan dari segi keselamatan dan maritim kerana terletak di laluan antarabangsa yang sentiasa sibuk dengan kapal dagang.
Pulau Batu Putih merupakan lokasi yang cukup strategik terutama untuk mengawasi laluan kapal-kapal di Laut China Selatan.
Pulau kontroversi yang terletak kira-kira 20 minit perjalanan dengan bot laju dari Teluk Ramunia, Kota Tinggi itu adalah milik Malaysia berdasarkan sejarah, lokasi dan pemetaan.
Pulau seluas 0.2 hektar itu terletak lapan batu nautika dari Pengerang dan 40 batu nautika ke timur Singapura. Pada mulanya ia hanya menempatkan rumah api untuk panduan pelayaran.
Berdasarkan sejarah, penyerahan Pulau Singapura pada tahun 1842 kepada Inggeris ialah sebuah pulau, laut dan selat yang terletak dalam lingkungan 10 batu nautika dari pesisir Pulau Singapura.
Keperluan rumah api di Pulau Batu Putih pula timbul hasil kewujudan Colony of the Straits Settlement selepas pembukaan Melaka, Pulau Pinang dan Singapura.
Pembukaan rumah api itu dicadangkan oleh syarikat insurans, pedagang dan pemilik kapal kerana laluan berkenaan berbahaya dari segi ancaman lanun dan sebagainya.
Rumah api di Pulau Batu Putih dibina pada tahun 1851 hasil usaha pedagang yang mengutip tol dan dana yang diperoleh daripada mereka yang menggunakan laluan itu.
Gabenor Colony of the Straits Settlement yang tinggal di Singapura dilantik sebagai pentadbir rumah api dan menguruskannya.
Pulau Batu Putih pada mulanya tidak menjadi pilihan untuk pembinaan rumah api. Dua pulau yang menjadi pilihan pada masa itu ialah Tree Island dan Barns Island yang menjadi milik Indonesia tetapi ia menghadapi masalah mendapatkan keizinan Sultan Riau.
Berikutan itu, Pulau Batu Putih menjadi perhatian dan ia menjadi kenyataan apabila Temenggung Johor, Temenggung Abdul Rahman telah memberikan keizinan kepada pihak terlibat untuk membina rumah api.
Mungkin Singapura juga alpa mengenai sejarah kerana satu laporan oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) pada 1990 menyebut, kajian mengenai status Pulau Batu Putih menunjukkan terdapat bukti kukuh bahawa ia milik mutlak Malaysia.
Ini kerana Kesultanan Johor (sekarang dalam Malaysia) mempunyai hak kedaulatan yang sah terhadap Pulau Batu Putih sejak kesultanan itu diasaskan pada tahun 1513.
Kesultanan Johor-Riau-Lingga itu ditubuhkan oleh Sultan Mahmud yang lari ke Johor selepas kehilangan Melaka kepada Portugis pada 1511.
Dalam tahun 1824 pula, Perjanjian Inggeris-Belanda yang dimeterai di Pulau Pangkor juga menyatakan bahawa Pulau Batu Putih berada di bawah kekuasaan British.
Disebabkan ia termasuk dalam wilayah asal empayar Johor, mengikut undang-undang antarabangsa ia milik Johor setelah peninggalan penjajahan itu.
Malah, sehingga kini tiada sebarang dokumen yang mengatakan Pulau Batu Putih diserahkan oleh Sultan Johor kepada British pada tahun 1918 selepas Johor menerima penasihat Inggeris atau selepas itu.
Singapura pula hanyalah mewarisi pentadbiran bersifat pemajakan daripada British terhadap Pulau Batu Putih untuk urusan keluar masuk kapal di Pelabuhan Singapura, bukannya mewarisi hak wilayah itu daripada British.
British sendiri meminta kebenaran daripada pihak berkuasa Johor untuk membina rumah api di Pulau Batu Putih yang kemudiannya dibuka dengan rasminya pada 1851.
Dengan ini, tiada sebarang keraguan bahawa Kesultanan Johor hanya mengizinkan Inggeris membina dan menguruskan rumah api di pulau itu dan tidak menyerahkan pulau itu kepada British.
Hari ini, pertindihan tuntutan masih berlaku, kes belum ke ICJ tetapi `negara pulau' itu telah mengawalnya seperti sudah menjadi miliknya.
Peristiwa 24 Disember menjadi bukti keangkuhan dan ia menjadi `kenangan hitam' 12 wartawan Malaysia dan kisah itu pasti kekal dalam lipatan sejarah kehidupan masing-masing - Utusan Malaysia
Sunday, December 29, 2002
Pengalaman diusir Polis Pengawal Pantai Singapura
Posted by 9T9 at 1:54 PM
Labels: Artikel, Batu Putih, Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment