PELBAGAI reaksi diberikan banyak pihak selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda, memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh (Pedra Branca), manakala Malaysia berhak terhadap Batuan Tengah (Middle Rocks). Kedudukan Tubir Selatan (South Ledge) pula bergantung kepada persempadanan perairan negara yang menguasainya. Ada pihak melihat keputusan ICJ lebih menyebelahi Singapura dan merugikan Malaysia. Bagaimanapun, ada yang berpendapat negara tidak tewas sepenuhnya. Bagi menilai keputusan di ICJ secara menyeluruh, wartawan Berita Minggu, Ziauddin Sharuddin dan Rohaniza Idris, mendapatkan penjelasan pakar sejarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Nik Anuar Nik Mahmud, yang menganggotai pasukan Malaysia di The Hague dan penganalisis politik, Dr Ahmad Nidzammuddin Sulaiman, juga dari UKM.
Adakah keputusan ICJ berhubung hak kedaulatan Pulau Batu Puteh yang memihak kepada Singapura sudah dijangka berdasarkan bukti dan penghujahan?
Dalam kes Pulau Batu Puteh, saya sudah menjangka kita akan menghadapi masalah untuk mempertahankannya sejak awal lagi.
Pertama sekali kerana ialah kelemahan kita dari segi pentadbiran dan surat Setiausaha Kerajaan Negeri pada 1953. Dari segi sejarah, pulau itu dan pulau lain sebenarnya adalah milik Johor. Mahkamah memperakui hak itu bersandarkan Perjanjian 1819, Mac 1824, Perjanjian Ogos 1824, Perjanjian 1927 dan sebagainya.
Bagaimanapun pada 1953, kerajaan Johor apabila ditanya oleh pihak Singapura mengenai status pulau itu menjawab bahawa pulau itu bukan milik negeri itu. Ini yang menyebabkan mahkamah menjadikan surat itu sebagai hujah untuk mengesahkan bahawa Johor sudah menyerahkan hak kedaulatan pulau itu kepada Singapura.
Adakah penghakiman ini adalah keputusan sama menang atau hanya menguntungkan sebelah pihak?
Keputusan itu adalah sesuatu yang tidak dijangka. Boleh saya katakan bahawa keputusan itu sebagai 'Blessing in Disguise' (perkara baik yang pada awalnya tidak diketahui). Kita kehilangan Pulau Batu Puteh, tetapi menang di Batuan Tengah.
Ia membolehkan nelayan Johor menangkap ikan di kawasan sekitar pulau itu yang sebelum ini adalah kawasan non grata (tidak diterima atau dialu-alukan) kepada nelayan kita.
Apakah faktor penting dalam penghakiman ICJ?
Mahkamah mengiktiraf Pulau Batu Puteh dan semua pulau di sini sebagai milik Johor. Dalam kes Pulau Batu Puteh, kita kalah kerana kecuaian kerajaan Johor dulu yang membiarkan Singapura mengurus rumah api dan pulau itu.
Kemudian pada 1953, tanpa berfikir panjang, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor mengesahkan kepada Singapura bahawa Pulau Batu Puteh bukan milik Johor. Pengesahan itu dibuat secara hitam putih.
Kecuaian ini menyebabkan kita kehilangan pulau itu. Pengajaran penting daripada penghakiman ini kepada setiap pihak ialah belajarlah daripada sejarah. Kita perlu berhati-hati apabila membuat keputusan agar generasi akan datang tidak menanggung kerugian penderitaan.
Siasat betul-betul asal-usul sesuatu perkara dan tidak membuat keputusan dalam keadaan tergesa-gesa.
Prof sebagai sebahagian anggota pasukan Malaysia. Bagaimana situasi di kalangan anggota pasukan selepas ICJ membuat keputusan?
Saya nampak semua anggota delegasi Malaysia gembira dengan keputusan itu. Sebab itu, saya katakan keputusan mahkamah adalah `Blessing in Disguise'.
Apakah kesan penghakiman kes ini terhadap pelbagai aspek membabitkan kedua-dua negara seperti persempadanan?
Seperti saya katakan, keputusan ini adalah kejayaan yang besar ertinya kepada kita. Singapura terpaksa mengakui bahawa kawasan yang dipertikaikan itu juga hak Malaysia. Nelayan kita bebas untuk menangkap ikan di kawasan itu. Dulu nelayan dihalang dan diugut, malah ditangkap.
Sekarang mahkamah membebaskan kepungan itu. Sudah tentu isu sempadan antara Malaysia dan Singapura berikutan keputusan itu akan dikaji oleh Jawatankuasa Teknikal kedua-dua kerajaan.
Adakah sebarang pulau atau wilayah lain yang berpotensi menimbulkan pertikaian hak kedaulatan antara Malaysia dan negara jiran pada masa depan?
Pertikaian di Kepulauan Spratly masih belum selesai. Saya percaya negara yang terbabit dalam pertikaian gugusan pulau ini akan menyelesaikannya secara damai melalui proses undang-undang dan tolak ansur demi kestabilan serantau dan kesejahteraan penduduk di rantau ini.
Apakah merujuk pertikaian membabitkan wilayah atau sempadan ke ICJ adalah suatu perkembangan yang positif atau sebaliknya dalam soal perhubungan antara Malaysia dan negara jiran?
Ini adalah suatu tindakan bijak oleh pemimpin kedua-dua negara untuk mengelakkan berlaku konfrontasi bersenjata yang boleh menjejaskan keselamatan serantau.
Akhir sekali, saya ingin mengucapkan syabas kepada pasukan Malaysia atas kejayaan di ICJ. Kita terlepas Pulau Batu Puteh, tetapi mendapat Batuan Tengah (Middle Rocks). Sesungguhnya keputusan itu suatu 'Blessing in Disguise'.
Apakah kesan penghakiman ICJ yang memberikan Pulau Batu Puteh kepada Singapura dan Batuan Tengah kepada Malaysia, manakala Tubir Selatan kepada negara yang memiliki perairannya kepada hubungan antara Malaysia dan Singapura?
Kesan hubungan antara dua negara adalah tidak ketara. Hubungan Malaysia dan Singapura selama ini pun selalu pasang surut. Ada masa panas dan ada masa sangat harmoni. Isu ini akan termasuk dalam pelbagai isu yang membuatkan hubungan pasang surut itu seperti isu bekalan air, Tabung Simpanan Pekerja (CPF), Jambatan Indah dan Tanjung Pagar.
Bagaimanapun, jika dilihat dari aspek persempadanan negara dan hak perairan, ia sudah tentu sedikit sebanyak kesan yang tidak memihak kepada Malaysia atau kita tidak begitu senang. Pulau Batu Puteh kini menjadi milik Singapura sepenuhnya.
Sempadan perairan keliling pulau itu juga menjadi milik republik itu. Jika membuat penambakan tanah, pulau sebesar dua padang bola boleh menjadi 20 padang bola dan sudah tentu boleh digunakan untuk pelbagai tujuan seperti pangkalan polis marin atau tentera dan sebagainya mengikut kehendak dan kepentingan mereka.
Benarkah keputusan itu adalah sama menang, sedangkan tumpuan utama dalam kes ini ialah Pulau Batu Puteh dan bukan dua pulau lain yang lebih kecil?
Pandangan sama menang dinyatakan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim. Saya fikir kenyataan diplomatik ini mudah difahami kerana beliau mengucapkannya sebagai Menteri Luar dan bukan sebagai Dr Rais Yatim.
Beliau memiliki tanggungjawab moral dan diplomatik serta mewakili rasmi negara ini vis a vis (berdepan secara langsung) rakan sejawat dari Singapura. Bagaimanapun, sudah tentu pandangan ini tidak dapat dikongsi sepenuhnya rakyat Malaysia. Sekurang-kurangnya dari sudut sentimennya.
Pada saya sama menang hanya berlaku jika Malaysia dan Singapura berebut pulau yang tidak menjadi milik mana-mana pihak. Apabila ada dua dan diagih, setiap pihak dapat satu, barulah dianggap sebagai sama menang, tetapi semua tahu bahawa pulau itu milik Malaysia (dulu Johor) dan semua dokumen lengkap, sejarah juga membuktikannya.
Malaysia tidak membuat tuntutan, tetapi berusaha mengekalkan haknya. Singapura kemudian membuat 'tuntutan’ hasil usaha, perbelanjaan, komitmen dan sebagainya yang diberikan terhadap pulau itu selama ini.
Tiba-tiba keputusan memihak kepada Singapura dengan kelebihan ia menguruskan dan mengendalikan pelbagai alat yang ada di pulau itu dan dibenarkan oleh Malaysia. Tuntutannya berjaya. Ini yang menyebabkan saya berpandangan ia bukan keadaan sama menang, tetapi terlepas sebuah pulau milik kita akibat kealpaan sendiri.
Kita lihat juga analogi ini, umpama seorang ibu bapa yang ada banyak anak. Seorang anaknya diberi kepada seorang lain untuk dipelihara walaupun dia menyatakan bukan untuk selama-lama. Apabila sudah sampai satu peringkat umur, penjaga itu membawa ke mahkamah menuntut hak penjagaan kekal terhadap anak itu.
Sudah tentu ia menjadi satu kes yang panas. Ibu bapa asal akan kecewa dan berusaha untuk mengekalkan haknya. Ia memberi semua dokumen bahawa itu adalah anaknya seperti surat kelahiran, laporan hospital, bukti DNA, saksi bidan yang menyambut anaknya dulu dan sebagainya.
Penjaga pula akan memberi bukti seperti dia yang membesarkan anak itu. Surat tadika dan sekolah, kos penjagaan, semua bil yang sudah dijelaskan bagi pemeliharaan, kesihatan dan sebagainya. Mahkamah sudah tentu membuat keputusan demi kepentingan kanak-kanak.
Apa lagi kalau dokumen bapa asal memberi hak penjagaan itu wujud dan dapat ditunjuk di mahkamah. Dalam kes seperti ini, saya berpendapat penjaga itu yang boleh menang. Apa lagi kalau ibu bapa asal ada ramai anak dan tidak terpelihara dengan baik.
Demikianlah kes Pulau Batu Puteh itu, kita ada 10 peta bersejarah pun, ia hanya menjelaskan keadaannya dulu. Sekarang tidak lagi. Ia dipelihara oleh siapa dan komitmen yang ditunjukkan itu nyata dan tidak dapat dipersoalkan.
Malaysia sebagai sebuah negara maritim mempunyai beberapa isu pertindihan tuntutan dengan negara jiran seperti kepulauan Spratly di Laut China Selatan dan perairan Ambalat di Laut Sulawesi. Bagaimana Dr melihat setiap kes tuntutan berkenaan?
Persaingan merebut sumber ekonomi, terutama minyak dan menguasai jalan laut serta ketenteraan.
Dalam kes Spratly, Malaysia memang membuat tuntutan. Saya tidak fikir (pendapat peribadi) kita pernah mendudukinya atau ada kampung lama milik rakyat Malaysia di situ. Cuma kita berasakan kepulauan itu berada dalam zon kita dan berhak membuat tuntutan.
Perairan Ambalat memang seperti berada antara Malaysia dan Indonesia. Ia juga perlu dibawa ke pengadilan. Sudah tentu semua pulau ini penting bagi kita, sekurang-kurangnya dari sudut kedaulatan, maruah dan sempadan kita. Selain itu, dari sudut keluasan sempadan, sumber alam, perikanan dan sebagainya.
Ia menyulitkan apabila kita berdepan jiran tetangga, bukan pihak lain yang asing. Apabila ia juga menjadi tuntutan dengan jiran ini, kita terpaksa menghadapinya. Seharusnya Batu Puteh menjadi pengajaran untuk tuntutan ini. Tidak semestinya bertindak agresif seperti negara lain.
Apakah keputusan penghakiman kes ini akan mendorong Malaysia atau negara lain terus menggunakan pendekatan undang-undang untuk menyelesaikan isu persempadanan?
Malaysia bukan negara yang mengamalkan dasar konfrontasi atau kekerasan. Sejak zaman konfrontasi dengan Indonesia dulu, masalah pengganas komunis di sempadan Thailand, isu Sabah dengan Filipina, Pulau Batu Puteh dan lain-lain, semuanya dilalui dengan cara diplomatik dan perundangan.
Saya percaya Malaysia akan menggunakan cara ini seterusnya kelak. Berdasarkan pengalaman kes Batu Puteh dan Sipadan-Ligitan, saya percaya negara jiran juga akan menggunakan kaedah ini. Cuma cara mendekatinya berbeza.
Ada negara yang bertindak agresif dulu, meletakkan tentera, menghalau rakyat lain mendekatinya dan kemudian baru bersetuju pergi ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Pendekatan Machiavellian seperti ini nampaknya membuahkan hasil kepadanya dengan penggunaan tenteranya.
Apakah yang mungkin berlaku jika negara yang terbabit dalam tuntutan bertindih tidak memilih pergi ke ICJ?
Jika sesebuah negara kuat dari segi ketenteraan dan mendapat sokongan kuasa besar, negara begini akan mempunyai kelebihan. Negara ini akan mengekalkan dan sanggup bertindak secara ketenteraan sekali gus merugikan negara yang lebih lemah dan enggan bertindak cara ini.
Negara lain akan terus mengecam, menggesa dan mendesak, tetapi sudah tentu ia tidak menyelesaikan masalah. Banyak negara besar yang menguasai pulau kecil menggunakan kekuatan tentera untuk mengekalkan pulau seperti Pulau Falklands.
Di kawasan tuntutan bertindih yang berpotensi memiliki banyak sumber minyak, bolehkah negara yang bersaing bekerjasama?
Idealnya begitulah. Berkongsi usaha dan hasil, tetapi kita tidak hidup dalam dunia yang ideal seperti itu. Apabila berada dalam kedudukan bertindih dan mengetahui sumbernya lumayan, sudah tentu ia direbut oleh pihak yang mendekatinya.
Cuma kerjasama yang diharapkan ialah untuk bersetuju menyelesaikan secara rundingan atau membawa ke pengadilan antarabangsa. Kalau dapat berunding secara aman dan mengambil keputusan secara sama menang, ini adalah lebih baik berbanding ke mahkamah. Belanja pun banyak dapat dijimatkan dan hubungan dua hala dengan negara berkenaan juga terus harmoni - Berita Harian
Sunday, May 25, 2008
Soal Jawab: Kita terlepas Batu Puteh kerana cuai
Posted by 9T9 at 10:04 AM
Labels: Berita Harian, Post ICJ Ruling, Ulasan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment