Oleh Magendran Rajagopal dan Srihanasham Noordin
KUALA LUMPUR: Semua agensi kerajaan perlu menjadikan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memberi Singapura hak kedaulatan ke atas Batu Puteh minggu lalu sebagai pengajaran dan memastikan Malaysia tidak lagi kehilangan mana-mana kawasan miliknya pada masa depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pihak bertanggungjawab harus mengambil iktibar daripada kehilangan Batu Puteh dan bertindak proaktif bagi memastikan kedaulatan negara tidak lagi terhakis dengan apa cara sekalipun pada masa depan.
"Apa yang berlaku di Batu Puteh adalah kerana kealpaan dan apa yang tidak kita lakukan bagi mempertahankannya selama ini.
"Kini menjadi tanggungjawab semua agensi kerajaan memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang dan kedaulatan kita tidak dicabar," katanya dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan kem komandan Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), di sini semalam.
Penghakiman ICJ Jumaat lalu memberikan Singapura hak kedaulatan terhadap Batu Puteh dan Malaysia sebagai pemilik Batuan Tengah manakala kedudukan terumbu karang ketiga yang dikenali Tubir Selatan tidak ditentukan oleh ICJ.
Sehubungan itu, orang ramai yang menyuarakan kebimbangan akan ada pulau lain yang selama ini dianggap milik negara akan menerima nasib sama seperti Batu Puteh, umpamanya Pulau Pisang dan Pulau Merambong di Johor.
Penyelidik kanan Institut Maritim Malaysia (MIMA), Kapten Rakish Suppiah, berkata negara mungkin kehilangan kira-kira 100 pulau, batuan serta struktur-struktur maritim yang lain jika tiada tindakan diambil untuk mengesahkan kedaulatannya.
"Kita perlu sentiasa memantau dan melakukan rondaan di kawasan ini bagi memastikan tiada negara lain cuba mendirikan apa-apa struktur atau menjalankan sebarang kegiatan dan menjadikannya asas untuk menuntut hak di masa depan," katanya ketika dihubungi semalam.
Setakat ini, negara mempunyai lima pulau dengan keluasan melebihi 200 kilometer (km) persegi, 68 pulau di bawah 200 km persegi yang mempunyai penempatan manusia, empat pulau yang ditakrif taman laut atau kawasan perlindungan marin.
Selain itu, ratusan lagi terumbu karang atau pulau kecil yang tidak berpenghuni belum ditentukan milik siapa kerana sempadan perairan tidak jelas atau terletak dalam kawasan perairan antarabangsa - Berita Harian
Tuesday, May 27, 2008
Ambil iktibar keputusan kes Batu Puteh: TPM
Posted by 9T9 at 11:49 AM
Labels: Batu Putih, Berita Harian, Post ICJ Ruling, Ulasan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment