Monday, June 23, 2003

Mengatasi cabaran masa depan menjadi agenda UMNO

Oleh Ahmad Atory Hussain

Meneliti ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan timbalannya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini menunjukkan bahawa cabaran yang akan dihadapi UMNO dalam dekad-dekad akan datang adalah jauh lebih besar iaitu antaranya memperkasakan dan mengekalkan perpaduan dan kejayaan pembangunan yang telah sedia itu serta mengekalkan kebebasan dan kemerdekaan negara daripada menjadi kuda tunggangan kuasa-kuasa besar terutama Amerika Syarikat (AS).

Cabaran-cabaran itulah yang perlu dijadikan agenda utama kepimpinan selepas era Dr. Mahathir.

Seperti yang diketahui, UMNO di bawah Dr. Mahathir berjaya menjadikan Malaysia sebagai negara yang maju serta meletakkan negara ini di persada antarabangsa yang dihormati.

Sesungguhnya untuk membilang satu persatu usaha UMNO dan kepimpinan Dr. Mahathir agak terbatas di sini, memadai dilihat dari tiga aspek penting iaitu politik, ekonomi dan sosial sahaja. Dari segi politik, UMNO di bawah Dr. Mahathir telah berjaya mengukuhkan perpaduan antara parti-parti Barisan Nasional (BN) seperti yang disaksikan kini, telah berjaya memupuk perasaan muhibah antara rakyat Semenanjung dengan Sarawak dan Sabah.

Selain itu, UMNO telah berjaya menangkupkan semula perpecahan UMNO yang pernah tercalar pada tahun-tahun 1981, 1987 dan 1998 yang lalu.

Pencapaian dari segi ekonomi adalah yang paling hebat sekali di mana UMNO telah berjaya mengubah landskap ekonomi orang Melayu dan bumiputera kepada yang lebih besar dan kompleks serta luas skopnya. Daripada ekonomi pertanian kepada perindustrian berat, penggunaan teknologi dan teknologi maklumat dan komunikasi, dan pelbagai bentuk ekonomi lagi.

Begitu juga dari segi sosial, UMNO di bawah Dr. Mahathir telah berjaya memartabatkan kedudukan masyarakat Melayu yang berlandaskan Malaysia Boleh dan Melayu Boleh, di mana slogan-slogan menaikkan motivasi dan semangat orang Melayu untuk pembangunan disebarkan kepada orang Melayu sehingga kedudukan orang Melayu dan bumiputera kini bertambah baik dari semua aspek kehidupan. Rasa rendah diri orang Melayu telah dapat dipulihkan.

Juga, UMNO di bawah Dr. Mahathir telah berjaya menghapuskan sebahagian daripada fahaman feudal, kuno dan kolot sesetengah orang Melayu dalam mengharungi kehidupan serta menghapuskan fahaman songsang dan fanatik agama.

Memartabatkan

UMNO telah berjaya memartabatkan kedudukan kaum wanita Melayu setanding dengan kaum lelaki yang dirasakan belum ada sebuah negara Islam pun selain Malaysia berjaya membuat perkara ini.

Pendek kata, UMNO di bawah Dr. Mahathir berjaya membina negara ini dengan begitu lengkap dari segi politik, ekonomi dan sosial. Kepimpinan Dr. Mahathir sangat dikagumi oleh pihak dalam dan luar negara kerana kejayaan beliau meletakkan negara ini sedemikian rupa.

Maka itu, Dr. Mahathir akan diingati sebagai pemimpin serba boleh atau the most versatile talent, kerana kebolehannya di dalam banyak aspek iaitu politik, ekonomi, sosial, agama, sains dan teknologi serta menukar atau transform sikap dan minda rakyat daripada yang negatif kepada positif. Bentuk kepimpinan seperti ini jarang-jarang terdapat, di mana beliau dianggap mempunyai kepimpinan yang bercirikan karismatik, transformasional, instrumental dan transaksional.

Namun begitu, bukanlah pula boleh dianggap semuanya telah berjaya. Banyak lagi masalah dan isu yang belum dapat sepenuhnya ditangani oleh UMNO semasa era Dr. Mahathir. Tetapi, perkara yang belum dapat diatasi itu bukanlah perkara asas atau pokok.

Ia lebih kepada masalah-masalah, kesan sampingan dan dimensi baru hasil dari dasar-dasar yang diasaskan oleh Dr. Mahathir. Tentunya kesan-kesan dan masalah itu akan cuba diatasi oleh UMNO dan penggantinya selepas Oktober 2003 nanti.

Kita pun tidak dapat menyatakan dengan jelas apakah bentuk cabaran yang akan dihadapi oleh UMNO dan negara selepas era Dr. Mahathir kerana kepimpinan Abdullah belum lagi bermula. Cuma apa yang dapat diperkatakan ialah cabaran UMNO selepas Dr. Mahathir amat mencabar dan kadang-kadang sukar diramalkan terutama yang berkait dengan politik yang merupakan seni serba mungkin atau the art of possible dan juga hubungan antarabangsa di mana tata-dunia kini beralih kepada yang bersifat unipolar yang mana AS menjadi negara dominan, manakala negara-negara lain menjadi negara yang seolah-olah tunduk menjadi kuda tunggangannya.

Cabaran UMNO selepas Dr. Mahathir bukan membuat pembangunan, tetapi mengekalkan pembangunan itu serta memperkukuhkan lagi di mana-mana yang tidak kukuh. Begitu juga cabaran bagi merealisasikan Wawasan 2020 masih menjadi agenda utama kepada kepimpinan UMNO selepas Dr. Mahathir.

Cabaran

Walau bagaimanapun, tentunya kita boleh membuat perkiraan dan jangkaan bahawa apa jua cabaran dalam negara akan dipengaruhi oleh peristiwa yang berlaku di luar negara. Ini disebabkan Malaysia seperti yang diasaskan UMNO di bawah Dr. Mahathir adalah merupakan rakan dagangan dengan banyak negara termasuk kuasa-kuasa besar. Ekonomi Malaysia banyak bergantung kepada kesan dari ekonomi dunia.

Begitu juga sebarang tindakan politik dalam negara bergantung kepada pengaruh luar negara. Justeru, dalam mengenal pasti cabaran-cabaran UMNO bagi menghadapi era akan datang ini, bolehlah kita bahagikan kepada beberapa cabaran utama iaitu politik dalam negara, politik luar negara, ekonomi dalam negara, ekonomi luar negara, sosial dalam negara dan agama (dalam dan luar negara).

Cabaran politik dalam negara dianggap paksi kepada semua cabaran yang disebut di atas. Jika tidak ditangani dengan baik ia akan memberi kesan kepada aspek-aspek lain dan boleh menggagalkan UMNO sendiri untuk menyelesaikan aspek-aspek pembangunan ekonomi dan sosial. Masalah perpecahan politik dalam UMNO belum begitu sembuh sebenarnya. UMNO berdepan dengan masalah kepimpinan di peringkat timbalan dan naib-naib presiden yang belum tentu dapat diselesaikan dengan baik .

Mungkin semasa Dr. Mahathir belum bersara, masalah ini tidak ketara. Tertakluk kepada perubahan sikap dan pemimpin UMNO sendiri. Jika ahli-ahli UMNO mematuhi dengan baik nasihat Dr. Mahathir, maka siapa juga bakal Timbalan Perdana Menteri yang dilantik oleh penggantinya, maka ahli-ahli UMNO akan akur. Keakuran ahli-ahli itu bergantung juga kepada siapa sebenarnya yang akan dilantik. Jika yang dilantik itu daripada salah seorang naib-naib presiden UMNO, maka kita meramalkan tidak ada tentangan dari ahli UMNO. Sebaliknya, jika ditakdirkan yang dilantik itu bukan daripada naib-naib presiden, maka itu bergantung kepada sejauh mana kesetiaan dan janji ahli-ahli UMNO dengan Dr. Mahathir semasa beliau belum bersara.

Jika tidak sebagaimana yang dikata dan dikota, maka UMNO sekali lagi akan berdepan dengan kemelut politik dalam parti itu. Begitu jugalah dengan politik. Ini disebabkan UMNO pada lazimnya mendasari amalan politik naungan. Selagi amalan itu dijadikan budaya, kita tidak dapat elakkan masalah berpuak-puak seperti ini. Ini satu cabaran bagi UMNO.

Dari segi perpuakan dalam UMNO, cabaran kepimpinan akan datang masih lagi teruji. Jika peristiwa 1987 dan 1999 dilupakan, maka UMNO akan berjaya mengatasi masalah-masalah tersebut. Jika tidak, pastinya kemelut akan berlaku. Kepimpinan baru UMNO pasti akan diuji.

UMNO juga berdepan dengan beberapa cabaran politik yang lain seperti apakah perpaduan parti UMNO dapat dimantapkan terutama di kalangan ahli-ahli parti itu di kawasan pembangkang? Cabaran yang lebih hebat ialah apakah UMNO akan berjaya menawan semula negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, dan beberapa kawasan DUN serta Parlimen di Kedah, Perak dan Pahang dan Selangor Jika budaya politik UMNO di kawasan-kawasan

UMNO yang dimenangi oleh parti pembangkang itu dapat diselesaikan, maka berkemungkinan besar kawasan-kawasan itu akan diambil semula ke tangan UMNO dan BN.

Begitu juga dari segi cabaran UMNO terhadap kerjasama parti itu dengan parti-parti komponen Barisan Nasional terutama mengenai pembahagian kerusi-kerusi baru DUN dan Parlimen. Dijangkakan UMNO akan mengalami kekalutan jika tidak ditangani dengan sebaik-baiknya.

Cabaran ini sangat menghantui UMNO dan parti-parti BN lain, kerana masing-masing memasang angan-angan untuk menjadi calon untuk partinya. Kebijaksanaan UMNO dan kepimpinannya amat diperlukan. Lazimnya masalah ini dapat diselesaikan.

Perpaduan

Cabaran seterusnya ialah sejauhmanakah UMNO dapat mengekalkan perpaduan antara kaum seperti yang telah dicapai selama ini, juga mengekalkan integrasi nasional dan hubungan antara wilayah. Sehubungan dengan itu, UMNO juga berdepan dengan masalah hubungan dua hala dengan Singapura terutama mengenai isu-isu air dan sempadan seperti isu Pulau Batu Putih yang belum selesai.

Dalam bidang politik antarabangsa, cabaran UMNO juga sangat hebat. UMNO dan kepimpinan akan berdepan dengan tatadunia yang tidak menentu seperti keganasan, kerenah negara-negara Eropah seperti yang dihuraikan dengan panjang lebar oleh Dr. Mahathir dalam ucapan pembukaan beliau dalam Perhimpunan Agung UMNO baru lalu, di mana ancaman-ancaman seperti negara-negara Amerika, Britain dan Australia yang telah membuat onar di Afghanistan dan Iraq dan negara lain demi kepentingan mereka boleh menjalar hingga ke Malaysia jika tidak ditangani dengan strategik di pihak kita.

Cabaran menghadapi keganasan antarabangsa juga merupakan dimensi baru dalam hubungan antara bangsa. Ini juga perlu ditangani dengan bijaksana oleh UMNO dan kepimpinannya. Untuk itu, Malaysia perlu dikeluarkan daripada tohmahan antarabangsa sebagai negara sasaran pengganas dan keganasan. Begitu juga cabaran negara menghadapi kesan globalisasi tetap merupakan agenda utama di mana Pertubuhan-Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Malaysia sebagai sebuah negara dagangan yang besar berdepan dengan kerenah negara-negara Eropah dan Amerika tersebut. Sehubungan dengan itu dasar ekonomi antarabangsa Malaysia juga perlu ditangani dengan berhati-hati terutama yang berkait dengan penetapan mata wang negara dengan dolar Amerika.

Cabaran di bidang ekonomi tidak kurang pentingnya bagi UMNO dan kepimpinannya untuk ditangani. Walaupun ekonomi negara menikmati pertumbuhan yang memberangsangkan dan pernah mencecah 10 peratus pertumbuhan ekonominya pada tahun 1990 dahulu.

Apakah ini boleh diulangi semula pada dekad-dekad akan datang? Namun begitu seperti yang diketahui umum, pencapaian khusus kaum bumiputera masih di tahap 19-20 peratus sahaja berbanding pencapaian kaum bukan bumiputera. Ini merupakan satu lagi cabaran kepada UMNO. Bolehkah orang Melayu menambah pencapaian ekonomi mereka sekurang-kurangnya 10 peratus lagi selepas Dr. Mahathir bersara nanti?

Dari segi mewujudkan masyarakat usahawan bumiputera, masih lagi belum tercapai sebagaimana yang dikehendaki. Mungkin dari segi pelajaran dan pendidikan, pencapaian bumiputera boleh dibanggakan. Tetapi dalam sektor pendidikan tertentu terutama yang berkaitan dengan bidang-bidang profesional, kaum bumiputera belum mencapai selayaknya berbanding kaum bukan bumiputera.

Dari segi keupayaan penguasaan bahasa Inggeris, juga merupakan cabaran kepada UMNO. Pengajaran bahasa Inggeris dalam subjek Matematik dan Sains merupakan dasar yang paling kontroversial dan terakhir bagi Dr. Mahathir. Apakah dasar ini berjaya dilaksanakan sepenuhnya semasa UMNO era kepimpinan Pak Lah, masih belum dapat dijangkakan.

Maka itu, dijangkakan pendidikan akan terus menjadi cabaran kepada UMNO akan datang. Sejauh manakah sistem pendidikan negara akan dapat dimantapkan untuk mencapai sasarannya seperti yang ditetapkan.

- PROFESOR MADYA DR. AHMAD ATORY HUSSAIN, Sekolah Pembangunan Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM)

No comments: