Daripada: Noraini Abd. Razak (Belanda)
THE HAGUE, Belanda 23 Nov. – Singapura yang tidak yakin bahawa Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge adalah miliknya terpaksa beralih dari satu alasan ke satu alasan untuk mewajarkan tuntutannya ke atas ketiga-tiga pulau itu.
Barisan peguam antarabangsa yang mewakili Malaysia dalam kes tersebut memberitahu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini, ketidaktentuan pasukan Singapura itu menjadikan kes yang dibentangkannya ‘lemah dan berbelit-belit‘ sehingga kadangkala menimbulkan kekeliruan di pihak republik itu sendiri.
Mereka berhujah, di peringkat awal kes, Singapura menyandarkan tuntutan mereka kepada dakwaan bahawa British menduduki Pulau Batu Putih pada tahun 1847 secara sah (lawful taking of possession) kerana pulau itu terra nullius (tiada pemilik).
Kemudian, republik itu mengheret mahkamah untuk mendengar tentang British mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih semata-mata kerana kerja-kerja yang dijalankan untuk membina Rumah Api Horsburgh yang berlangsung antara tahun 1847 dan 1851.
Peguam-peguam Malaysia berhujah lagi, oleh kerana dua alasan berkenaan masih melemahkan kes Singapura, republik itu cuba menarik perhatian mahkamah mengenai tindak-tanduknya di pulau itu selepas tahun 1851 hingga sekarang untuk membuktikan bahawa ia mempunyai kedaulatan di Pulau Batu Putih.
“Kebenaran Johor (Sultan dan Temenggung) untuk (British) membina rumah api tersebut menjadikan kes Singapura yang sememangnya lemah dan berbelit-belit runtuh dan tidak boleh dipulihkan, baik bagi tujuan menduduki secara sah disebabkan pulau itu terra nullius mahupun kerana tindak-tanduk republik itu di Pulau Batu Putih.
“Kesemuanya itu langsung tidak mempunyai nilai untuk mengasaskan kedaulatan di wilayah yang berkenaan,” hujah Profesor Marcelo G. Kohen di hadapan barisan 16 hakim yang diketuai oleh Naib Presiden ICJ, Hakim Awn-Shawkat Al-Khasawneh.
Kohen berhujah, persoalan yang timbul dalam kes tuntutan tersebut amat mudah malah bukti-bukti yang menunjukkan Malaysia mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih juga jelas, tetapi Singapura bekerja keras untuk menjadikannya rumit.
Katanya, kes tersebut adalah mengenai hasrat British untuk membina sebuah rumah api di Pulau Batu Putih sebagai penghormatan kepada James Horsburgh - pihak berkuasa di Johor memberi kebenaran membina rumah api - dan Syarikat Hindia Timur membina rumah api itu.
“Bukti-bukti amat jelas. Malah ia terlalu banyak, surat-surat Gabenor Butterworth sebelum dan selepas kebenaran dikeluarkan oleh Sultan dan Temenggung Johor; laporan penuh Butterworth bersekali dengan surat pemerintah Johor yang menunjukkan bahawa pemilihan lokasi asal iaitu Peak Rock juga terpakai kepada Pulau Batu Putih.
“Kesemua ini tidak dicabar oleh Singapura,” hujah Kohen lagi.
Profesor Sir Elihu Lauterpacht juga menarik perhatian mahkamah mengenai dakwaan Singapura bahawa Pulau Batu Putih adalah terra nullius yang dirumuskannya sebagai mempunyai kecacatan.
Malaysia, hujah beliau, telah membuktikan bahawa Pulau Batu Putih bukan terra nullius sebaliknya ia adalah milik Johor, justeru adalah amat tidak berasas kepada British ketika itu atau pada bila-bila masa mendapat hak milik ke atas sebuah pulau yang hanya boleh diperoleh menerusi keizinan pemiliknya.
“Dan keizinan yang diberi terhad kepada membina dan mengendalikan sebuah rumah api,” hujah Lauterpacht.
Beliau turut menyanggah kritikan Singapura kononnya Malaysia membisu terhadap a titre de souverain (tindak-tanduk British yang menunjukkan ia mempunyai kedaulatan) di Pulau Batu Putih.
Hujah beliau, tindak-tanduk British dari tahun 1847 hingga 1851 tidak boleh diklasifikasikan sebagai mempunyai kedaulatan di pulau tersebut kerana ia hanyalah mengenai pembinaan rumah api dan tidak lebih daripada itu.
Malah, Lauterpacht berhujah, fakta bahawa pembinaan rumah api itu dibiayai oleh kumpulan saudagar seperti yang diperjelaskan dalam Laporan Thomson sangat melemahkan dakwaan Singapura bahawa ‘tanpa keputusan kerajaan British untuk membina dan membiayai pembinaan rumah api di Pedra Branca, rumah api itu tidak akan wujud’.
“Fakta sebenar ialah kerajaan British tidak membiayai pembinaan rumah api itu atau mengambil inisiatif untuk berbuat demikian.
“Malah Akta 1852 jelas menggambarkan peranan kerajaan British yang amat terhad iaitu hanya kepada membina rumah api,” hujah beliau.
Sementara itu, Profesor Nicout Schrijver berhujah mengenai kelewatan Singapura memasukkan hujahnya mengenai terra nullius iaitu hanya dalam dokumen balasannya.
Katanya, hujah-hujah bertulis Singapura dalam memorialnya tertumpu kepada British menduduki Pulau Batu Putih pada pertengahan abad ke-19 secara sah.
Bagaimanapun, hujah beliau, mahkamah pasti sedar semasa menyampaikan hujah-hujah lisannya, Singapura telah menyimpang daripada asas pertamanya dan berhujah pula mengenai teori terra nullius tetapi dalam keadaan ragu-ragu.
Schrijver berhujah, berbanding dakwaan Peguam Singapura, Alain Pellet mengenai teori terra nulliusnya, ejen republik itu, Tommy Koh pula mendakwa: “... jika mahkamah mendapati hak milik Pedra Branca (Pulau Batu Putih) sebagai tidak dapat dipastikan (bagi tahun 1847 hingga 1851), Singapura jelas telah menunjukkan kedaulatannya’'.
Beliau secara sinikal berhujah, ketidakyakinan Singapura terhadap kesemua asas-asas dakwaannya bahawa Pulau Batu Putih miliknya menyebabkan mereka terpaksa ‘menggunakan dua ekor kuda dalam satu perlumbaan’.
Katanya, tindakan Singapura menggunakan terra nullius sebagai asas tuntutannya langsung tidak boleh dipertahankan.
Pada bila-bila masa, hujah Schrijver, Pulau Batu Putih bukan terra nullius dengan pulau tersebut dikenali menerusi namanya dan tertera dalam peta-peta awal, juga sebagai penanda laut dan titik bahaya.
Malah, penduduk tempatan (yang datang daripada kesultanan Johor), katanya, menggunakan pulau tersebut sejak seawal tahun 1552 seperti yang terkandung dalam buku-buku Portugis - Utusan Malaysia
Saturday, November 24, 2007
Singapura tidak yakin miliki pulau
Posted by 9T9 at 4:04 PM
Labels: Hujah, ICJ, Media, Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment