Saturday, November 24, 2007

Najib solat hajat Bt. Putih

JOHOR BAHRU 23 Nov. – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengadakan lawatan kerja sehari ke Johor Bahru hari ini menyertai ribuan warga bandar raya itu menunaikan solat hajat.

Solat hajat itu adalah bagi memohon agar keputusan perbicaraan tuntutan Pulau Batu Putih yang sedang berlangsung di Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague, Belanda memihak kepada negara ini.

Majlis solat hajat itu diketuai Imam Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Hassan Majid diadakan sejurus selepas menunaikan solat Jumaat di masjid itu.

Turut sama, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, barisan Exco kerajaan negeri serta Mufti Johor, Datuk Noh Gadut yang kemudian membacakan doa selepas solat itu.

Perbicaraan tuntutan Pulau Batu Putih antara Malaysia dengan Singapura kini memasuki pusingan kedua hujah lisan dengan Malaysia diwakili Duta Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad, Duta Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Dalam perbicaraan berkenaan, Malaysia berpegang kepada pendirian bahawa pulau tersebut adalah miliknya berdasarkan kepada hujah-hujah bahawa kesemua bentuk maritim itu telah menjadi sebahagian daripada empayar Kesultanan Johor sejak 1511 - Utusan Malaysia

No comments: