KUALA LUMPUR 23 Dis. - Pergerakan Pemuda UMNO akan turut mengemukakan memorandum bantahan kepada Kerajaan Singapura ekoran tindakan republik itu meneruskan kerja-kerja pembinaan di Pulau Batu Putih yang merupakan wilayah yang dipertikaikan.
Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda UMNO, Dr. Shamsul Anwar Sulaiman berkata, beliau sendiri akan mengetuai rombongan ke Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Singapura pada pukul 10 pagi esok bagi menyerahkan memorandum tersebut.
Ia katanya, antara lain mendesak republik tersebut agar menghormati negara jiran dan jangan sekali-kali menduduki Pulau Batu Putih sehingga kes perebutan hak ke atas pulau itu diselesaikan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Shamsul Anwar yang dihubungi hari ini berkata, beliau yakin ramai lagi aktivis akan turut sama mengiringinya sebagai tanda sokongan mereka.
Memorandum itu, katanya, membantah tindakan Singapura meneruskan kerja-kerja pembinaan di Pulau Batu Putih termasuk membina sebuah bangunan dua tingkat dan tempat pendaratan helikopter walaupun hak terhadap pulau itu yang menjadi tuntutan bersama dengan Malaysia masih dipertikaikan.
Ketika isu tuntutan itu akan dibawa ke ICJ, Singapura bertindak seolah-olah pulau itu telah menjadi miliknya termasuk menempatkan unit peronda marin secara tetap.
Selain rumah api, terdapat kuarters dua tingkat yang asalnya hanya setingkat beberapa tahun lalu untuk pekerja dari republik itu dan menara radar yang dipercayai untuk mengawasi kapal.
Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar dalam kenyataannya kepada Utusan Malaysia semalam berkata Malaysia kan menghantar bantahan kepada Singapura kerana meneruskan pembinaan di pulau itu.
Katanya, bantahan itu penting bagi menunjukkan pendirian Malaysia yang tidak bersetuju dengan tindakan Singapura seolah-olah pulau tersebut menjadi milik mereka sedangkan kes tersebut masih dalam proses untuk dibawa ke ICJ.
Sementara itu, Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dalam satu kenyataannya hari ini menyifatkan tindakan Singapura menduduki Pulau Batu Putih seolah-olah ia milik mereka sebagai satu keangkuhan dan niat jahat yang tidak boleh diterima oleh rakyat Malaysia.
Setiausaha Agung Kebangsaannya, Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, Singapura seharusnya menghormati Malaysia kerana telah memberi peluang kepadanya untuk mengendalikan rumah api bukan bertujuan merampas pulau itu dengan membina bangunan sesuka hati tanpa mempedulikan negara jiran.
``Tindakan angkuh Singapura untuk mengambil pulau itu seperti hak mereka dengan membina bangunan bagaikan satu cabaran kepada negara kita,'' tegas beliau.
Dengan itu, tambah beliau, Kimma membantah sekeras-kerasnya pembinaan bangunan oleh kerajaan Singapura di pulau berkenaan - Utusan Malaysia
Tuesday, November 27, 2007
Pemuda UMNO akan kemuka memorandum
Posted by 9T9 at 11:27 PM
Labels: Bantahan, Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment