Oleh: Rohani Mohd. Ibrahim
KUALA LUMPUR 24 Dis. - Pemuda Barisan Nasional (BN) hari ini menghantar nota bantahan kepada Singapura mendesak republik itu berundur dari Pulau Batu Putih dengan serta-merta sehingga Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan mengenai pemilikan pulau berkenaan.
Memorandum itu juga mendesak republik berkenaan menghentikan aktiviti pembinaan di pulau berkenaan.
Ia dihantar ke pejabat Pesuruhjaya Tinggi Singapura di sini oleh Timbalan Pengerusi Pemuda BN yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir, Setiausaha Agung Pemuda MCA, Liow Tiong Lai dan Exco Pemuda Gerakan, Lau Yeng Peng.
Turut mengiringi sayap kanan BN itu ialah Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda UMNO, Dr. Shamsul Anwar Sulaiman dan Exco Pemuda UMNO, Datuk Abdul Rauf Yusoh.
Setiausaha Satu pejabat itu Marc Neo menerima memorandum tersebut.
Shamsul Anwar berkata, tindakan Singapura melakukan kerja pembinaan di Pulau Batu Putih dilihat sebagai mengenepikan semangat ASEAN dan hubungan dua hala di antara Malaysia dan republik tersebut.
``Oleh itu Pemuda BN mendesak supaya Singapura menetapkan tarikh untuk membawa isu tuntutan Pulau Batu Putih ke ICJ,'' katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar pejabat pesuruhjaya berkenaan.
Ditanya mengenai pertemuan singkat mereka dengan pegawai di pesuruhjaya terbabit, Shamsul Anwar berkata, mereka diberi jaminan yang Singapura akan menetapkan tarikh berkenaan tidak lama lagi.
Abdul Aziz pula berkata, tindakan Singapura membina bangunan di Pulau Batu Putih dan meletakkan peronda marin merupakan satu penghinaan kepada rakyat Malaysia.
``Sebagai pemimpin muda yang merasakan bahawa negara ini telah dimerdekakan oleh orang tua kita, tanggungjawab kita sebagai anak muda adalah untuk memastikan bahawa setiap tanah milik kita tidak boleh diambil oleh sesiapa sahaja.
``Apa saja tindakan mana-mana pihak untuk mengganggu-gugat kedaulatan kita adalah merupakan satu tindakan yang melampau dan kita akan menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan yang sepatutnya,'' katanya.
Singapura menerima kecaman daripada pelbagai pihak apabila Mingguan Malaysia mendedahkan tindakan republik tersebut mendirikan bangunan dua tingkat dan tapak pendaratan helikopter di pulau berkenaan.
Tindakan tersebut dilihat sebagai amat kontroversi kerana status pemilikan Pulau Batu Putih masih belum diputuskan secara rasmi.
Tuesday, November 27, 2007
Batu Putih: Pemuda BN hantar nota bantahan
Posted by 9T9 at 11:54 PM
Labels: Bantahan, Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment