Malaysia, Singapura sepakat ketepikan pendekatan timbang tara
SINGAPURA 12 Jan. - Malaysia dan Singapura hari ini bersetuju untuk kembali ke meja rundingan dan mengetepikan sementara pendekatan timbang tara sebagai penyelesaian kepada isu-isu dua hala yang tertangguh di antara kedua-dua negara.
Persetujuan itu dicapai dalam pertemuan lebih sejam di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri Singapura, Goh Chok Tong di Istana di sini.
Kedua-dua pemimpin tersebut sependapat hanya menerusi dialog dan perbincangan, segala isu tertangguh yang selama ini menjadi punca kekeruhan hubungan baik dua negara berjiran dapat diselesaikan.
Selain isu air yang berada dalam senarai teratas, isu lain yang belum selesai ialah pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor, pembangunan tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) serta status Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Tanjung Pagar, Singapura.
Isu lain yang turut belum selesai ialah penggunaan ruang udara Malaysia oleh pesawat tentera udara republik itu dan pengeluaran caruman daripada Kumpulan Wang Simpanan Pusat Singapura oleh pekerja Malaysia.
Abdullah berkata, demi masa depan hubungan baik di antara kedua-dua negara serta untuk kepentingan ASEAN, Malaysia dan Singapura tidak boleh lagi membiarkan isu-isu tertangguh tanpa penyelesaian.
``Kita mahu masalah ini diselesaikan secepat mungkin dan kita akan bincangkan secara terperinci tidak lama lagi.
``Sudah sampai masanya bagi kita bergerak ke hadapan dan mencari strategi baru di luar daripada `kotak' (amalan sedia ada) untuk mencari penyelesaian,'' katanya.
Dalam hal ini, Abdullah membayangkan kedua-dua pihak mungkin membincangkan isu-isu tertangguh secara berasingan bukan lagi dalam bentuk pakej seperti sebelum ini memandangkan ada antaranya yang perlu ditangani dengan segera.
``Kita mungkin perlu memecahkan pakej kerana di dalamnya ada beberapa isu yang boleh diselesaikan serta-merta tanpa perlu menanti semua isu diputuskan. Sesetengah isu mengambil masa terlalu lama untuk diselesaikan, jadi tidak wajar semuanya dilonggokkan bersama sehingga menyebabkan isu lain yang patut selesai tergendala,'' katanya.
Beliau yakin Singapura menerima baik pendekatan yang dicadangkan oleh Malaysia dan memahami kewajarannya untuk membolehkan hubungan dua hala dapat digerakkan secara positif dan konstruktif.
Tambahan pula, menurutnya, kedua-dua negara telah banyak menikmati faedah daripada kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pelancongan, keselamatan dan pertahanan.
Beliau memberitahu, kedua-dua pihak bersetuju meningkatkan hubungan dua hala dengan mengadakan rundingan secara lebih kerap termasuk menerusi pertukaran lawatan serta aktiviti yang diatur pada peringkat menteri dan para pegawai kanan.
Chok Tong pula berkata, isu-isu yang akan dibincangkan semula oleh kedua-dua negara tidak melibatkan isu penambakan laut dan tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih yang telah dibawa ke peringkat timbang tara.
Menurut beliau, Singapura sedia menerima pendekatan Abdullah untuk melihat kedua-dua pihak berbincang mencari penyelesaian isu-isu tertangguh yang selama ini menemui jalan buntu, atas semangat kejiranan dan setiakawan ASEAN.
``Abdullah mahu kita melihat semula isu-isu itu untuk memberi sekali lagi peluang bagi mengemukakan idea-idea baru melalui perbincangan sebelum membuat keputusan (terakhir) membawanya kepada pihak ketiga.
``Sama ada isu tersebut akan dikeluarkan (daripada pakej) atau tidak, kita tidak bincangkan secara terperinci. Kita bercakap soal pendekatan dan saya bersetuju bahawa kedua-dua pihak perlu berbincang,'' katanya.
Mengulas lawatan sulung Abdullah hari ini, Chok Tong berkata, ia memberi kesempatan kepada kedua-dua negara mengkaji semula hubungan dua hala dan mencari jalan meletakkannya di atas landasan yang betul.
Beliau menyifatkan pertemuan itu sebagai bermakna kerana kedua-dua pihak dapat berbincang dan bertukar pandangan secara jujur dan terbuka terutama berhubung isu-isu tertangguh yang menjadi keutamaan.
Pada lawatan singkat sehari itu, Abdullah turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Singapura, S.R. Nathan dan Menteri Kanan, Lee Kuan Yew.
Delegasi Perdana Menteri disertai oleh Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak serta Penasihat Perdana Menteri Mengenai Hubungan Luar, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad - Utusan Malaysia
Tuesday, January 13, 2004
Kembali berunding
Posted by 9T9 at 3:54 PM
Labels: Batu Putih, Media, Pra ICJ, Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment