Oleh: Jamdi Nasir
KUALA TERENGGANU 23 Nov. - Bagi anggota tentera, ketibaan Aidilfitri seakan seperti hari-hari lain yang silih berganti kerana sudah lumrah bagi mereka bertugas kerana tanggungjawab menuntut begitu.
Perasaan yang diasuh oleh disiplin yang begitu tegar bagaimanapun kadangkala `cair' dengan keharuan apabila mereka mendengar lagu-lagu yang menggambarkan kemeriahan berhari raya bersama sanak saudara.
``Kami dah biasa. Dah banyak kali tidak beraya bersama keluarga. Tapi... jangan sampai kami dengar lagu raya.
``Masa tu sebak jugalah rasanya, walaupun dah berusia macam ni,'' kata Pegawai Memerintah KD Marikh, Komander Adon Shalan semasa ditemui di atas kapal tersebut baru-baru ini.
Komander Adon yang telah 26 tahun berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkata, tugas dan tanggungjawab mengatasi segalanya walaupun hanya bertemankan alunan laut ketika menyambut hari yang mulia.
``Kami tetap di atas kapal ini, walau pun orang lain berseronok menyambut Aidilfitri tidak boleh sekali-kali meninggalkan kawasan perairan,'' tegasnya.
KD Marikh adalah salah sebuah kapal yang berpengkalan di Pelabuhan Tanjung Gelang, Kuantan di bawah naungan Panglima Laut 1, Datuk Mohd. Amdan Kurish.
Kawasan rondaan kapal tersebut merangkumi perairan sempadan Malaysia-Thailand hingga sempadan Malaysia-Singapura di sekitar Pulau Batu Putih serta kawasan perairan antarabangsa di Laut China Selatan.
Komander Adon yang mempunyai 95 anggota dan 15 pegawai di atas kapalnya berkata, apabila menjelang Hari Raya, pelbagai ragam anak kapal akan dilihatnya terutama kepada anggota muda yang baru setahun dua memasuki TLDM.
``Masa itu ada yang cuba buat-buat `kebal' kononnya tak sedih menyambut Hari Raya atas kapal. Tapi kami tahu, bila di kabin tak ada siapa yang tengok ramai menangis tak tahan rindu pada keluarga,'' katanya sambil ketawa.
Bagi mengubat kerinduan itu, katanya, beliau akan membuat persiapan terlebih dahulu sebelum kapal berangkat melakukan operasi rondaan sebelum menjelang Hari Raya.
Sepanjang bulan Ramadan katanya, anak-anak kapal tetap diberi peluang menunaikan solat terawih berjemaah agar rahmat dan berkat bulan Ramadan tidak sia-sia begitu sahaja.
Ditanya mengenai persiapan keluarga berhari raya, Komander Adon yang mempunyai tiga anak berkata, berikutan keadaannya itu, isterinya, Fauziah Mohd. Noor akan menyediakan segalanya.
``Jika saya berpeluang menyambut Hari Raya bersama keluarga itu adalah suatu bonus bagi kami warga TLDM,'' ujarnya.
Pegawai Memerintah KD Tombak, Leftenan Komander Roslee Mohd. Isa, yang turut ditemui pula berkata, soal tidak berhari raya bersama sanak saudara bukan sesuatu yang asing baginya.
``Alhamdulillah anak-anak dan isteri serta keluarga yang lain faham dengan tugas saya. Mereka pun dah terbiasa dengan ketiadaan saya,'' katanya yang berasal dari Bukit Merah, Bagan Serai, Perak.
Bagi Pegawai Memerintah KD Badek,Leftenan Komander Ramli Shamsuddin, 13 tahun bersama-sama TLDM banyak mengajar beliau erti kesabaran terutama apabila terpaksa bertugas semasa umat Islam lain menyambut Hari Raya.
``Sepanjang dalam TLDM tiga kali sahaja sempat berhari raya bersama keluarga. Tahun ini belum tahu lagi,'' ujarnya.
Seorang pegawai di KD Marikh, Leftenan Mohd. Zahrizan Dinin, 23, yang masih bujang berkata, dia tidak pernah menyesal memasuki TLDM meskipun dikelilingi lautan dan gelora - Utusan Malaysia
Monday, November 24, 2003
Bertemankan alunan ombak sambut Hari Raya
Posted by 9T9 at 3:21 PM
Labels: Media, Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment