Saturday, March 29, 2003

Sistem e-Carta Hidrografi pedoman kapal

Oleh Wan Hasnan Hasan

PERKEMBANGAN dunia maritim yang semakin pesat di negara ini ekoran kedudukannya yang strategik iaitu di tengah laluan pelayaran antarabangsa telah mendorong Pusat Kajian Hidrografi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membangunkan Sistem e-Carta Hidrografi untuk dijadikan pedoman kepada kapal-kapal.

Kedudukan Selat Melaka yang berada di laluan pelayaran antarabangsa dianggap sebagai lebuh raya laut yang sangat sibuk sehingga keadaan ini memerlukan pengurusan dan sistem trafik marin yang lebih efisien bertujuan untuk mengelakkan sebarang kemalangan di perairan tersebut.

Sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa insiden kemalangan di sekitar perairan negara yang melibatkan perlanggaran kapal, antaranya ialah perlanggaran kapal RSS Courageous milik Tentera Laut Singapura dengan kapal dagang ANL Indonesia yang berlaku pada 3 Januari 2003 di perairan Pulau Batu Putih.

Selain itu, perlanggaran antara kapal tangki Neptank VII dengan kapal pengangkut barang MV Hermion yang berlaku pada 12 Jun 2002 di Pulau Sentosa, Singapura pula telah mengakibatkan tumpahan minyak di pantai Teluk Ramunia dan Sungai Rengit, Pengerang, Johor.

Malah yang terbaru pada 27 Februari lalu, sebuah kapal kargo Indonesia, MV Titra Mas telah karam akibat dirempuh oleh sebuah kapal pengangkut iaitu Sanko Robust kira-kira lima batu nautika dari Tanjung Piai, Pontian.

Mengambil iktibar daripada kejadian-kejadian tersebut, Pengarah Pusat Kajian Hidrografi UTM, Prof. Madya Dr. Mohd. Razali Mahmud kini rancak menjalankan projek penyelidikan pembangunan Sistem e-carta Hidrografi sejajar dengan visi dan misi universiti tersebut untuk menjadi sebuah The Discovery University dan universiti bertaraf dunia.

Menurut beliau, program yang dibiayai oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar itu merupakan alternatif kepada panduan pelayaran secara konvensional yang selama ini menggunakan carta kertas kepada teknologi baru menggunakan carta elektronik.

Ini kerana carta elektronik atau e-carta hidrografi mampu memberikan pelbagai aplikasi, contohnya untuk membuat perancangan prapelayaran seperti untuk melakukan perancangan laluan pelayaran yang selamat.

Selain itu, laluan kapal ketika dalam pelayaran juga boleh diawasi dengan melihat secara langsung kedudukan imej kapal yang bergerak melalui e-carta hidrografi pada skrin pemapar.

Melalui sistem ini, risiko perlanggaran mungkin boleh dikurangkan dengan mengintegrasikan e-carta hidrografi dengan penderia-penderia lain kerana gabungan informasi yang dihasilkan akan bertindak sebagai suatu sistem informasi yang sangat efektif.

Keselamatan kapal akan lebih terjamin kerana pengguna sistem ini akan sentiasa diberi amaran sekiranya perlanggaran berkemungkinan berlaku hasil daripada maklumat yang diperoleh dari radar. Malah, amaran turut diberikan sekiranya kedudukan kapal menghampiri kawasan berbahaya seperti kawasan cetek atau beting.

Sehubungan itu, e-carta hidrografi adalah perlu untuk mengurangkan risiko perlanggaran dan kemalangan kerana ia merupakan sistem untuk menentukan laluan yang selamat berdasarkan maklumat berat dan lunas kapal, laluan terhampir, pasang surut dan lain-lain lagi.

Antara aplikasi baru yang sedang dibangunkan dalam e-carta hidrografi adalah seperti pemaparan permukaan dasar laut secara tiga dimensi, maklumat pasang surut secara masa hakiki dan pelayaran simulasi secara fly-through.

Pengemaskinian e-carta hidrografi juga merupakan satu keperluan yang tidak kurang pentingnya. Sejajar dengan keperluan International Convention for Safety of Life at Sea (SOLAS), setiap kapal diwajibkan membawa carta yang mencukupi dan sentiasa dikemas kini secara berterusan dan Sistem e-carta hidrografi ini juga tidak terkecuali dari peraturan tersebut.

Proses pengemaskinian yang paling kritikal adalah pengemaskinian sumber data kedalaman atau data batimetri dan sumber data batimetri boleh diperoleh secara pendigitan daripada carta nautika atau melalui pengumpulan data dengan pemerum gema.

Data batimetri diperolehi dari pembalikan gelombang akustik yang dipancarkan oleh pemerum gema dan terdapat beberapa jenis sistem pemerum gema seperti sistem pemerum gema alur tunggal dan sistem pemerum gema berbilang alur.

Daripada dua sistem itu, sistem pemerum gema berbilang alur lebih berkesan kerana sistem ini mampu mengumpul data batimetri secara lebih menyeluruh. Satu lagi kelebihan e-carta hidrografi adalah proses pengemaskinian yang lebih mudah. Ia boleh dilakukan melalui proses muat turun.

Kemajuan teknologi terkini membolehkan proses muat turun dilakukan melalui laman web atau pemindahan data melalui satelit komunikasi seperti INMARSAT.

Justeru, penggunaan e-carta hidrografi dalam dunia pelayaran masa kini amat bertepatan sekali kerana analisis pelayaran berpandukan e-carta hidrografi akan dapat mempertingkatkan keselamatan ketika pelayaran - Utusan Malaysia

Tuesday, March 11, 2003

Sidang video alat komunikasi utama Eksesais Kerismas

KUALA LUMPUR 10 Mac - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggunakan kaedah sidang video sebagai alat komunikasi utama dalam menjayakan Eksesais Kerismas 23/2003 yang berlangsung selama tiga minggu mulai hari ini kerana ia lebih efektif dan menjimatkan kos.

Latihan bersama dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang membabitkan 2,249 anak kapal dan 1,000 krew pesawat, diadakan di perairan Laut China Selatan memberi tumpuan di sekitar kawasan Kepulauan Gugusan Semarang Peninjau (GSP).

``Sidang video ini membolehkan setiap markas formasi serta unit-unit dalam TLDM berkomunikasi dengan lebih efektif, sekali gus ia dapat menjimatkan kos.

``Ini merupakan satu kemudahan yang patut kita optimumkan penggunaannya,'' kata Panglima TLDM, Laksamana Datuk Mohd. Ramly Abu Bakar selepas merasmikan Eksesais Kerismas 23/2003 di Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Majlis pelancaran eksesais tersebut turut dibuat menerusi sidang video yang dipancarkan ke Markas Armada dan Markas Wilayah TLDM di seluruh negara.

Dalam pada itu, Ketua Staf Markas Armada, Laksamana Pertama Mohd. Rashid Harun dilantik sebagai Pengarah Eksesais manakala Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Pertama Datuk Abd. Aziz Jaafar dilantik Panglima Angkatan Tugas 58 dan Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Pertama Mohd. Amdan Kurish dilantik Panglima Angkatan Tugas 47.

Misi Eksesais Kerismas 23/2003 ini ialah untuk menilai dan menguji sejauh mana kemampuan Armada TLDM dalam melaksanakan operasi maritim.

Sebanyak 27 buah kapal TLDM dan 17 pesawat TUDM terlibat di mana ia dijangka tamat pada 31 Mac ini di Kota Kinabalu, Sabah.

Sementara itu, Mohd. Ramly berkata, eksesais kali ini turut melibatkan penyertaan Pasukan Khas Laut (Paskal).

``Tidak seperti tahun-tahun yang lepas, penglibatan Paskal kali ini akan lebih menyeluruh dan kita hendak menguji kemampuannya dalam melaksanakan operasi khas.

``Peluru berpandu Starbust juga akan diuji yang mana ia akan dilepaskan dalam ujian penembakan di Pulau Aur,'' katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd. Ramly berkata, pihaknya tidak akan sekali-kali memberhentikan rondaan di Pulau Batu Putih kerana ia sebahagian daripada wilayah negara ini.

``Kita anggap pulau tersebut adalah milik kita, justeru itu rondaan akan diteruskan seperti biasa,''
katanya.

Pada 23 Januari lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia akan terus menjalankan rondaan di kawasan perairan Pulau Batu Putih seperti juga langkah yang diambil oleh Singapura.

Pada 6 Februari lalu, Malaysia dan Singapura menandatangani persetujuan bersama bagi membawa isu tuntutan bertindih ke atas pulau itu ke ICJ dan mengekalkan status quo pulau berkenaan - Utusan Malaysia