Tuesday, March 11, 2003

Sidang video alat komunikasi utama Eksesais Kerismas

KUALA LUMPUR 10 Mac - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggunakan kaedah sidang video sebagai alat komunikasi utama dalam menjayakan Eksesais Kerismas 23/2003 yang berlangsung selama tiga minggu mulai hari ini kerana ia lebih efektif dan menjimatkan kos.

Latihan bersama dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang membabitkan 2,249 anak kapal dan 1,000 krew pesawat, diadakan di perairan Laut China Selatan memberi tumpuan di sekitar kawasan Kepulauan Gugusan Semarang Peninjau (GSP).

``Sidang video ini membolehkan setiap markas formasi serta unit-unit dalam TLDM berkomunikasi dengan lebih efektif, sekali gus ia dapat menjimatkan kos.

``Ini merupakan satu kemudahan yang patut kita optimumkan penggunaannya,'' kata Panglima TLDM, Laksamana Datuk Mohd. Ramly Abu Bakar selepas merasmikan Eksesais Kerismas 23/2003 di Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Majlis pelancaran eksesais tersebut turut dibuat menerusi sidang video yang dipancarkan ke Markas Armada dan Markas Wilayah TLDM di seluruh negara.

Dalam pada itu, Ketua Staf Markas Armada, Laksamana Pertama Mohd. Rashid Harun dilantik sebagai Pengarah Eksesais manakala Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Pertama Datuk Abd. Aziz Jaafar dilantik Panglima Angkatan Tugas 58 dan Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Pertama Mohd. Amdan Kurish dilantik Panglima Angkatan Tugas 47.

Misi Eksesais Kerismas 23/2003 ini ialah untuk menilai dan menguji sejauh mana kemampuan Armada TLDM dalam melaksanakan operasi maritim.

Sebanyak 27 buah kapal TLDM dan 17 pesawat TUDM terlibat di mana ia dijangka tamat pada 31 Mac ini di Kota Kinabalu, Sabah.

Sementara itu, Mohd. Ramly berkata, eksesais kali ini turut melibatkan penyertaan Pasukan Khas Laut (Paskal).

``Tidak seperti tahun-tahun yang lepas, penglibatan Paskal kali ini akan lebih menyeluruh dan kita hendak menguji kemampuannya dalam melaksanakan operasi khas.

``Peluru berpandu Starbust juga akan diuji yang mana ia akan dilepaskan dalam ujian penembakan di Pulau Aur,'' katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd. Ramly berkata, pihaknya tidak akan sekali-kali memberhentikan rondaan di Pulau Batu Putih kerana ia sebahagian daripada wilayah negara ini.

``Kita anggap pulau tersebut adalah milik kita, justeru itu rondaan akan diteruskan seperti biasa,''
katanya.

Pada 23 Januari lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia akan terus menjalankan rondaan di kawasan perairan Pulau Batu Putih seperti juga langkah yang diambil oleh Singapura.

Pada 6 Februari lalu, Malaysia dan Singapura menandatangani persetujuan bersama bagi membawa isu tuntutan bertindih ke atas pulau itu ke ICJ dan mengekalkan status quo pulau berkenaan - Utusan Malaysia

No comments: