KOTA TINGGI 29 Dis. - Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar hari ini berkata Malaysia berharap persetujuan Singapura untuk menandatangani Perjanjian Khas bagi merujuk tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bulan depan, dapat direalisasikan.
Beliau berkata, Malaysia yang menyambut baik kenyataan Menteri Luar Singapura S.Jayakumar mengenai isu itu, sememangnya telah bersedia untuk menyelesaikan isu tuntutan itu secepat mungkin.
``Saya berharap kita akan dapat kepastian untuk menandatangani (Perjanjian Khas), sebab benda ini (kes tuntutan Batu Putih) kena bergerak dan tidak boleh tergantung sepanjang masa,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) di Dewan Sekolah Menengah Sains Bandar Penawar di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan S. Jayakumar semalam bahawa Singapura bersedia menandatangani Perjanjian Khas dengan Kerajaan Malaysia bagi merujuk kes tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih ke ICJ, Januari depan.
Transkrip kenyataan Menteri Luar Singapura itu dikeluarkan pejabat Suruhanjaya Singapura di Kuala Lumpur untuk media tempatan, semalam.
Syed Hamid berkata, Malaysia akan menetapkan tarikh yang sesuai untuk kedua-dua pihak menandatangani perjanjian khas itu dan Malaysia akan menerima apa juga keputusan yang ditetapkan oleh ICJ melalui 15 orang hakim tetap dan dua hakim tambahan yang dilantik oleh kedua-dua negara yang terlibat membuat tuntutan.
Menteri Luar menambah Singapura masih belum memberi maklum balas kepada bantahan yang dikemukakan oleh Kerajaan Malaysia berhubung kerja-kerja pembinaan yang dilakukan oleh republik tersebut di Pulau Batu Putih.
Katanya, sehingga kini kerajaan tidak pasti sama ada negara berkenaan akan memberi maklum balas atau tidak berhubung perkara itu.
Ini kerana, katanya, sejak dulu Singapura hanya menjawab beberapa sahaja daripada keseluruhan bantahan yang pernah dikemukakan oleh kerajaan.
``Bagaimanapun, bantahan berterusan akan tetap kita kemukakan sebagai bukti kita tidak bersetuju dengan aktiviti mereka di pulau berkenaan.
``Kita juga sedang memperincikan kandungan bantahan terbaru yang akan dikemukakan kepada Singapura tidak lama lagi,'' katanya.
Baru-baru ini, beliau berkata, kerajaan akan mengemukakan satu lagi bantahan kepada negara berkenaan selepas didapati Singapura meneruskan kerja-kerja pembinaan di situ.
Bantahan itu juga adalah selaras dengan desakan banyak pihak termasuk parti pembangkang serta pelbagai pertubuhan bukan kerajaan yang mahu kerajaan bertindak terhadap perbuatan negara berkenaan.
Syed Hamid menambah, meskipun Singapura bersikap tidak acuh dengan bantahan yang dikemukakan oleh negara ini, namun kerajaan tidak menganggapnya sebagai satu persoalan besar.
Ini kerana katanya, pertikaian mengenai pertindihan tuntutan kedaulatan ke atas pulau itu akan diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tidak lama lagi.
Menurut beliau, Malaysia telah bertindak melalui saluran yang sepatutnya apabila masih menghantar bantahan sebagai tanda ia tidak bersetuju dengan tindakan negara berkenaan.
Dalam pada itu, Syed Hamid berharap media kedua-dua negara tidak lagi memperbesar-besarkan isu Pulau Batu Putih kerana bimbang ia akan menyebabkan suasana menjadi lebih keliru.
Ujar beliau, adalah lebih baik perdebatan mengenai isu tersebut dilakukan di ICJ dan bukannya menerusi media - Utusan Malaysia
Monday, December 30, 2002
Malaysia harap Singapura realisasikan persetujuan
Posted by 9T9 at 12:53 PM
Labels: Bantahan, Media, Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment