BATU PAHAT 29 Dis. - Kerajaan Johor tidak pernah menyerahkan Pulau Batu Putih kepada mana-mana pihak termasuk Singapura dan kedudukan pihak berkuasa republik itu di pulau tersebut hanyalah sebagai pengurus rumah api yang dibina ketika di zaman penjajahan Inggeris.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, negara jiran itu juga tidak dibenarkan membina sebarang struktur bangunan lain di pulau tersebut.
Menurutnya, pada tahun 1989 kerajaan negeri telah menghantar bantahan kepada mereka ekoran terdapat kegiatan pembangunan di sana tetapi tidak diendahkan.
``Pembinaan rumah api di Pulau Batu Putih adalah dengan kebenaran Kerajaan Johor yang ketika itu di bawah pentadbiran Sultan Sir Abu Bakar semasa penjajahan Inggeris.
``Kerajaan Johor tidak pernah memberikan pulau itu kepada mana-mana pihak dan tidak pernah menandatangani apa-apa perjanjian melibatkan penyerahan hak pulau tersebut.
``Kebenaran membina rumah api tidak bermakna menyerahkan pulau tersebut kepada Singapura'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis jamuan Hari Raya anjuran UMNO Bahagian Parit Sulong di Kampung Parit Simin, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu Pulau Batu Putih yang menjadi tuntutan bersama antara Malaysia dan Singapura.
Menurut Abdul Ghani, peta-peta yang dikeluarkan sejak tahun 1926 hingga yang terkini jelas menunjukkan pulau tersebut yang juga dikenali sebagai Pedra Branca adalah dalam wilayah Johor.
Sehubungan itu, kata beliau, Kerajaan Johor berpendirian bahawa pulau itu sejak dahulu lagi adalah sebahagian daripada Johor dan hak negeri ini terhadapnya akan terus kekal dan tidak akan tergugat.
``Kedudukan Singapura di sana hanya sebagai pengurus rumah api. Fakta-fakta pemetaan jelas membuktikan Pulau Batu Putih adalah hak Johor, hak Malaysia,'' tegas beliau.
Menurut beliau, kehadiran republik itu di Pulau Batu Putih sama seperti di Pulau Pisang iaitu untuk menguruskan rumah api dengan kebenaran Kerajaan Johor dan Malaysia.
Malaysia juga, katanya, telah menjalankan tugas untuk mengawal pulau itu dan perairannya melalui rondaan yang kerap dilakukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Marin dan penguat kuasa Jabatan Perikanan.
Oleh itu, katanya, tindakan provokasi oleh pasukan keselamatan negara jiran itu adalah satu tindakan yang tidak wajar.
Bagaimanapun, katanya, pertikaian mengenai pulau tersebut wajar ditentukan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Wisma Putra dalam menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan dalam tuntutan tersebut.
Menurut Abdul Ghani, ini termasuk dokumen yang terdapat di arkib serta dokumen yang disimpan oleh Sultan Johor sendiri.
``Tidak ada cara lain untuk selesaikan isu ini selain ke ICJ,'' kata beliau - Utusan Malaysia
Monday, December 30, 2002
Batu Putih tak pernah diserah pada Singapura
Posted by 9T9 at 1:48 PM
Labels: Batu Putih, Ulasan, Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment