Sunday, November 18, 2007

Misi pertahan hak Malaysia

SELASA lalu, galeri awam di tingkat atas bilik persidangan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge agak sesak berbanding minggu sebelumnya.

Wajah-wajah yang hadir begitu bersemangat. Ramai juga yang hadir adalah muka-muka baru yang tidak kelihatan semasa Singapura memulakan pusingan pertama hujah lisan sepanjang minggu lepas.

Mereka mewakili pelbagai agensi dan juga orang perseorangan yang datang untuk memberi sokongan moral kepada delegasi Malaysia pada hari pertama pusingan pertama hujah lisan bagi mempertahankan kedaulatan negara ke atas ketiga-tiga pulau itu.

Selepas empat hari ‘diasak’ dengan hujah-hujah lisan oleh Singapura yang hanya sedar kononnya mereka berhak ke atas ketiga-tiga pulau itu 17 tahun lalu, delegasi Malaysia diketuai Duta Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad tampil cergas.

Kelihatan Duta Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin ringkas tetapi anggun; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan barisan peguam hebat yang terdiri daripada Sir Elihu Lauterpacht, Profesor James Crawford, Profesor Nicolaas Jan Schrijver, Profesor Marcelo G. Kohen dan peguam muda jelita Penelope Nevill bersedia untuk berjuang.

Manakala ‘orang di belakang tabir’ yang bersengkang mata membuat persiapan kes setiap hari seperti Abd. Rahim Hussin, Raja Aznam Nazrin, Kapten Sahak Omar (sekadar menyenaraikan beberapa nama), para penyelidik dari Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Pemetaan dan Ukur menduduki barisan kedua.

Dalam ucapan pembukaannya, Abdul Kadir yang bertindak sebagai ejen Malaysia dengan nada tegas, padat dan ringkas menegaskan pendirian negara bahawa Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge selama-lamanya milik Malaysia.

Beliau secara ringkas memperkatakan satu per satu perihal Pulau Batu Putih bermula dari sudut sejarah iaitu sebelum tahun 1847 lagi iaitu pulau itu bukan terra nullius (tiada pemilik) seperti yang dihujahkan oleh Singapura.

Abdul Kadir tidak mengulas panjang kerana barisan peguam akan memperincikan siri perjanjian, kehadiran British di Pulau Batu Putih, Sistem Rangkaian Rumah Api Negeri-Negeri Selat dan tindak-tanduk Singapura sebagai pengendali rumah api di pulau itu.

Beliau tanpa ragu-ragu menyelongkar motif utama Singapura menuntut ketiga-tiga bentuk maritim itu dengan berselindung di sebalik fungsi mereka hanya sebagai ‘penjaga’ rumah api yang dinamakan Rumah Api Horsburgh.

Katanya, Singapura mempunyai polisi penambakan laut yang aktif dan tuntutan di ICJ itu tidak mustahil ada kaitan dengan cita-cita republik itu untuk meluaskan pengaruh maritimnya di selat yang penting itu.

Bagaikan dirancang pada hari Malaysia memulakan hujah iaitu pukul 10 pagi waktu tempatan (5 petang waktu Malaysia), akhbar Straits Times Singapura menyiarkan satu artikel memperincikan satu per satu mengapa rumah api itu penting bagi republik itu.

Ucapan Abdul Kadir (tanpa dirancang) seolah-olah menjawab perincian artikel tersebut – Malaysia menghormati fungsi Singapura sebagai pengendali Rumah Api Horsburgh dan akan terus berbuat demikian.

Dalam erti kata yang lain, bukan rumah api yang dibina di atas Pulau Batu Putih menjadi ‘subjek utama’ pertikaian tetapi kedaulatan pulau tersebut yang menjadi keutamaan bagi Malaysia.

Sebab itu, Abdul Kadir, bertegas bahawa Malaysia bukan menuntut hak kedaulatan ke atas pulau seluas padang bola itu sebaliknya mahu mahkamah mengesahkan semula bahawa ia sememangnya milik negara.

Yang menuntut adalah Singapura manakala Malaysia mahu mengekalkan kedaulatannya di Pulau Batu Putih untuk memastikan ia (pulau tersebut) kelak tidak dijadikan alat oleh republik itu untuk mengeruhkan hubungan serantau.

Kebimbangan Malaysia dinyatakan dengan jelas oleh Abdul Kadir yang berbunyi: “Saya ingin menjelaskan satu perkara. Masalah kami (Malaysia) dengan Singapura ialah kehadiran ketenteraannya di sebuah pulau milik Johor yang terletak di laluan masuk di timur Selat Singapura.

“Kami tidak mempunyai masalah dengan Singapura sebagai pengendali Rumah Api Horsburgh. Malaysia ingin mengekalkan keadaan yang stabil dan aman damai di laluan masuk ke Laut China Selatan. Singapura yang menunggu-nunggu untuk menukar keadaan ini.”

Noor Farida mengambil tugas kedua, membongkar sejarah sebelum tahun 1847 bagaimana rapatnya hubungan Pulau Batu Putih dengan Orang Laut dan nelayan-nelayan tempatan.

Beliau juga meneroka nama Pulau Batu Putih yang dikenali begitu kerana najis burung yang menutupi pulau batu itu, bahasa Portugisnya Pedra Branca turut membawa makna yang sama.

Manakala saudagar Cina memanggil pulau itu Pia Chiao seperti yang direkodkan dalam arahan dan carta pelayaran Wubei Zhi pada tahun 1621, di kalangan pedagang Perancis ia dikenali sebaai Pierre Blanche.

“Setiap orang memanggilnya batu putih dalam bahasa masing-masing. Adalah tidak masuk akal bagi Singapura untuk mengatakan bahawa nama Pulau Batu Putih hanya muncul baru-baru ini di peta rantau ini dan adalah nama yang (Malaysia) rujuk hari ini,” katanya.

Duta Malaysia ke Belanda itu kemudian menghuraikan satu per satu bukti berupa catatan bertulis termasuk yang tersiar dalam Singapore Free Press dan tertera di peta Johor pada tahun 1928.

Kemudian Peguam Negara tampil membangkitkan kegagalan Singapura mengemukakan sebarang bukti berupa dokumen undang-undang untuk membuktikan bahawa mereka adalah tuan Pulau Batu Putih.

Hujah Abdul Gani tidak meleret sebaliknya terus kepada fakta mengenai tarikh penting (bermulanya pertikaian) iaitu pada tahun 1980 – sebelum daripada itu tiada sebarang bantahan oleh Singapura berhubung dokumen dan peta yang menunjukkan bahawa Pulau Batu Putih milik Malaysia.

Singapura, menurut beliau, langsung tidak menghiraukan tarikh penting itu sebaliknya secara lepas laku terus menjalankan pelbagai aktiviti di Pulau Batu Putih sedangkan seperti yang diputuskan oleh ICJ dalam kes Ligitan dan Sipadan:

“Tindak-tanduk selepas tarikh penting tidak akan dikira, kecuali jika tindakan seumpama itu berupa kesinambungan tindak-tanduk sebelumnya dan bukannya bertujuan mengukuhkan kedudukan perundangan pihak yang bergantung kepadanya.”

Sememangnya hujah-hujah Malaysia sepanjang empat hari berkisar kepada bukti-bukti penting yang menunjukkan bahawa ketiga-tiga pulau itu adalah miliknya. Siri dokumen berupa perjanjian, peta-peta dan fakta sejarah menjawab setiap dakwaan yang dikemukakan oleh Singapura.

Satu per satu hujah Singapura dipatahkan oleh barisan peguam Malaysia bermula daripada bukti sejarah sehingga kepada kegagalan republik itu mengemukakan peta-petanya yang boleh menunjukkan Pulau Batu Putih adalah milik mereka.

Sepanjang pusingan pertama hujah lisannya, Singapura bersandarkan kepada enam peta Malaysia (yang mempunyai penafian (disclaimer) bahawa ia tidak boleh dijadikan bukti untuk urusan persempadanan wilayah) untuk menyokong dakwaannya.

Sedangkan republik itu sendiri tidak pernah mengeluarkan peta sendiri kecuali pada tahun 1995 iaitu 15 tahun selepas tuntutan ke atas Pulau Batu Putih dilancarkan. Secara logiknya mengapa tiada satu pun peta yang dikeluarkan oleh negara yang mendakwa mempunyai kedaulatan ke atas pulau tersebut sejak tahun 1851 lagi.

Teori Profesor Lauterpacht iaitu setiap angka yang didarab dengan kosong jawapannya kosong menarik perhatian mahkamah. Analoginya mudah. Jika Singapura tidak mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih, apa pun yang dilakukan ke atas pulau itu tidak akan membawa sebarang makna.

Singapura tidak boleh menjadikan segala tindak-tanduknya berhubung penyelenggaraan rumah api di pulau itu sebagai bukti bahawa ia mempunyai kedaulatan di situ lantaran teori yang digunakan itu tidak memenuhi ciri-ciri yang dikehendaki oleh undang-undang antarabanga.

Profesor Crawford ketika merumuskan pusingan pertama hujah lisan Malaysia meringkaskan hujah-hujah delegasi negara.

Jika: Pulau Batu Putih bukan terra nullius pada tahun 1847; dan pulau itu tidak termasuk dalam pengaruh Belanda di bawah Perjanjian Inggeris-Belanda; ketika itu Pulau Batu Putih adalah sebahagian daripada Johor.

Dan jika: Pulau Batu Putih sebahagian daripada Johor pada tahun 1847; dan keizinan Johor untuk pembinaan rumah api termasuk di Pulau Batu Putih; ketika itu pentadbiran British ke atas rumah api di situ bukan prilaku a titre de souverain (menunjukkan ia mempunyai kedaulatan di situ).

Kedua-dua kesimpulan itu, menurut Crawford, menunjukkan bahawa British membina Rumah Api Horsburgh di wilayah Johor dengan kebenaran Johor maka kes Singapura menjadi sia-sia.

Dengan cara yang amat ringkas, Malaysia menyimpulkan tugas empat hari dengan soalan ini: “Mengapa Malaysia perlu membuat apa-apa? Sultan dan Temenggong telah mengizinkan pembinaan dan penyelenggaraan (rumah api). Anda telah mendengar ejen Malaysia berkata, keizinan ini berterusan dan akan diteruskan.”

Pusingan kedua hujah lisan dan penggulungan bagi Malaysia dan Singapura akan bermula esok. Singapura akan memulakan pusingan kedua pada Isnin dan Selasa manakala Malaysia bakal menyempurnakan tanggungjawab tersebut pada Khamis dan Jumaat - Utusan Malaysia

No comments: