Tuesday, November 20, 2007

Integriti Singapura terjejas – Jayakumar

THE HAGUE, Belanda 19 Nov. – Singapura hari ini memulakan pusingan kedua hujah lisan kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge dengan mendakwa Malaysia telah memburuk-burukkan republik itu menerusi siri tuduhan yang boleh menjejaskan integriti negara berkenaan.

Timbalan Perdana Menterinya, S. Jayakumar menyenaraikan hujah-hujah Malaysia sepanjang pusingan pertama hujah lisan minggu lepas yang didakwa oleh Singapura sebagai ‘tuduhan tidak berasas’ dan bertujuan mempengaruhi mahkamah.

“Kami terkejut dan kesal dengan tindakan Malaysia membuat siri tuduhan terhadap Singapura.

“Tuduhan-tuduhan itu jika tidak dipatahkan akan mencabar integriti Singapura dan akan menarik perhatian pemikiran para hakim bahawa akan wujud kesan yang amat dahsyat jika keputusan pertikaian ini memihak kepada Singapura,” hujah beliau.

Jayakumar berhujah di hadapan Naib Presiden Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh serta 15 hakim lain.

Jayakumar berkata, ‘tuduhan’ pertama Malaysia ialah dakwaan bahawa Singapura menyembunyikan surat Gabenor Butterworth kepada Sultan Ali dan Temenggung Johor pada tahun 1844 bagi memohon kebenaran membina rumah api.

Peguam Malaysia, Prof. Sir Elihu Lauterpacht dalam hujah lisannya membangkitkan rasa hairan beliau mengenai ketiadaan surat tersebut sambil tidak menolak kemungkinan ia (surat itu) adalah dalam simpanan Singapura dan telah disembunyikan daripada pengetahuan mahkamah.

Jayakumar berhujah, satu kenyataan telah dikeluarkan kepada mahkamah selepas kedua-dua pihak gagal menemui surat tersebut iaitu Singapura tidak mempunyai surat itu dan telah mencari bertahun-tahun di pelbagai arkib tetapi gagal menemuinya.

“Telah diketahui umum bahawa simpanan arkib Singapura tidak lengkap, malah Singapura dalam hujah bertulisnya telah menjelaskan mengapa rekod-rekodnya tidak lengkap.

“Sebab itu Singapura telah bertanyakan kepada kerajaan negeri Johor jika mereka mempunyai salinan surat yang berkaitan dengan Pedra Branca (Pulau Batu Putih),” katanya.

Beliau mendakwa, adalah tidak benar apabila Malaysia mendakwa Singapura tidak menjawab pertanyaan (berhubung surat tersebut) sebaliknya republik itu telah berbuat demikian menerusi penghantaran nota oleh Pesuruhjaya Tingginya di Kuala Lumpur pada tahun 1994.

Jayakumar kemudian membangkitkan persoalan ini: “Mengapa Malaysia mengatakan bahawa ia (surat itu) ada di dalam arkib Singapura?

“Surat-surat tersebut ditulis kepada Sultan Ali dan Temenggung Johor, bukankah logik jika surat asal itu berada dalam simpanan Johor? Singapura bersetuju bahawa ia mungkin begitu.”

Jayakumar kemudian merujuk perkara kedua yang disifatkan sebagai hujah Malaysia bahawa tuntutan Singapura itu mengganggu persetujuan yang telah dicapai antara Britsih dan Johor sejak lama dulu.

Beliau mendakwa, hujah tersebut hanyalah cubaan Malaysia untuk menarik perhatian mahkamah bahawa Malaysia adalah mangsa (keadaan itu).

Hakikatnya, dakwa Singapura, Malaysia yang cuba bertindak mengubah status quo apabila secara tiba-tiba menuntut hak ke atas Pulau Batu Putih pada tahun 1974.

Pada tahun tersebut Malaysia mengeluarkan peta baru yang secara jelas menunjukkan Pulau Batu Putih adalah termasuk dalam perairan negara.

Jayakumar mendakwa, pada 20 Disember 1979, Malaysia telah menulis surat kepada semua misi luar negaranya bahawa peta tahun 1979 mempunyai kesan kepada Thailand, Vietnam, Brunei, Singapura, Indonesia, Filipina dan China.

Selain itu, beliau turut merujuk kepada kenyataan Duta Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad yang mengetuai delegasi Malaysia bahawa jika keputusan mahkamah memihak kepada Singapura, ia akan menjejaskan kestabilan hubungan antara Malaysia dan Indonesia.

“Ini merupakan satu lagi cubaan Malaysia untuk mempengaruhi mahkamah tanpa sebarang asas,” katanya.

Beliau juga menyentuh hujah Abdul Kadir mengenai hasrat republik itu untuk melakukan penambakan laut di perairan Pulau Batu Putih serta memperluaskan kuasa maritimnya di Selat Singapura.

Malaysia juga berhujah, hasrat Singapura itu berpotensi untuk memberi kesan kepada alam sekitar, pelayaran dan keselamatan perairan.

Jayakumar menyifatkan hujah Malaysia itu sebagai spekulasi dan hujah bahawa Singapura ingin menyerlahkan kuasa ketenteraannya di perairan tersebut juga sebagai tidak berasas.

Beliau mendakwa, ‘tuduhan’ mengenai penambakan laut oleh Malaysia bertujuan menakut-nakutkan.

Kedudukan Singapura sebagai pelabuhan utama, dakwa beliau, bergantung kepada kelancaran amalan-amalan maritim termasuk alam sekitar dan keselamatan pelayaran dan perairan di Selat Singapura.

Mengenai hujah Malaysia bahawa Singapura menghantar kapal tentera lautnya di Pulau Batu Putih selepas tarikh penting iaitu selepas tahun 1980, Jayakumar mendakwa, sejak tahun 1975 Tentera Laut British yang berpusat di Singapura telah melakukan rondaan keselamatan di perairan tersebut.

Mengenai hujah bahawa Singapura tidak membenarkan nelayan-nelayan Johor mendekati perairan Pulau Batu Putih, beliau mendakwa, republik itu tidak pernah menangkap nelayan Malaysia.

Beliau juga menyentuh mengenai kenyataan Abdul Kadir bahawa Malaysia sentiasa menghormati Singapura sebagai pengendali rumah Api Horsburgh dan akan terus berbuat demikian.

“Adalah tidak perlu dan sesungguhnya tiada asas kepada Malaysia untuk berbuat demikian (mengeluarkan kenyataan seumpama itu).

“Hak Singapura berkaitan Pulau Batu Putih adalah mengenai kedaulatan ke atas pulau itu dan bukan hanya sebagai pengendali rumah api malah aktiviti Singapura di situ turut diiktiraf oleh Malaysia sehingga Disember 1979,” dakwa Jayakumar.

Persidangan bersambung esok - Utusan Malaysia

No comments: