Thursday, November 22, 2007

Delegasi kita tetap yakin

THE HAGUE, Belanda 21 Nov. – Pasukan Malaysia mempunyai dua hari sahaja lagi untuk berhujah di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini dalam usaha untuk memastikan Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge menjadi milik negara selama-lamanya.


Abdul Kadir Mohamad (tengah) mempengerusikan mesyuarat persediaan bersama para delegasi di hotel penginapannya di The Hague, Belanda, kelmarin.

Pasukan pertama yang tiba di sini pada 27 Oktober lalu bersengkang mata setiap hari menyediakan pelbagai keperluan termasuk dokumen-dokumen supaya setiap hujah Malaysia dapat disokong dengan bukti-bukti penting.

Namun di sebalik kerja keras itu, menurut Setiausaha Bahagian Adjudikasi dan Timbang Tara Kementerian Luar, Raja Nazrin Aznam, delegasi Malaysia tetap cergas serta berkeyakinan untuk terus memperjuangkan kedaulatan negara ke atas ketiga-tiga pulau itu.

Beliau berkata, penyelidikan mengenai kes tuntutan bertindih ketiga-tiga bentuk maritim itu bermula sejak 17 tahun lalu iaitu sebelum Pulau Sipadan dan Ligitan menjadi rebutan antara Malaysia dan Indonesia lagi.

Beliau yang telah bersama pasukan penyelidik itu sejak 14 tahun lalu memberitahu, pelbagai pihak seperti Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Meteorologi, Istana Johor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perikanan, Arkib Negara dan Kerajaan Negeri Johor terlibat menyediakan pelbagai dokumen yang diperlukan dalam kes tersebut.

Katanya, proses penghantaran dokumen-dokumen penting serta hujah-hujah Malaysia berhubung kes tersebut bermula dengan penyediaan memorial, balasan memorial dan jawapan memorial iaitu pada 25 Mac 2004 hingga 25 November 2005.

Sebaik sahaja kes tuntutan bertindih itu didengar di ICJ di sini bermula pada 6 November lalu, katanya, kesemua pihak yang terlibat menggandakan usaha untuk memastikan tiada maklumat penting tercicir ketika kes tersebut dibentangkan di hadapan barisan hakim.

“Kami hanya tidur dua jam sehari kerana kes ini rumit dan penyediaan dokumen perlu dibuat secara teratur sebelum ia diserahkan kepada Pendaftar Mahkamah tepat pukul 9 pagi setiap hari,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Bagaimanapun, para pegawai dan penyelidik yang menyumbang tenaga untuk menjayakan kes tersebut masih kelihatan cergas dan mampu menghadirkan diri di mahkamah setiap hari untuk mendengar setiap hujah yang dibentangkan terutama oleh pihak Singapura.

Barisan peguam antarabangsa yang mewakili Malaysia juga, katanya, bertungkus-lumus hingga lewat pagi untuk memastikan setiap hujah mereka menepati matlamat negara untuk mempertahankan kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge.

Menurut Raja Nazrin, delegasi Malaysia yang diketuai oleh Duta Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad bermesyuarat bersama anggota-anggota yang lain termasuk Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Duta Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin setiap hari selepas mahkamah menangguhkan kesnya.

Pertemuan harian itu, katanya, diadakan bagi memastikan setiap hujah Singapura dapat disanggah menerusi bukti-bukti berupa dokumen perjanjian dan pemetaan.

Barisan peguam yang mewakili negara terdiri daripada Profesor Sir Elihu Lauterpacht, Profesor James Crawford, Profesor Nicolaas Jan Schrijver, Profesor Marcelo G. Kohen dan Penelope Nevill.

Singapura telah menutup kes mereka kelmarin manakala Malaysia akan mengemukakan hujah-hujah terakhirnya pada esok dan Jumaat.

Persidangan kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge berlangsung di hadapan Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh bersama 15 hakim lagi termasuk dua hakim ad hoc.

Keputusan kes ini dijangka diketahui enam bulan lagi - Utusan Malaysia

No comments: