Oleh Noor Azam Shairi
KUALA LUMPUR 26 Nov. - Malaysia dan Singapura memfailkan hujah bertulis yang ketiga di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda berhubung pertikaian mengenai Pulau Batu Putih, semalam.
Duta Besar Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Faridah Ariffin berkata, sekiranya kedua-dua negara bersetuju untuk menamatkan hujah bertulis setakat itu, satu tarikh perbicaraan segera akan dipohon kepada mahkamah berkenaan.
``Ini bergantung kepada kedua-dua negara. Kita akan meneliti hujah-hujah Singapura dan mereka juga akan meneliti hujah-hujah kita, dan kita akan putuskan selepas itu,'' katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi di The Hague, hari ini.
Menurut Noor Faridah, hujah bertulis Singapura itu telah dikirimkan ke Wisma Putra dan pasukan peguam yang mengendalikan kes itu bagi pihak negara semalam juga.
``Setakat ini saya tidak boleh memberi kenyataan lanjut mengenai tarikh penghujahan lisan kerana semuanya bergantung kepada keadaan,'' tambahnya.
Malaysia dan Singapura melalui satu perjanjian yang dimeterai di Putrajaya awal Februari 2003 bersetuju untuk merujuk pertikaian sempadan berhubung Pulau Batu Putih kepada ICJ.
Kedua-dua negara kemudian memfailkan dua hujah bertulis (memorial dan counter memorial) pada Mac tahun lalu dan Januari tahun ini.
Semua hujah bertulis yang difailkan setakat ini adalah dokumen sulit sehinggalah mahkamah membuka perbicaraan lisan, itu pun tertakluk kepada perintah mahkamah selepas mendapat persetujuan kedua-dua pihak.
Menurut Noor Faridah, sekiranya kedua-dua negara bersetuju untuk masuk ke fasa prosiding yang seterusnya iaitu penghujahan lisan, Putrajaya dan Singapura akan menulis surat kepada ICJ memohon satu tarikh perbicaraan ditetapkan.
``Setakat ini, kalau itu berlaku, tarikh yang ada hanyalah separuh kedua tahun depan,'' katanya.
ICJ akan menerima masuk empat hakim baru yang akan mengangkat sumpah pada 27 Februari ini dan sehari selepas itu bersidang selama sembilan minggu untuk mendengar kes antara Bosnia dan Herzegovina terhadap Serbia dan Montenegro berhubung jenayah perang.
Selepas kes itu, satu lagi kes dijadual dibicarakan iaitu antara Nicaragua dan Honduras menyentuh isu persempadanan Laut Carebbian - Utusan Malaysia
Sunday, November 27, 2005
Batu Putih: Malaysia, Singapura kemuka hujah
Posted by 9T9 at 10:43 AM
Labels: Batu Putih, Media, Pra ICJ, Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment