KUALA LUMPUR 24 Julai - Malaysia dan Singapura hari ini memulakan proses kehakiman untuk menyelesaikan isu Pulau Batu Putih yang terletak dalam perairan Johor di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Wisma Putra dalam satu kenyataan menyatakan ini berikutan penghantaran pemberitahuan bersama oleh ejen-ejen kerajaan Malaysia dan Singapura kepada Pendaftar ICJ berhubung pertikaian di antara kedua-dua negara mengenai kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih, Middle Rock dan South Ledge.
Menurut kenyataan itu, dokumen-dokumen lain yang turut dihantar ke ICJ termasuk perjanjian khas untuk merujuk pertikaian kedaulatan pulau-pulau itu yang telah ditandatangani pada 6 Februari lepas di Putrajaya.
``Surat cara pengesahan persetujuan yang telah dihantar oleh kedua-dua negara pada 9 Mei lepas, juga telah dihantar ke ICJ.
``Ketiga-tiga dokumen tersebut telah ditandatangani oleh Menteri Luar kedua-dua negara iaitu Datuk Seri Syed Hamid Albar bagi pihak Malaysia dan Profesor S. Jayakumar bagi Singapura,'' jelas kenyataan itu.
Malaysia dan Singapura pada 6 Februari lepas menandatangani perjanjian khas untuk membawa isu tuntutan bertindih Pulau Batu Putih ke ICJ bagi menyelesaikan pertikaian tersebut.
Dengan termeterainya perjanjian itu, keputusan berhubung kedaulatan pulau tersebut serta dua lagi pulau batu berhampirannya akan ditentukan oleh mahkamah berkenaan.
Berdasarkan kepada sejarah, lokasi dan pemetaan, Pulau Batu Putih yang terletak kira-kira 20 minit perjalanan dengan bot laju dari Teluk Ramunia di Johor, adalah milik Malaysia.
Pulau yang terdiri daripada bongkah batu seluas 0.2 hektar itu terletak lapan batu nautika dari Pengerang dan 40 batu nautika ke timur Singapura, pada mulanya hanya menempatkan rumah api untuk panduan pelayaran.
Pulau itu terletak di bawah pemerintahan kesultanan Johor kerana berdasarkan sejarah, penyerahan Pulau Singapura pada tahun 1824 kepada Inggeris hanya melibatkan sebuah pulau, laut dan selat yang terletak dalam lingkungan 10 batu nautika dari pesisir pulau Singapura.
Wisma Putra telah berusaha menyelesaikan pertikaian itu sejak lebih sedekad lalu dengan perbincangan dua hala yang pertama diadakan pada tahun 1993 dan kedua pada tahun 1994. Kedua-dua perbincangan itu bagaimanapun tidak berhasil menyelesaikannya.
Pada tahun 1995 dan 1996, perbincangan diadakan untuk merujuk kes tersebut kepada ICJ, namun ia tenggelam seketika apabila Malaysia terbabit dalam pertikaian dengan Indonesia berhubung tuntutan keatas Pulau Sipadan dan Ligitan.
Kenyataan itu turut memberitahu, kerajaan Malaysia telah melantik Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak sebagai ejennya manakala Duta Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin sebagai ejen bersama.
Duta Kembara dan juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad menjadi penasihat utama kepada pasukan Malaysia untuk kes tersebut.
``Proses keseluruhan dengan ICJ, termasuk penghantaran hujah bertulis dan seterusnya perbicaraan secara lisan dalam mahkamah dijangka akan memakan masa selama kira-kira tiga tahun,'' menurut kenyataan itu - Utusan Malaysia
Friday, July 25, 2003
Proses selesaikan kes Pulau Batu Putih di ICJ bermula
Posted by 9T9 at 2:38 PM
Labels: Media, Pra ICJ, Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment